PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Wednesday, November 4, 2009

Penahan Dr Mohd Asri bermotifkan politik!

KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG DENGAN PENAHANAN DR ASRI ZAINUL ABIDIN (BEKAS MUFTI PERLIS) DARI SEKRETARIAT PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI PAHANG

Parti Keadilan Rakyat(PKR) Negeri Pahang merasa amat kesal dan sedih di atas insiden penahanan Dr Asri Zainul Abidin,Bekas Mufti Perlis oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS). Walaupun JAIS adalah pihak berkuasa agama di Selangor yang mempunyai autoriti terhadap pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama Islam namun mereka tidak seharusnya mengambil tindakan dengan sewenang-wenangnya tanpa meneliti dan menyiasat dengan lebih terperinci. Dr Asri adalah bekas Mufti yang mempunyai kelulusan(PhD) di dalam bidang agama Islam. Kelulusan yang dimiliki itu dan pengalaman selaku seorang Mufti sudah cukup terbukti untuk melayakkan beliau mengajar agama di mana-mana sahaja di bumi Allah ini lebih-lebih lagi di Malaysia.

PKR Pahang meyakini bahawa semua rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam amat mengenali Dr Mohd Asri. Oleh itu penahanan beliau oleh pihak berkuasa JAIS sangat meragukan dan amat dikesali. Adalah mustahil pegawai-pegawai JAIS tidak mengenali Dr Mohd Asri serta latarbelakang akademik dan pengalamannya yang luas dalam bidang agama Islam. Beliau juga seringkali dijemput selaku penceramah jemputan di mana-mana sahaja di seluruh negara termasuk rancangan-rancangan berbentuk keagamaan di rangkaian televisyen.

PKR Pahang percaya penahanan ini tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat kerana sepanjang lebih kurang 1 tahun 8 bulan mentadbir Selangor tiada kes seumpama ini berlaku. Tambahan pula Pakatan Rakyat amat menghormati kebolehan dan kewibawaan Dr Mohd Asri. Oleh itu PKR Pahang yakin penahanan ini ada campurtangan politik dari pihak-pihak tertentu yang ingin memburuk-burukkan nama Kerajaan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Usaha pihak tertentu untuk menumbangkan Kerajaan Selangor dilihat dilakukan secara berterusan sejak selepas PRU 12 lagi. Ini terbukti dengan kenyataan dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan tindakan penahanan ini dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan tiada kena mengena dengan Kerajaan Pusat. Kenyataan Najib itu adalah umpama “baling batu sembunyi tangan” dan “telunjuk lurus kelingking berkait”. Ini bermakna masih ada pegawai-pegawai JAIS yang mempunyai ikatan kukuh dengan “tuannya yang terdahulu”. Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya bersimpati terhadap Dr Mohd Asri dilihat sebagai sandiwara semata-mata lebih-lebih lagi di antara yang hadir ke ceramah beliau adalah YB Zuraidah Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang (PKR) dan YB Shaari Sungip, Ahli Dewan Negeri Hulu Klang (PAS).

Ketiadaan pertuduhan walaupun arahan dikeluarkan oleh JAIS supaya Dr Mohd Asri menghadirkan diri ke mahkamah adalah satu persoalan yang belum terjawab. Walaupun menunggu sehingga lebih 2 jam namun tiada rakaman keterangan yang diambil malah tanpa kehadiran pegawai JAIS. Ini dilihat sebagai satu “permainan” yang amat memalukan.

Penahanan ini juga dilihat “amat padan” dan sama sahaja dengan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR sedikit masa dahulu. “Tangkap dahulu, kemudian cari bukti”, kalau tiada bukti, reka supaya macam ada bukti. Inilah permainan politik yang amat kotor dan jijik walaupun umum rakyat negara ini amat mengenali kedua-dua tokoh ini. Dr Mohd Asri adalah tokoh agama manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tokoh pejuang rakyat yang mempunyai fikrah Islam yang amat tinggi.

ZAIDI AHMAD

Pengarah Sekretariat

Parti Keadilan Rakyat

Negeri Pahang

(013-3307176)

4hb November, 2009

No comments: