by Wan Fauzdin
Apabila Pak Lah selaku Presiden UMNO mengumumkan bahawa beliau akan `memfaraid'kan jawatan Presiden UMNO kepada Timbalannya Najib menjelang Mac tahun depan, maka sedikit demi sedikit orang-orang yang selama ini memuji dan menyanjung beliau mula beralih arah. Bak pepatah, `di mana ada gula, di situlah ada semut'. Peralihan kuasa belum pun berlaku, tetapi `peralihan sokongan' daripada orang-orang kuat Pak Lah terhadap Najib telah pun berlaku. Tidak ketinggalan, media arus perdana kini tidak lagi berminat dengan `Lagu Islam Hadhari' tetapi lebih berminat dengan `Lagu Melayu Glokal'.
Peristiwa ini sebenarnya telah dapat dijangkakan kerana ianya telah berlaku berulangkali di dalam sejarah UMNO. Pemimpin yang memegang kuasa akan sentiasa didokong dan dikipas. Lihat bagaimana Tun Mahathir sewaktu berkuasa dipuji melangit sehinggakan sewaktu beliau mengumumkan untuk meletak jawatan dalam parti dan kerajaan, Dewan PWTC ketika itu hampir-hampir banjir dek air mata tangisan pemimpin, perwakilan dan ahli-ahli UMNO. Seorang Menteri Kabinet wanita tidak sedar ketika itu tumit kasutnya tercabut kerana pantasnya meluru ke arah Tun Mahathir untuk mendesak agar Tun tidak berundur. Betapa hebatnya Tun ketika itu. Tetapi, tempoh drama yang dipersembahkan di pentas UMNO itu tidak lama. Apabila Tun Mahathir meletakkan jawatannya dari parti dan kerajaan, maka terserlah lah rupa paras UMNO yang sebenarnya. Daripada seorang yang digeruni, dihormati dan disanjung, Tun mulai merasa betapa sukar dan hinanya bila tidak lagi memegang kuasa. Jika dahulu segala kata-kata yang keluar dari mulutnya dianggap mutiara yang berharga, kini apa yang keluar dari mulutnya seolah-olah `najis ' yang keluar dari dubur lembu di merata-rata jalan sahaja. Siapakah pernah bermimpi atau terfikir bahawa bekas Presiden UMNO ini satu hari akan disembur dengan gas di mukanya? Lucu, sedih dan ajaib, tetapi ianya berlaku. Mana ada istilah mustahil di dalam UMNO?
`Wasiat' telah disediakan iaitu Najib akan jadi Presiden UMNO dan bakal PM menjelang Mac tahun depan. Seperti biasa dan tradisinya, belum pun Najib secara rasmi menjadi PM, tukang-tukang kipas mula memainkan peranannya. Tidak hairan lah di Parlimen baru-baru ini sewaktu Najib menggulung perbahasan Bajet 2008, walau pun terang-terang Najib `merepek' yang bukan-bukan dan lari dari belanjawan asal yang dibentangkan oleh PM selaku Menteri Kewangan sebelum ini, namun MP-MP UMNO termasuk Menteri dan Timbalan Menteri `terkunci' mulut mereka. Begitulah hebatnya `power' dan kuasa `pukau' yang boleh diperolehi oleh seseorang yang bergelar Presiden UMNO atau PM. Walaupun Najib belum sampai ke tahap itu, tetapi kerana adanya `wasiat' yang dikeluarkan, Najib sudah pun memiliki `power' dan `pukau' tersebut.
Tiada siapa di dalam UMNO yang mampu mengatasi `kuasa' yang dimiliki oleh Najib sekarang. Najib hanya `tersungkur' ditangan mereka yang di luar UMNO, samada MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen BN yang lain. Mereka-mereka ini mampu mengatasi `kekuasaan' Najib. Sekiranya mereka tidak berupaya atau masih ingin bersama menjadi `sekumpulan Burung Belatuk' bersama UMNO, Pakatan Rakyat sedia membantu.
MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA
PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM
Friday, November 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment