Bila tarikh Parlimen akan dibubarkan bagimemberi laluan kepada pilihan  raya umum ke-13 diadakan terus menjadi topik perbincangan dan bahan  spekulasi menarik banyak pihak.
   
Baru-baru ini apabila Datuk  Seri Najib Tun Razak membuat lawatan rasmi ke Sabah, beliau mengadakan  satu perjumpaan tertutup dengan pemimpin Barisan Nasional Sabah.
   
Seorang pemimpin yang ditemui pemberita berkata Perdana Menteri mengingatkan bahawa pilihan raya semakin dekat.
   
Bagi  anggota parti sama ada Umno atau parti komponen Barisan Nasional (BN),  kata-kata Najib yang juga Pengerusi BN sebenarnya lebih berupa  peringatan kepada jentera parti BN di Sabah dan juga negeri-negeri lain  supaya bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa pun.
   
Namun  ungkapan 'semakin dekat' itu jelas memberi isyarat pilihan raya umum  bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Bahkan dalam kalangan  rakyat cakap-cakap mengenai pilihan raya umum ke-13 kini menjadi  perbualan harian apatah lagi bila pemimpin negara semakin kerap turun  padang ke merata pelosok negeri bertemu rakyat.  
   
Menurut  pemerhati politik ada beberapa fakta mungkin memberi petanda bahawa  kemungkinan besar Parlimen dibubarkan pada Mei atau Jun, dan seterusnya  dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran satu pilihan raya umum diadakan.
   
Pemerhati  politik menggariskan beberapa fakta kebarangkalian bagi menyokong  telahan mereka bahawa Mei atau Jun bakal menyaksikan pilihan raya umum  ke-13 Malaysia diadakan.
   
Fakta pertama ialah terungkainya  kemelut gaji baru penjawat awam dengan pengumuman Najib pada 8 Mac lepas  bahawa skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan dan  mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.
   
Kemelut  ini sangat penting diselesaikan terlebih dahulu kerana penjawat awam  bukan membabitkan jumlah yang kecil, tetapi kira-kira 1.4 juta orang di  seluruh negara, yang memainkan peranan penting untuk melaksana dan  menjayakan pelbagai dasar transformasi dan penambahbaikan yang dilakukan  kerajaan untuk rakyat.
   
Fakta kedua menurut pemerhati politik  adalah Perdana Menteri dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara  mantap dan terancang menjelajah ke seluruh negara setiap hujung minggu  untuk bertemu rakyat, seperti yang dijanjikan pada satu sidang akhbar  sebaik Perhimpunan Agung Umno 2010 tamat.
   
Ketua Penerangan  Umno Datuk Ahmad Maslan juga semakin galak mahu semua jentera pilihan  raya BN khususnya Umno bergerak pada kelajuan 'gear lima' bagi  menghadapi pilihan raya umum yang 'semakin dekat' ini.
   
Beliau  dipetik sebagai berkata pilihan raya jarang-jarang melebihi empat tahun  lebih, oleh itu ia mungkin tinggal satu, dua, tiga, empat atau lima  bulan sahaja lagi.
   
Fakta bahawa pilihan raya hanya dilakukan  selepas tempoh mandat kerajaan berakhir juga sangat jarang-jarang  berlaku. Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada 28 April 2013.   
   
Fakta  ketiga, Umno juga awal-awal lagi sudah menangguhkan pemilihan parti  selama 18 bulan, iaitu sehingga September 2013, dari tarikh kali  terakhir diadakan pada Mac 2009, bagi mengukuhkan parti dan mengelakkan  pergelutan jawatan di dalam parti demi untuk menghadapi pilihan raya  umum dengan mantap dan sepadu.
   
Fakta keempat, yang juga  petanda positif pilihan raya Mei atau Jun adalah ekonomi Malaysia berada  pada kedudukan yang baik untuk meneruskan kemajuan pada 2012 seperti  laporan Oxford Business Group (OBG), firma penerbitan, penyelidikan dan  perundingan risikan ekonomi global.
   
Laporan itu menunjukkan  pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia meningkat, inflasi terkawal dan  sektor kewangan teguh. Menurut laporan itu hasil prestasi kukuh di  kebanyakan sektor ekonomi dalam tempoh 12 bulan lalu, Malaysia dijangka  dapat mencapai prestasi lebih baik dalam 2012.
   
Fakta  seterusnya tertumpu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat  banyak pemerhati sebagai telah memberi bayangan Parlimen mungkin  dibubarkan seawal Mei 2012 bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13  diadakan.
   
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata  Perdana Menteri tidak mungkin membubarkan Parlimen dalam masa terdekat  kerana Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan  Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya hanya dijangka selesai mengemukakan  semua cadangannya ke Dewan Rakyat pada April.
   
Sebagai persediaan awal, SPR sudah menjelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat kepada para petugas pilihan raya.
   
Seorang  petugas yang dilantik SPR memberitahu Bernama bahawa pegawai SPR  menyatakan sekiranya pilihan raya tidak diadakan dalam masa terdekat,  satu lagi taklimat akan diberikan untuk melancarkan operasi dalam sistem  pilihan raya kelak.
   
Pemimpin parti-parti politik terutamanya pembangkang dilihat sudah lama bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum.
   
Naib  Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata masa terbaik untuk mengadakan  pilihan raya umum ke-13 ialah awal Jun pada cuti sekolah.
   
"Ini  kerana perbahasan Parlimen kali ini akan membentangkan beberapa rang  undang-undang penting seperti pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej  Universiti (AUKU), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memang telah  dijanjikan pada persidangan kali ini,"  katanya.
   
Katanya  sekiranya pilihan raya tidak diadakan Jun ini, mungkin Perdana Menteri  akan menunggu sehingga tamat penggal ke-12 mandat kerajaan pada tahun  depan.
   
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi  Tuanku Jaafar pula berkata tiada masalah untuk mengadakan perasmian  persidangan Parlimen yang baru selepas pilihan raya umum walaupun  perasmian baru sahaja disempurnakan  Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul  Halim Mu'adzam Shah pada 12 Mac lepas.
   
"Apa sahaja yang belum  habis, Rang Undang-undang yang dibentangkan, usul dan sebagainya boleh  dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada penggal yang baru untuk  dihabiskan, jadi tidak timbul masalah," katanya kepada Bernama.
- Bernama
PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM
 
Saturday, March 17, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

 
 
 
 
 
 
 

No comments:
Post a Comment