KUALA LUMPUR, 20 Mac: Pakatan Rakyat memutuskan untuk  tidak menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji isu Lynas  setelah mendakwa jawatankuasa itu tidak memberikan ruang kepada mereka  untuk menyatakan pendapat.
Keputusan itu berikutan kekecewaan  mereka apabila kerajaan tidak memenuhi syarat yang dicadangkan, iaitu  kerajaan perlu mengeluarkan arahan henti kerja, tarik balik permit kerja  sementara (TOL) dan hentikan 'import rare earth concentrate'.
Ahli  Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang jelas kecewa dengan ucapan  penggulungan menteri, berkata beliau mengharapkan penubuhan PSC ini akan  menjadi satu platform bebas bagi memahami masalah rakyat.
Malangnya, kata beliau melihat dari perbahasan dan penggulungan menteri, harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan.
"Kita  bersedia untuk terlibat dalam PSC, tetapi melihat kepada apa yang  berlaku hari ini, kita tidak boleh bergantung kepada badan itu untuk  menjadi satu platform kepada rakyat," tegas beliau pada sidang media, di  lobi parlimen, hari ini.
Sebelum itu, ahli parlimen Pakatan  Rakyat bertindak keluar dewan setelah kecewa dengan jawapan Menteri di  Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika penggulungan  perbahasan mengenai penubuhan PSC.
Ahli Parlimen Kuala Selangor,  Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata Pakatan Rakyat terpaksa menolak PSC  memandangkan penubuhannya tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat,  khususnya rakyat Kuantan.
"Kita memang mahu berkongsi segala  maklumat, tapi nampaknya ia tidak menjadi kenyataan.  Memang hari ini  merupakan hari yang paling sedih kepada rakyat Malaysia," kata beliau.
Terdahulu,  perbahasan tentang penubuhan PSC ini menjadi hangat apabila kebanyakan  ahli parlimen kerajaan berucap seolah-olah menyokong projek Lynas, yang  dibina di Gebeng, Pahang sebelum sidang berhenti rehat tengahari tadi.
Kemudiannya,  selepas dewan kembali bersidang pada sebelah petang, kekecohan terus  berlaku apabila ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan  jawapan yang diberikan Nazri.
Ketika ditanya tindakan susulan  Pakatan Rakyat ekoran keputusan tersebut, Fuziah berkata beliau  menyerahkan kepada rakyat untuk bertindak selepas ini.
"Biarlah rakyat yang memutuskannya," kata beliau.
Turut  serta pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli  Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli; Ahli Parlimen Klang, Charles  Santiago; dan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat. 
DAP sebelum  ini membuat keputusan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu kerana ia  hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) atau alat untuk  menghalalkan loji nadir bumi syarikat Australia itu.
Setiausaha  Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PSC juga akan menjadi alat Barisan  Nasional untuk memaksa orang awam menerima loji Lynas tanpa mempedulikan  soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan rakyat.
“DAP akan  mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan  BN menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi  memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar  yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan  semalam.
PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM
 
Wednesday, March 21, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

 
 
 
 
 
 
 

No comments:
Post a Comment