PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Friday, April 22, 2011

Pahang mempunyai jumlah Rancangan Felda terbanyak di Malaysia

Dengan mempunyai 115 bilangan Rancangan Felda dan 43123 orang jumlah Peneroka, Pahang merupakan Negeri yang terbanyak sekali di Malaysia yang mempunyai bilangan Rancangan Felda dan justeru itu juga jumlah peneroka-peneroka.

Jumlah pengundi-pengundi termasuk daripada Generasi Kedua dan Ketiga merentasi 200,000 orang iaitu jumlah pengundi yang terbesar di Negeri Pahang.

Kecuali kawasan Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota, kesemua kawasan Parlimen di Negeri Pahang samada mempunyai jumlah majoriti dari kalangan Peneroka-Peneroka dan Generasi Ke-2 dan Ke-3 atau mempunyai sejumlah pengundi-pengundi yang menentukan kalah menang kepada parti-parti yang bertanding.

Peneroka-peneroka Felda di Negeri Pahang setakat ini masih menjadi "fixed deposit" kepada Barisan Nasional. Tetapi fixed deposit ini menjadi semakin tipis, bahkan pengekalan mereka sebagai fixed deposit Barisan Nasional hanya dapat dikekalkan dengan pemberian rasuah politik yang melampau.

Didalam Pilihanraya Umum 2008 yang lalu, golongan terbesar daripada Peneroka-Peneroka ini, diberikan bayaran sejumlah RM5,000.00 atas nama pengembalian wang CESS. Dan semasa PRK Kerdau baru-baru ini, Peneroka Felda Jengka 22 telah dibayar RM13,000.00 yang kononnya dibayar untuk pengembalian wang Cess manakala Peneroka-Peneroka Felda Jengka 23 dibayar RM4000.00 kononnya sebagai bayaran insentif penanaman Kelapa Sawit dari MPOB.

Ada beberapa kawasan Rancangan Felda telah memberikan kemenangan kepada calon-calon Pembangkang seperti kepada Dato Tuan Ibrahim Tuan Man bagi kawasan DUN Jengka dan Kepada Jefferi bagi kawasan DUN Chini.

Undi yang diperolehi Pembangkang didalam setiap kali Pilihanraya dari kawasan-kawasan Rancangan Felda telah bertambah dari masa ke semasa.

Selepas Pilihanraya Umum 2008, Rancangan-Rancangan Felda Negeri Pahang menyaksikan penubuhan Ranting-Ranting Parti Keadilan Rakyat sebagai tambahan kekuatan kepada Cawangan-Cawangan PAS yang telah lama wujud. Kombinasi kekuatan Cawangan-Cawangan PAS dan Ranting-Ranting PKR ini adalah satu fenomena baru yang berjaya menarik dua kumpulan tertentu didalam rancangan-rancangan Felda iaitu golongan peneroka-peneroka asal dan golongan Generasi Ke-2 dan Ke-3.

Daripada 43123 orang peneroka-peneroka asal, 33060 peneroka telah mendapat Suratan Hakmilik (geran) bagi tanah-tanah ladang dan kampong masing-masing dan terdapat lebihkurang 10,000 lagi peneroka-peneroka yang belum menerima geran mereka walaupun golongan itu telah menjelaskan BK dan CAC mereka.

Pembayaran kembali BK dan pembayaran sepenuhnya CAC adalah syarat utama bagi peneroka-peneroka mendapatkan geran bagi ladang-ladang mereka namun sesetengah Peneroka seperti Felda Kota Gelanggi telah menunggu hingga 14 tahun setelah menyelesaikan BK dan CAC masih belum menerima geran tanah mereka.

Golongan yang besar juga daripada mereka yang menanam semula bersendirian masih belum dibayar wang Dana Tanam Semula yang dicarumkan oleh mereka sendiri. Didalam isu ini, Felda gagal menjelaskan bayaran mengikut kaedah RM1700.00 bagi setiap ekar tetapi membayar hanya sebahagian daripada jumlah itu dan bakinya dibayar dengan cara pembekalan baja, walhal, baja dari Felda tidak diperlukan kerana peneroka-peneroka itu membeli baja yang lebih bermutu dari pengedar-pengedar swasta.

Isu peratusan perahan KPG yang dimanipulasi oleh Felda adalah isu yang dikongsikan bersama samada oleh peneroka-peneroka yang menjadi anggota pembangkang mahupun yang menyokong UMNO. Felda telah berlaku tidak adil apabila memberikan peratusan perahan sawit diatas kadar 17-18% untuk berpuluh tahun sedangkan apabila peneroka-peneroka ini mennghantarkan buah sawit mereka ke makmal, perahan yang diperolehi melebihi 27%. Walaupun kini Kilang-Kilang Felda telah menaikkan perahan kepada 20%, namun, kerugian peneroka-peneroka selama lebih 20 tahun amatlah besar dan Felda tidak berura-ura barang sedikit pun untuk merundingkan gantirugi kepada peneroka-peneroka.

Rata-rata peneroka-peneroka Felda yang menanam semula melalui Felda tidak berpuas hati kerana dibebankan dengan hutang setiap seorang melebihi RM70,000.00 manakala pendapatan bulanan mereka hanyalah diparas RM1500.00 suatu jumlah yang jauh lebih kecil daripada Peneroka-Peneroka yang menanam semula secara bersendirian.

Pendapatan peneroka-peneroka bersendirian boleh mencecah hingga RM5000.00 sebulan, dan mereka tidak menanggung sebarang hutang untuk dibayar BK kepada Felda, maka persoalannya, jika pendapatan peneroka-peneroka melalui Felda hanya dibayar RM1500.00 sebulan, kemanakah lebihan pendapatan hasil jualan sawit mereka, tidakkah boleh mengurangkan hutang mereka kepada Felda? Kenapa hutang mereka bertambah dari masa ke semasa dan tidak berkurangan setelah hasil jualan sawit mereka hanya diberikan RM1500.00 sebagai elaun sara hidup!

Permasaalahan yang sebelum ini tidak diambil kira adalah buah-buah sawit yang di "rejcct". Buah yang direject ini tidak terbukti dimusnahkan bahkan indikasi menunjukkan bahawa buah reject ini diproses bersama dengan buah-buah yang diterima.

Buah yang reject ini sewajarnya dikembalikan kepada peneroka-peneroka kerana pihak swasta masih mahu membeli buah-buah itu iaitu buah-buah yang dikatakan muda, tangkai panjang atau mekal walaupun dengan peratus perahan yang lebih rendah.

Peneroka-peneroka berkenaan dikenakan denda kerana kononnya membawa buah-buah yang reject, tetapi setelah dibuang buah-buah yang reject peratusan perahan kepada buah-buah yang diterima tetap juga diberikan peratusan yang tidak munasabah.

Kombinasi tuntutan peratusan perahan KPG dan buah reject memungkinkan setiap peneroka kerugian melebihi RM100,000.00 setiap seorang sepanjang 20 tahun manipulasi ini berjalan.

Kepada anak-anak muda dari generasi ke-2 dan ke-3, mereka menghadapi masalah pengangguran, masalah sosial, dan masalah tempat tinggal. Usaha daripada Felda untuk mengatasi masalah ini amatlah minimal. tidak bersungguh-sungguh dan tidak menampakkan kesan yang positif.

Cadangan dari PR untuk memansuhkan Felda Plantations yang membolehkan 79,000 peneroka-peneroka baru terdiri daripada Generasi Ke-2 dan Ke-3 memberikan jaminan yang munasabah kepada mereka untuk mempunyai masa depan yang cerah.

Apa yang dikatakan fixed deposit BN daripada peneroka-peneroka Felda dan generasi baru mereka tidak lagi menjadi jaminan kepada Barisan Nasional, dan peneroka-peneroka tidak lagi terbawa-bawa bahawa tanpa UMNO mereka akan menjadi terumbang-ambing, bahkan satu kesedaran baru telah timbul bahawa UMNO yang mengendalikan Felda hanya mendatangkan kesusahan demi kesusahan kepada peneroka-peneroka dan generasi baru mereka.

Maka Pahang yang merumahkan jumlah terbesar peneroka-peneroka Felda akan lebih terjamin apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya dan Negeri Pahang.



1 comment:

Anonymous said...

sapa kata dun chini pkr y menang??dun chini dri dulu smpai skrg msih bwh bn...aq owg chini aq tau la.