PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Tuesday, December 22, 2009

TAN AMINUDDIN : Jantankah Kamu???

Pencerobohan tanah kerajaan di Negeri Pahang oleh ahli politik dan suku sakat mereka dilihat sebagai satu lagi siri rompakan khazanah negeri milik rakyat Pahang. Pendedahan yang dibuat oleh Dato' Tan Mohd Aminuddun Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda baru-baru ini membuktikan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Dato' Seri Adnan Yaakob. Persoalannya bagaimana pihak berkuasa negeri tidak menyedari tanah yang begitu luas diteroka secara haram. Ini bermakna tiada pemantauan yang dilakukan di kawasan masing-masing atau pun pihak berkuasa hanya menutup mata walaupun tahu kegiatan tersebut dijalankan.

Kecuaian seperti ini amat tidak wajar kerana melibatkan kerugian kepada Kerajaan Negeri dan seterusnya merugikan rakyat. Mungkin juga terdapat salah guna kuasa atau pun penyelewengan sehingga kegiatan penerokaan tanah secara haram semakin berleluasa di seluruh negeri. Penglibatan ahli politik sama ada secara langsung atau pun tidak langsung amat dikesali. Ahli politik mana yang mampu mempengaruhi pihak berkuasa sehingga memungkinkan kegiatan haram ini? Adakah mereka dari kalangan pemimpin PKR, PAS atau DAP? Parti politik mana yang memerintah dan berkuasa di Negeri Pahang?

Bagi menjawab persoalan ini saya kira rakyat Negeri Pahang sudah tahu jawapannya. Barisan Nasional yang ditunggangi UMNO yang berkuasa di Pahang. Sudah tentulah ahli politik mereka yang mempunyai hubungan rapat dan secara langsung dengan pentadbir dan pihak berkuasa. Dalam sesetengah perkara ahli politik BN/UMNO yang menguasai pihak berkuasa. Oleh itu tidak sukar untuk kita meneka ahli politik mana yang terlibat sepertimana yang di dedahkan oleh Tan Aminuddin itu.

Pencerobohan tanah kosong malah hutan simpan dan kawasan tadahan air adalah perbuatan orang yang hina. Mereka mengaut keuntungan peribadi dengan cara merompak hak rakyat. Dengan sebab itu maka tidak hairan kepada kita apabila Ketua Audit Negara di dalam laporannya baru-baru ini menyebut terdapat banyak ketirisan dalam pengurusan kewangan dan ekonomi Negeri Pahang. Salah guna kuasa dan penyelewengan turut menjadi penyumbang besar kepada Bajet Negeri yang mengalami defisit sehingga 12 tahun berturut-turut. Hasil negeri lebih kecil berbanding belanja pengurusan dan pembangunan.

Apakah pencerobohan tanah kerajaan oleh ahli politik dan kuncu-kuncu mereka mempunyai unsur-unsur rasuah? Jawapannya jelas sekali kerana adalah mustahil pihak berkuasa tidak mengetahui langsung kegiatan ini. Kalau tanah yang diceroboh itu berkeluasan 1 atau 2 ekar mungkin tiada sesiapa yang perasan. Tetapi jumlah keluasan yang terlibat mencecah ribuan hektar. Satu lagi persoalan ialah beranikah Tan Aminuddin mendedahkan nama-nama ahli politik yang terlibat? Beranikah Tan Aminuddin menongkah tangga pejabat SPRM? Kalau betul Tan Aminuddin anak jantan Chenur sila dedahkan nama-nama tersebut supaya rakyat tahu siapa sebenarnya dalang yang merompak khazanah milik negeri yang merupakan hak mereka. Sama-sama kita tunggu!!! Tan Aminuddin, jantankah kamu???

Dari kacamata Pengarah Sekretariat




No comments: