PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Tuesday, September 8, 2009

KELEMAHAN OPERASI KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN DALAM KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA KINI

Kertas kerja ini akan memberi fokus utama kepada 12 isu penting dalam operasi kepimpinan dan pengurusan dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Jika 12 isu ini diberi perhatian, kelemahan-kelemahan pelaksanaan diatasi, KPM akan mengalami perubahan besar.

ISU 1 : PERLANTIKAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

Menteri Pelajaran yang dilantik hendaklah seorang yang berwibawa, jujur, amanah, jati diri, berpegang kuat kepada agama serta berpengetahuan luas mengenai pendidikan. Menteri Pelajaran mestilah berupaya melihat masa depan yang jelas, mempunyai kemahiran yang tinggi dan sentiasa bersemangat dan berupaya membangkitkan semangat warga pendidik dalam melaksanakan tugas. Antara Menteri Pelajaran yang membawa kesan dalam KPM ialah Tun Abdul Razak, Datuk Abdul Rahman Talib, Tun Abdul Rahman Yaakub dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tun Abdul Razak telah meletakkan asas dasar pelajaran Malaysia. Datuk Abdul Rahman Talib melaksanakan dasar yang telah dibuat oleh Tun Abdul Razak. Tun Abdul Rahman Yaakub melaksanakan dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pendidikan negara. Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menukarkan nama Kementerian Pelajaran Malaysia kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Falsafah Pendidikan Negara iaitu pembangunan insan seimbang (JERI), penggunaan bahasa baku, dasar KBSR dan KBSM. Menteri-menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengubah dasar-dasar ini sewenang-wenangnya, mereka tidak menghormati keputusan yang telah dilaksanakan oleh pemimpin yang sebelumnya.


ISU 2 : DASAR-DASAR DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)

Dasar-dasar di KPM seharusnya digubal oleh pakar-pakar pendidikan Negara sebelum dilaksanakan. Dasar-dasar ini perlu dikaji semula dalam semua aspek. Malangnya ada dasar-dasar di KPM dibuat oleh kepimpinan politik hasil lawatan mereka ke luar negara tanpa melalui proses yang betul. Keadaan ini boleh membawa kerosakan kepada Negara. Antara dasar yang dimaksudkan ialah penghapusan tulisan jawi, penggunaan sempoa, PPSMI, sekolah kluster dan lain-lain. Dasar-dasar ini telah membawa kerosakan yang besar kepada negara. Antara masalah besar yang lain di KPM ialah daripada aspek pelaksanaan dasar. Banyak dasar-dasar di KPM yang cantik hebat dan sangat bermakna, malangnya dari aspek perlaksanaannya sangat lemah. Dasar-dasar baru yang diperkenalkan hebat semasa pelancaran dan perasmian yang menelan belanja jutaan ringgit tetapi diperingkat pelaksanaan sangat lemah. Bukti yang terbaru ialah perlaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

KPM telah melancarkan PIPP yang memberi fokus kepada 6 teras utama:

· Membina Negara Bangsa

· Membangun Modal Insan

· Memperkasakan SK

·Merapatkan jurang Pendidikan

·Memartabatkan Profesion Keguruan

· Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan

Keenam-enam fokus PIPP ini adalah bertujuan untuk memenuhi dua per lima Teras Misi Nasional iaitu:

· Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi Negara serta memupuk Minda Kelas Pertama.

· Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan proaktif.

Pelancaran PIPP penuh gemilang ini, tetapi pelaksanaannya kabur dan kembali ke cara lama. Rancangan Membina Negara Bangsa penuh kekaburan kerana SK, SRJKC bergerak secara cara lama. Etnik bangsa kekal sebelum penyata Razak. Pembinaan Modal Insan yang dimaksudkan memastikan anak bangsa Malaysia berpengetahuan dan kepakaran tinggi untuk memenuhi pelbagai jenis pekerjaan.

Antara bukti lain kegagalan pelaksanaan dasar KPM adalah:

· Memperkasa SK tidak menjadi realiti kerana pemilihan guru besar berasaskan “seniority”atau ketuanan bukan ilmu,kepakaran, komitmen dan lain-lain.

· Merapatkan jurang pendidikan serta terfokus, merapatkan pembangunan material, projek-projek, aspek ko-kurikulum, guru dan lain-lain terus terabai.

· Hasrat untuk memartabatkan profesion keguruan tetapi pelaksanaannya untuk menjadikan maktab sebagai membentuk budaya guru personaliti masih mengekalkan cara lama.

· Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan melalui penubuhan sekolah kluster berjalan penuh kekaburan. Pengetua-pengetua dihantar kursus ke England manakala pensyarah di sana tidak jelas apa yang Malaysia maksudkan dengan kluster itu sendiri.

Oleh kerana itu, pengetua-pengetua yang mengikuti kursus di sana merasakan ilmu yang diterima tidak sesuai untuk dilaksanakan di sekolah mereka. Perbelanjaan kursus ini sangat mahal dan membazirkan wang rakyat. Kuasa autonomi yang hendak diberikan kepada sekolah kluster tetap kabur daripada aspek pelaksanaan.


ISU 3 : PENEMPATAN PEGAWAI TINGGI DI KPM

Jawatan-jawatan penting yang perlu dijaga ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia(KPPM), timbalan-timbalannya, ketua-ketua bahagian, pengarah-pengarah pelajaran negeri, pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar. Pegawai-pegawai ini sepatutnya terdiri daripada pegawai-pegawai professional, memiliki daya kepimpinan dan pengurusan yang tinggi serta mempunyai wawasan yang jelas tentang pendidikan negara. Namun dasar yang ada sekarang, pemilihan-pemilihan dibuat berdasarkan kepada kepentingan politik kepartian yang sempit, pegawai-pegawai yang terpilih didapati kurang berani, kurang kreatif, kurang idea dan tidak berinovasi dalam kepimpinan dalam pengurusan pendidikan. Mereka takut membawa perubahan dan bergerak secara “status quo”. Pengarah-pengarah negeri pula dipilih daripada anak negeri tempatan untuk menjaga politik kepartian di negeri masing-masing dengan tidak mengambil kira kepimpinan kebolehan seorang pengarah. Tahun 70an, 80an pengarah-pengarah di pilih antara yang terbaik dikalangan pegawai di KPM tanpa mengira ciri-ciri kenegerian/kepartian.


ISU 4 : PELANTIKAN PENGETUA DAN GURU BESAR

Kecemerlangan sesebuah sekolah bergantung kepada kepimpinan pengetua dan Guru Besarnya. Jika pengetua dan Guru Besar lemah, prestasi sekolah berkenaan akan merosot. Jesteru itu, pemilihan pengetua dan Guru Besar mestilah dibuat secara profesional berasaskan kualiti kepimpinan dan pengurusan sahsiah yang baik, ilmu dan pengalaman yang luas, rekod-rekod yang cemerlang. Sekarang pemilihan pengetua dan Guru Besar dibuat secara “seniority” semata-mata. Pengetua dan Guru Besar yang tidak mempunyai ciri-ciri tersebut dilantik kerana ketuaannya. Ini menyebabkan sekolah-sekolah yang ditakbir oleh golongan tidak mampu menterjemahkan dasar-dasar yang baik untuk dilaksanakan dan sekolah-sekolah yang dibawah kepimpinannya menjadi lemah dan pendidikan yang dilaksanakan tidak sempurna dan cemerlang. Ini boleh dibuktikan melalui prestasi peperiksaan UPSR, PMR dan SPM yang menurun secara mendadak. Begitu juga masalah-masalah disiplin yang timbul daripada pengetua dan guru besar yang lemah itu.


ISU 5 : PERANAN DAN FUNGSI BAHAGIAN-BAHAGIAN DI KPM (TIDAK BERGERAK SECARA BERSEPADU)

Terdapat 17 bahagian di KPM antara bahagian-bahagiannya seperti bahagian Perancangan dan Penyelidikan, bahagian Pembangunan Kurikulum, teknologi Pendidikan, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Pengurusan Sekolah, Pendidkan Teknik dan Vokasional, Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh/ Kluster, Pendidikan Guru, Institut Aminuddin baki(IAB), Pendidikan Islam, Nazir dan jaminan kualiti dan lain-lain. Semua bahagian mempunyai visi, misi dan fungsi yang jelas tetapi malangnya bahagian-bahagian ini tidak bergerak secara bersepadu sebaliknya mereka bergerak bersendirian sahaja. Sebagai contohnya sepatutnya bahagian Perancangan Pendidikan segala hasil penyelidikan mereka dimanfaatkan dan dikongsi bersama bahagian-bahagian lain. Bahagian Lembaga Peperiksaan pula, menganalisis data-data dan gap pencapaian prestasi peperiksaan dibentangkan kepada semua bahagian untuk diatasi bersama. Tetapi malangnya lembaga peperiksaan merahsiakan segala keputusan peperiksaan awam. Institut latihan seperti IAB yang memberi kursus sepatutnya menjadi topik penyelidikan untuk memastikan kursus-kursus yang diberikan kelak, efektif serta memberi kesan dan kurikulum latihan adalah relevan.


ISU 6 : KURSUS-KURSUS DAN LATIHAN-LATIHAN DI KPM

KPM memperuntukkan wang yang banyak untuk pelaksanaan kursus-kursus di KPM. Peruntukan ini disalurkan melalui Institut Aminuddin Baki (IAB), bahagian pendidikan guru, jabatan pelajaran negeri dn bahagian-bahagian lain. Malangnaya kursus-kursus di KPM kini terlalu banyak tetapi keberkesanannya tidak dikaji. Kursus-kursus ini melibatkan ramai guru dan menyebabkan sekolah mengalami kekurangan guru yang mengajar kerana ramai yang pergi berkursus. Dan puratanya seramai 8 orang guru tiada di setiap sekolah kerana pergi berkursus setiap hari. Ini menganggu perjalanan Pengajaran & Pembelajaran (P&P) di dalam kelas.

Institusi latihan kepimpinan dan pengurusan guru seperti IAB yang memberi latihan kepada pengetua dan guru besar, tidak diperkasakan seperti INTAN. Sebagai contohnya IAB cawangan utara menumpang di Institut Perguruan Darulaman(IPDA) manakala tempat penginapan peserta-peserta kursus IAB menumpang di Taman Siswa UUM, keadaan ini sesungguhnya telah memberi penghinaan kepada pengetua dan Guru Besar yang menerima latihan.

IAB dibawah kepimpinan Dr Ibrahim Bajunid telah mengadakan kursus kepada kepimpinan sekolah secara berkesan dan global. Pengetua-pengetua digalakkan membuat ijazah sarjana dan kedoktoran. Kesannya ramai dikalangan guru-guru sekarang mempunyai ijazah sarjana dan kedoktoran. Beliau juga telah memperkenalkan Ijazah Pengurusan Sekolah di kalangan pengetua dan guru besar. Proses pemilihan untuk mengikuti kursus ini amatlah ketat dan professional tetapi malangnya ijazah kepengetuaan (NPQH) ini tidak diiktiraf dan pelantikan pengetua dan guru besar kekal mengikut “senioriti”.


ISU 7 :PERPADUAN NEGARA

Warga Negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai hubungan antara kaum yang semakin jauh berbanding dengan zaman 50-an, 60-an dan 70-an. Keadaan ini berlaku kerana pendidikan di buat berdasarkan kaum dan hendak menjaga kompenan-kompenan dalam Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC). Jika hal ini dibiarkan terus berlaku, hasrat untuk mewujudkan Negara Malaysia bersatu-padu semakin jauh. Sudah sampai masanya sekarang, KPM wajib memikirkan satu kaedah yang tepat bagaimana untuk mengintegrasikan semua bangsa ini supaya berada dibawah satu sekolah dan sekolah-sekolah ini pula diajar selain daripada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris iaitu Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dan dalam masa panjangnya berlaku integriti dikalangan bangsa-bangsa ini.


ISU 8 : PEMBANGUNAN MODAL INSAN KELAS PERTAMA

Pembangunan modal insan kelas pertama adalah satu daripada lima teras utama ke arah pencapaian matlamat wawasan 2020. Di KPM sekarang pelaksanaan pembangunan Modal Insan adalah kabur. Justeru itu, masalah sosial di kalangan remaja lepasan sekolah terus meningkat. KPM lebih mengutamakan upacara luaran seperti keceriaan, keselamatan dan kebersihan (3K). Tetapi mengabaikan 2K yang jauh lagi penting iaitu Kurikulum dan Kokurikulum. Sedangkan Kurikulum dan Ko-kurikulum adalah asas kepada pembentukan Modal Insan. Sekolah-sekolah yang memenangi 3K di kategorikan sebagai sekolah cemerlang manakala pengetua dan guru besar yang sekolahnya memenangi 3K akan dilantik sebagai pengetua dan guru besar cemerlang. Sepatutnya sekolah dan pengetua/gurubesar cemerlang itu yang memberi fokus kepada kurikulum, kokurikulum, kebersihan, keceriaan dan keselamatan (5K). Saya telah mencadangkan berkali-kali di dalam mesyuarat KPM tentang 5K ini sehingga saya bersara, tetapi cadangan ini tidak diterima. Sesungguhnya kejayaan agenda pembangunan Modal Insan amat bergantung kepada kualiti sistem pendidikan dan terasnya ialah aktiviti instruksional atau P&P. Potensi persepakatan dan bersepadu dalam P&P ternyata masih belum berjaya dan belum dimanfaat secara optimum. Mengikut laporan Jemaah Nazir, terdapat guru-guru mengajar tanpa set induksi, pengajaran tidak berpusatkan murid, perancangan strategik didapati tidak sistematik, kualiti pengajaran guru masih di tahap sederhana, pengajaran disampaikan tanpa mengira pengetahuan sedia ada pada murid, kurang pemantauan dan sistem pentaksiran yang longgar. Kelemahan-kelemahan ini tidak juga berubah dan KPM tidak mengambil perhatian yang serius. Semasa saya menjadi Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, saya telah menggerakkan Kepimpinan Instruktional secara besar-besaran di seluruh negara tetapi pihak-pihak atasan tidak memberi sokongan padu tentang pengurusan kurikulum berkesan ini.

Dalam aspek pencapaian akademik, peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM, terdapat jurang pencapaian pelajar-pelajar bandar, luar bandar dan pendalamam sangat jauh bezanya. Demikian juga terdapat perbezaan pencapaian akademik antara kaum Melayu, Cina dan India di SK, SJKC dan SKJT. Laporan analisis UPSR 2008 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) adalah seperti berikut

Peratusan Pencapaian UPSR : 5A

Tahun

Jenis sekolah

2006

2007

2008

SK

10.9%

11.32%

13.21%

SJKC

10.3%

8.64%

7.58%

SJKT

3.1%

2.67%

3.67%

Daripada analisis di atas nampak jurang perbezaan kecemerlangan di antara jenis-jenis sekolah di Malaysia. Ini perlu diberi perhatian jurang-jurang ini dapat dirapatkan.

Berikut pula bilangan Pelajar Cemerlang (A) mengikut jenis matapelajaran di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jenis sekolah

Mata pelajaran

SK

SJKC

SJKT

BM (Kefahaman)

45.5%

27.3%

15.6%

BM(Penulisan)

66.5%

17.2%

29.0%

BI

26.2%

29.1%

22.5%

Matematik

26.7%

69.9%

22.3%

Sains

21.3%

49.8%

27.7%

Daripada data di atas, terdapat beberapa perkara yang perlu dibetulkan. Sebagai contohnya, Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT masih lemah pencapaiannya. Dalam mata pelajaran matematik dan sains pula SJKC jauh lebih tinggi berbanding dengan SJKT dan SK. Jadi jurang ini perlu dirapatkan supaya peluang ke pusat pengajian tinggi nanti akan seimbang di antara bangsa-bangsa Malaysia. Daripada aspek yang lain pula, iaitu bilangan yang tidak menguasai Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains adalah sangat besar mengikut jenis aliran sekolah. Misalnya dalam PMR 2008, bilangan yang mendapat C, D dan E ialah 51.7% dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, 50.8% bagi mata pelajaran Matematik manakala 59.5% bagi mata pelajaran Sains. Bilangan yang tidak menguasai ketiga-tiga mata pelajaran ini amat besar dan bagaimana mereka hendak menguasai Sains dan Matematik di tingkatan 4 dan 5. Kelemahan ini jika tidak diatasi menyebabkan peluang pelajar-pelajar ini untuk ke universiti amat tipis.

Dalam peperiksaan UPSR setiap tahun, didapati 40,000 murid yang mendapat 5A tetapi yang boleh ditampung untuk masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hanya kira-kira 5000 orang murid sahaja. Baki bagi pelajar-pelajar yang mendapat 5A ini akan ditempatkan di sekolah-sekolah biasa atau di dalam kelas rancangan khas. Di dalam setiap peperiksaan PMR, pelajar-pelajar di SBP yang mendapat semua A puratanya ialah 70%, sedangkan pelajar-pelajar cemerlang UPSR yang ditempatkan di kelas-kelas rancangan khas hanya mendapat 12% ke 15% sahaja. Keadaan ini tidak pernah mendapat perhatian daripada pihak KPM dan tidak pernah dibincangkan langkah-langkah mengatasinya. Sedangkan dalam PIPP menyatakan dengan jelas matlamatnya untuk merapatkan jurang pencapaian antara sekolah bandar, luar bandar dan pendalaman.


ISU 9 : MUAFAKAT PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU MALAYSIA

Sekolah-sekolah yang cemerlang di Amerika Syarikat mempunyai PIBG yang cemerlang dan demikian juga di Malaysia. Di Malaysia terdapat PIBG yang bergerak cergas, sederhana dan lemah. Untuk menyeimbangkan kecergasan PIBG, perlu kepada penubuhan muafakat PIBG peringkat negeri dan kebangsaan. Melalui muafakat ini, PIBG yang cerdas dapat membantu dan menolong PIBG-PIBG yang lemah daripada aspek pemikiran, strategik dan kewangan supaya dapat menjadi cergas seperti mereka. Pada tahun 1999, semasa saya menjadi ketua Jabatan Komuniti, Institut Aminuddin Baki, Genting Higland, saya telah menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang wujud sehingga sekarang di bawah pimpinan Datuk Profesor Dr. Ali Hassan. Tetapi malangnya, PIBGN ini tidak bergerak sebagai satu organisasi peringkat nasional, sebaliknya bergerak secara berseorangan dengan mengabaikan aktiviti-aktiviti PIBG di peringkat negeri. Semasa saya menjadi Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), saya telah mengadakan tujuh siri dialog dengan ibu bapa di seluruh Wilayah Persekutuan. Akhirnya, Majlis Muafakat PIBG Wilayah Persekutuan dapat ditubuhkan dan bergerak secara aktif. Sesudah saya bersara, Majlis Muafakat ini terus berkubur kerana ia tidak mendapat restu daripada KPM. KPM berpendapat Majlis Muafakat PIBG tidak boleh ditubuhkan kerana sangkaan mereka Majlis Muafakat PIBG ini akan menentang kerajaan.


ISU 10 : (PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS PPSMI DAN BAHASA INGGERIS SEBAGAI SYARAT LULUS SPM.

Dasar ini telah digubal sejak Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri lagi. Pada umumnya, dasar ini adalah dasar yang merugikan negara. Pelaksanaan PPSMI ini akan menyebabkan jurang pencapaian akademik pelajar-pelajar bandar, luar bandar, miskin dan kaya akan bertambah luas. Peluang pelajar-pelajar miskin luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti akan bertambah sempit. Dari aspek yang lain, Bahasa Melayu akan terus terpinggir dan tidak akan digunakan sebagai bahasa rasmi, jati diri orang-orang melayu semakin hilang.

Cadangan Menteri Pelajaran/TPM Malaysia yang menjadikan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus SPM akan sangat merugikan pelajar-pelajar miskin luar bandar. Keadaan ini berlaku kerana guru-guru Bahasa Inggeris tinggal di bandar-bandar. Dan yang menyedihkan keadaan ini berbeza sekali di luar bandar dimana bilangan guru-guru Bahasa Inggeris adalah jauh tidak mencukupi. Dan secara realitinya ada sekolah di luar bandar yang terpaksa mengambil guru agama untuk mengajar Bahasa Inggeris.


*Kertas Kerja ini telah dibentangkan di Seminar Pendidikan PKR Malaysia oleh Mantan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Tuan Haji Abas bin Haji Awang (Ketua Penerangan PKR Pahang/ Ketua PKR Cabang Bera).

No comments: