PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Thursday, December 4, 2008

Saranan Mukhriz "Satu Sistem Pendidikan" Berniat Politik

Parti Keadilan Rakyat (keADILan) membantah keras kenyataan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkenaan "pelaksanaan satu sistem pendidikan" yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman bagi membantu kempennya untuk merebut jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti tersebut.

Di dalam laporan akhbar Sinar Harian yang bertajuk "Melayu boleh pertikai ketuanan ekonomi, wujudkan sekolah satu aliran: Mukhriz" pada 2 Disember 2008 dan laporan Malaysiakini yang bertajuk "Mukhriz: Close Down Vernacular School" pada 1 Disember 2008, Mukhriz mencadangkan agar sekolah-sekolah vernakular di negara ini ditutup sebagai reaksi kepada pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang mempersoalkan ketuanan Melayu.

Menyedari Malaysia sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, KeADILan berpendirian bahawa adalah wajar memperkasa sistem pengajian sekolah kebangsaan di samping mempertahan dan meninggikan sistem sekolah Rendah Jenis Kebangsaan.

Hal ini kerana hanya dengan menghormati hak kaum masing-masing untuk mempelajari bahasa ibunda dan menggalakkan perkembangan pelbagai kebudayaan serta kesenian di negara ini, akan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu.

Maka cadangan Mukhriz berkenaan"Satu Sistem Pendidikan" yang jelas berniat menonjolkan dirinya sebagai "pejuang bangsa Melayu" supaya menang Ketua Pemuda Umno pada Mac tahun depan, bukan sahaja membantutkan perkembangan pendidikan pelbagai aliran, malah turut menjejaskan hubungan sesama kaum.

Sekiranya Mukhriz benar-benar seorang "pejuang bangsa Melayu", beliau seharusnya menentang Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Inggeris (PPMSI) yang menyebabkan kemerosotan mutu pendidikan khususnya di kalangan masyarakat Melayu luar bandar yang miskin, dan bukan menghapuskan aliran pendidikan lain.

Hakikatnya sebagai calon yang bakal memimpin barisan Pemuda Umno, Mukhriz telah gagal mengemukakan pandangan yang lebih terbuka dari segi pendidikan tetapi mengikut jejak lama pemimpin sekarang yang bersifat perkauman, malah lebih ekstrim bagi melanjutkan polisi perkauman Umno-BN.

Akhirnya KeADILan menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan provokasi Mukhriz yang cuba mengapi-apikan pergaduhan kaum demi kepentingan politik sendiri, dan terus menggesa kerajaan BN kembali kepada sistem pendidikan yang adil kepada semua.(tamat)

NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai, WP


No comments: