PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Wednesday, December 3, 2008

Hantu Altantuya masih memburu keadilan

By Mohamed Hanipa Maidin

Kerajaan BN banyak melakukan kesilapan dan tindakan bodoh. Namun keputusan tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Razak Baginda adalah satu kebodohan di tahap atau peringkat yang paling tinggi (stupidity of the highest order).

Dari segi perundangan Pendakwa Raya mempunyai peluang untuk merayu sebanyak dua kali. Pertamanya merayu ke Mahkamah Rayuan dan sekiranya masih kalah di Mahkamah Rayuan ia boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan. Mengapa Pendakwa Raya mensia-siakan kedua-dua peluang ini masih menjadi persoalan.

Walau apa pun alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui Peguam Negara, untuk tidak merayu tidak boleh diterima oleh rakyat. Kes pembunuhan Altantuya bukan kes pembunuhan biasa. Ia bukan sahaja melibatkan pembunuhan warga asing malahan cara simati dibunuh suatu yang amat mengerikan dan mengaibkan nama dan reputasi negara. Penggunaan bom C4 menunjukkan terdapat elemen penyembunyian ataupun pemusnahan keterangan.

Cara Altantuya dibunuh menunjukkan wanita Mongolia ini satu elemen yang merbahaya kepada 'dinasti Razak'. Sama ada Azilah atau Sirul yang membunuh Altantuya belum dapat dipastikan secara sah oleh Mahkamah. Namun yang pasti di dalam kes pembunuhan Altantuya, fakta-fakta berikut boleh dikatakan tidak dipertikaikan.

- Altantuya sudah dibunuh;
- Altantuya ada hubungan intim dengan Razak Baginda;
- Altantuya mengganggu Razak dan ada meminta duit dari beliau;
- Razak ada hubungan dengan Najib Tun Razak;
- Razak mendapat manfaat kewangan yang besar dalam urusan pembelian kapal selam yang melibatkan Kementerian Pertahanan dengan Najib Tun Razak;
- Razak ada menghubungi Najib Tun Razak apabila beliau diganggu oleh Altantuya;
- Razak ada berhubung dengan Azilah dan Sirul berhubung gangguan yang beliau terima dari Altantuya;
- Azilah dan Sirul bukan anggota polis biasa tetapi dari Unit Tindakan Khas (UTK).

Fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa kes pembunuhan Altantuya bukan kes bunuh biasa. Jika kisah Altantuya difilemkan peluang untuk cecah 'box office' amat cerah.

Perbicaraan kes pembunuhan Altantuya bukan sahaja melibatkan Razak Baginda; sebaliknya keseluruhan sistem keadilan negara turut dibicarakan. Jika penangkapan dan seterusnya pendakwaan ke atas Razak memberi sedikit harapan untuk dunia melihat satu perbicaraan yang telus akan dilakukan; keputusan Mahkamah Shah Alam membebaskan Razak dan keputusan Pendakwa Raya enggan memfailkan rayuan di atas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut membuang harapan yang sedikit itu ke dalam longkang.

Ketiadaan rayuan bermakna Pendakwa Raya seolah-olah mengesahkan bahawa keputusan Hakim Dato' Zaki, seorang hakim yang agak junior, adalah keputusan yang tidak ada cacat cela dan tidak mungkin akan diganggu gugat oleh Mahkamah Rayuan.

Jika ini alasannya (iaitu keputusan Mahkamah Tinggi terlalu kuat dan utuh untuk diubah oleh Mahkamah Rayuan) jawapan ringkas rakyat adalah: "Jangan hendak perbodohkan kami" (don't insult our intelligent).

Sejak bila Pendakwa Raya dengan mudah menerima keputusan seorang Hakim Mahkamah Tinggi tanpa terlebih dahulu menguji keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan?

Jika kes selak kain Abdul Razak Abas @ Abe Jak yang dibebaskan oleh Majistret pun Pendakwa Raya membuat rayuan, takkanlah kes Altantuya tidak dirayu. Tidak logik. Jika Haneef Basri yang dibebaskan di atas pembunuhan Norita juga menyaksikan Pendakwa Raya membuat rayuan bagaimanakah Razak Baginda begitu istimewa sehingga Pendakwa Raya merasakan tidak perlu merayu.

Dalam hal ini rakyat berhak diberikan alasan yang jujur dan telus terhadap keputusan tidak merayu itu. Adakah keputusan Hakim Mahkamah Tinggi terlalu kuat dan hebat sehingga tidak perlu merayu ataupun terdapat desakan yang kuat dan hebat dari elit yang berkuasa ke atas pihak Pendakwa Raya supaya Razak tidak diganggu yang demikian tidak perlu merayu.

Melihat bagaimana kes ini dikendalikan sejak awal, kita tidak perlu mempunyai ijazah untuk membuat kesimpulan faktor kedua yang mendorong Peguam Negara tidak merayu.

Apabila Pendakwa mendakwa Razak Baginda, ia pada hakikatnya mewakili rakyat. Dalam kes serius, sebesar dan sepenting ini, rakyat amat mengharapkan satu gerak kerja pendakwaan kelas pertama. Pendakwaan kelas pertama berkait rapat dengan penyiasatan yang teliti, rapi dan profesional.

Apabila Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa Razak, ia sepatutnya sudah bersedia dari semua sudut bagi memastikan semua teori kesnya boleh dipertahankan dari serangan peguambela dan Mahkamah. Ini bermakna sekiranya peguambela dan Mahkamah Tinggi menolak teori kes pendakwa, pihak pendakwa sewajarnya telah bersedia untuk meyakinkan Mahkamah Rayuan bahawa teori kes pendakwa adalah betul dan Mahkamah Tinggi telah tersilap kerana menolak teori kes pendakwa tersebut.

Keputusan tidak merayu menunjukkan pendakwa raya tidak serius mengendalikan kes serius tersebut. Sama ada Kerajaan sedar atau tidak keputusan tidak merayu bukan sahaja memburukkan imej dan integriti sistem keadilan negara ini, malahan ia pasti akan menjejaskan iklim pelaburan negara. Pelaburan mempunyai hubungan rapat dengan isu keselamatan. Jika pelabur mempunyai persepsi bahawa negara ini tidak selamat akibat hancurnya sistem keadilannya, kita harus berterimakasih kepada keputusan dan tindakan Kerajaan mengendalikan kes Altantuya.

Meskipun Peguam Negara memutuskan untuk tidak mahu merayu di atas pembebasan Razak Baginda, rakyat masih berhak membuat satu tuntutan kepada Mahkamah Rayuan untuk membuat semakan (revision) di atas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Saya amat berharap rakyat akan membuat satu petisyen kepada Mahkamah Rayuan supaya melakukan semakan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Untuk Peguam Negara, kami amat malu mempunyai Peguam Negara seperti kamu. Berhentilah jika kamu masih ada harga diri.

1 comment:

Suhaimi Said said...

Daripada awal lagi semua orang dah teka dan kata bahawa Razak Beginda akan dibebaskan.

Dia ada payung besar!

Sekarang ini, persoalannya kalau Razak tak bersalah, maka sudah pasti Payung Besar itu yang bersalah.

Takkan 2 orang polis yang langsung tak kenal dan tak ada kepentingan dengan Altantuya itu yang bersalah!

Apa niat mereka?

Payung Besar mesti dan wajib disiasat.

Masa dia kuat dan memerintah ni, dia boleh lepas! Kita tunggu, beberapa tahun lagi bila dia dah hilang kuasa? Jangan ingat dia boleh terlepas!

Dan diakhirat nanti, pasti ada perbicaraan lagi!