PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Monday, November 10, 2008

PENJELASAN ISU-ISU SEMASA

EPF/KWSP/Valuecap

i. KWSP ialah wang rakyat. Setiap bulan gaji para pekerja dipotong dan dicarumkan ke KWSP sebagai persediaan di hari tua.

ii. Najib mengumumkan kerajaan akan menyuntik RM5 bilion wang KWSP ke syarikat pengurusan dana Valuecap bagi menyelamatkan kejatuhan saham KLSE.

iii. Tindakan ini:-

a. Mendedahkan wang rakyat kepada risiko laburan yang tinggi. Wang tersebut seharusnya digunakan sebagai jaminan hari tua untuk anak-anak, kesihatan dan rumah.

b.Suntikan RM5 bilion adalah terlalu kecil jika dibandingkan kepada jumlah pasaran di Bursa Malaysia iaitu RM689.5 bilion.

c. Tidak akan memberi “multiplier effect” (tak berkesan).

d. Timbul soalan pembaziran dana awam dan ketidaktelusan dalam proses pelaburan. Siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas pinjaman ini jika mengalami kerugian kelak? Siapakah yang akan menanggung kerugian tersebut?

e. Mungkin digunakan untuk menyelamatkan kroni-kroni UMNO dan syarikat GLC yang mengalami kerugian.

iv. Apa yang meragukan di sebalik kelulusan kerajaan untuk meminjamkan wang KWSP sebanyak RM5 billion tersebut kerana Valuecap Sdn Bhd pun berhutang kepada pemegang saham yang sepatutnya dibayar pada bulan Febuari 2009. Adakah pinjaman dari dana pekerja (KWSP) itu bertujuan untuk membayar hutang kepada ketiga-tiga pemegang sahamnya?

v. Perlepasan wang KWSP :-

a. Tahun 1996 - Perwaja RM500 juta

b. Tahun 2001 - Time Dotcom RM1.9 bilion

c. Tahun 2008 - ValueCap RM5 bilion


Kemiskinan

i. Kerajaan perlu sedar dalam laporan pembangunan sumber insan Bangsa-bangsa Bersatu 2007, Malaysia mempunyai jurang pendapatan di antara yang kaya dengan yang miskin paling tinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia selepas Papua New Guinea. 10% rakyat terkaya menguasai 38.4% kekayaan Negara manakala 10% rakyat miskin memiliki 1.7% dari kekayaan Negara.

ii. Ini berlaku kerana kerajaan mengagihkan peluang perniagaan dan kontrak kepada kumpulan yang sama yang sudah kaya raya dan meminggirkan peniaga atau usahawan-usahawan lainnya.

iii. Perlu menakrifkan semula golongan rakyat miskin yang sekarang ini terdiri daripada mereka berpendapatan RM690 sebulan dengan tanggungan 5 orang.

iv. Dengan takrifan ini hanya 5.7% tergolong sebagai rakyat miskin. Tetapi, cukupkah RM690 untuk menampung kehidupan sekeluarga?

v. Garis kemiskinan sekarang sepatutnya RM1,500 dengan tanggungan 5 orang. Ini berdasarkan setengah daripada pendapatan purata surirumah sebanyak RM3,000 sebulan. Dengan ini, lebih kurang 38% daripada rakyat negara ini tergolong dalam kemiskinan!



“Bajet Pak Lah” lwn “Bajet Pakatan Rakyat” lwn “Bajet Najib”

i. Dalam Bajet 2009 (dibentangkan oleh PM Abdullah Badawi pada 29 Ogos 2008), pendapatan Petronas dijangka terus menyumbang kepada 40% pendapatan kerajaan secara keseluruhan. Ketika itu, harga petrol dunia mencecah US$125 setong.

ii. Sekarang harga petrol dunia telah jatuh kurang daripada US$65 setong. Kos pengeluaran Petronas dianggarkan US$60 se tan.

iii. Kejatuhan US$1 dalam harga petrol dunia akan mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM600 milion dalam setahun.

iv. Harga minyak sawit juga telah jatuh sebanyak 65%. Pada Mac tahun ini, harga minyak sawit dunia adalah RM4,486 setan, sekarang sudah jatuh kepada RM1,565 setan. Kos pengeluaran dianggarkan RM1,200 - RM1,700 setan.

v. Untuk tahun 2009, Pakatan Rakyat menjangkakan pengurangan dalam pendapatan kerajaan sebanyak 11% kepada lebih kurang RM157 bilion berbanding anggaran BN sebanyak RM176 bilion, yang berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dan kemerosotan KDNK akibat kemelesetan global.

vi. Oleh itu Bajet 2009 yang dibentangkan oleh PM jelas tidak berdasarkan realiti terkini iaitu krisis ekonomi, kewangan global dan kejatuhan teruk pasaran komoditi.

vii. Ketika mengemukakan Bajet Pakatan Rakyat pada 23 Oktober 2008, pimpinan Pakatan Rakyat menegaskan bahawa kepincangan Bajet 2009 bukan sahaja pada jangkaan, tetapi juga cara mengatasinya dalam jangkamasa 2008 dan 2009.

viii. Justeru pimpinan Pakatan Rakyat meminta agar kerajaan melakukan peninjauan semula ke atas Bajet 2009 yang dibentangkan pada Ogos lalu bagi mengemukakan bajet baru yang berdasarkan situasai ekonomi semasa.

x. Hakikatnya, Menteri Kewangan baru juga TPM Najib Razak pada 4 Nov telah membentangkan pelan rangsangan dalam Dewan Rakyat tanpa mengemukakan pindaan terhadap Bajet asal ketika menggulung Bajet 2009 yang dibentangkan oleh PM pada Ogos lalu.

xi. Tanpa pindaan terhadap bajet asal serta pelan baru tidak diedarkan lebih awal kepada semua Ahli Parlimen untuk menyelidik dan mengkaji, YDP Dewan membuat keputusan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi dan angka-angka yang dibentangkan, termasuk RM7 ribu juta, oleh Najib ketika menggulung Bajet 2009 yang menyerupai bajet baru, adalah tidak sah dan tidak mengikat Belanjawan 2009. Semuanya tidak relevan, Najib tipu rakyat.

xii. Atas sebab itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ambil keputusan untuk keluar dewan pada 5 Nov sebagai bantahan terhadap:-

a. Tindakan Najib bentangkan Bajet baru tidak ikut Peratusan Mesyuarat kerana tidak kemukakan pindaan terhadap Bajet asal lebih awal; dan

b. Sikap Najib enggan beri laluan kepada Ahli Parlimen untuk celah dan minta penjelasan kerana takut untuk berbahas.


Balasan kepada Pelan Rangsangan Ekonomi oleh Najib

i. Najib meniru saranan Pakatan Rakyat dengan menambah 1.2 billion untuk hasrat ini dengan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad. Projek ini akhirnya akan diperolehi oleh kroni-kroni jua.

ii. Pakatan Rakyat memperuntukkan tambahan sejumlah RM1 billion untuk pembangunan perumahan, lebih daripada dua kali ganda yang ditawarkan kerajaan dalam belanjawan 2009.

iii. Pakatan Rakyat juga akan menyediakan dana pinjaman mudah untuk pembinaan bertujuan memastikan kontraktor kecil dan sederhana tidak menghadapi masalah aliran tunai yang terhad.

iv. Pakatan Rakyat akan memastikan lebih banyak perumahan kos rendah dan sederhana akan dibina dengan penilaian semula harga siling untuk perumahan kos rendah dengan perhitungan kos material pembinaan semasa.

v. Pemotongan sementara untuk sumbangan pekerja kepada KWSP daripada 11% kepada 9% sebulan untuk tempoh satu tahun bagi meningkatkan pendapatan yang boleh dibelanjakan. Langkah ini akan menyuntik hampir RM2 bilion ke dalam ekonomi untuk perbelanjaan dalam negara. Idea ini juga ditiru bulat-bulat oleh Najib.


Skandal pembelian Eurocopter

i. Pembelian 12 unit Eurocopter Cougar EC725 yang melibatkan kewangan negara berjumlah RM1.604b.

ii. Di Brazil, pembelian 50 unit helikopter “Multi-Mission” ini akan melibatkan jumlah kewangan sebanyak RM4.14b (USD 1.2b) atau RM82.8 juta bagi setiap unit. Sila bandingkan dengan Malaysia yang membeli 12 helikopter jenis ini dengan harga RM1.604b atau RM134 juta bagi setiap unit.

iii. Perbezaan harga yang diperolehi adalah RM51 juta bagi setiap unit.

iv. Kita jelas bahawa pembelian kereta Kancil pun kita kena memeriksa keadaannya. Tetapi, pembelian helicopter yang berjumlah RM1.6 bilion ini tidak pernah diperiksa. Ia langsung tidak masuk akal!

v. Kita khuatir, adakah pembelian Helikopter Nuri sebelum itu tidak diperiksa? Adakah itu punca Nuri membawa begitu banyak kes kemalangan yang mengorbankan askar-askar kita?

vi. Kita juga ingin bertanya, adakah kapal terbang khas Najib tidak diperiksa sebelum membelikannya? Jika ya, adakah ia bermaksud harga nyawa najib adalah lebih tinggi daripada harga askar-askar lain.

vii. Semasa siasatan oleh PAC, Abdullah membatalkan pembelian Eurocopter tersebut selepas 32 hari pembeliannya. Kenapa?


Skandal pembelian Kapal Selam Scorpene

i. Pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM4.5 bilion. Peruntukan ini boleh digunakan untuk membina satu KLCC!

ii. Najib dengan kuasa yang dimilikinya telah melantik syarikat milik Abdul Razak Baginda, sebagai agen menguruskan pembelian kapal selam daripada Perancis dengan komisen berjumlah RM520 juta.

iii. yarikat Perimekar Sdn Bhd didakwa menerima komisen.

iv. Apabila khalayak umum memberi duit kepada pihak penguatkuasa, ia dipanggil sebagai perbuatan rasuah. Apabila skandal pembelian kapal selam melibatkan pemberian sejumlah wang yang besar, ia bergelar komisen.

v. Mantan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Dr Wan Azizah meminta menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat pembelian peralatan ketenteraan oleh Kementerian Pertahanan tetapi tidak dipedulikan. Adakah Najib takut disiasat?


Skandal pembelian Sukhoi Russia

i. Pembelian pesawat pejuang Sukhoi bernilai RM3.2 bilion.

ii. Pelantikan syarikat bekas Menteri Penerangan, Dato’ Seri Adib Adam sebagai broker pembelian – seorang lagi Kroni UMNO!

iii. Melibatkan pembayaran komisen berjumlah RM400 juta.



Skandal Projek High-Speed Broadband (HSBB)

i. Pada 16 September 2008 Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi atau High-Speed Broadband yang bernilai RM11.31 bilion secara tergesa-gesa sehari sebelum dilantik secara rasmi sebagai Menteri Kewangan.

ii. Timbalan Perdana Menteri juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet untuk jalur lebar – “conflict of interest” adalah jelas.

iii. Dalam perjanjian dengan Telekom itu, Kerajaan perlu menyuntik RM2.4 bilion untuk tempoh tiga tahun pertama, tetapi anehnya setelah suntikan dana awam disempurnakan, projek itu akhirnya akan menjadi milik mutlak Telekom sepenuhnya.

iv. Sebuah lagi syarikat telekomunikasi (Maxis) berupaya menawarkan sebutharga berjumlah lebih kurang RM7 bilion dengan spesifikasi yang sama; ini bermaksud dengan harga RM4 bilion lebih rendah.


Kes Pembunuhan Altantuya

i. Kes Altantuya merupakan satu-satunya kes besar penuh sensasi yang melibatkan kepimpinan politik Malaysia secara langsung dengan pembunuhan ngeri seorang model.

ii. Altantuya Shaariibuu @ Aminah Abdullah (Bahasa Mongolia: Алтантуяа Шаарьбуу) (1978-2006), seorang rakyat Mongolia, merupakan seorang mangsa bunuh yang mana baki mayatnya telah dihancurkan dengan bahan letupan C4. Altantuya telah dilahirkan pada tahun 1978, anak kepada Shaaribuu Setev, seorang profesor psikologi dan Sh Altantsetseg.

iii. Altantuya tinggal dan dibesarkan di St. Petersburg, Rusia, sehingga berusia 12 tahun dan mendapat pendidikan di Beijing, China. Dia fasih berbahasa Mongolia, bahasa Inggeris, Rusia, Mandarin dan Perancis. Altantuya Shariibuu bekerja sebagai guru siswazah dan penterjemah dan jurubahasa di Ulaan Bataar.

iv. Altantuya Shariibuu juga bekerja dengan beberapa agensi pelancongan dan sebagai model sambilan. Beliau sering ke luar negara selaku model sambilan. Wanita cantik dari Mongolia ini dipercayai diletupkan dengan C4 di Shah Alam, Selangor. Bahan letupan C4 ini sukar diperolehi di Malaysia kecuali oleh pihak tentera dan polis Malaysia sahaja.

v. Siasatan awal mendapati Abdul Razak Baginda, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar terlibat secara aktif. Mereka dari Unit Tindakan Khas Kementerian Pertahanan dan penganalisis keselamatan antarabangsa. Dari sinilah nama Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan dikait-kaitkan.

vi. Dari awal lagi Najib telah menafikan pelbagai khabar angin yang mengaitkan nama beliau. Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, tidak ada lagi sebarang kenyataan penafian kerana akan menjejaskan proses perbicaraan. Setelah sekian lama, kes Altantuya ini berlangsung dan pelbagai khabar angin penglibatan Najib barulah dinafikan secara rasmi pada 1 Mei 2008. Semasa dan sebelum pilihan raya 2008, nama beliau diperkatakan oleh pihak pembangkang dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu hanya ‘mendiamkan’ diri sahaja.

vii. Pada 1 Mei 2008, Najib melalui setiausaha akhbarnya Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menafikan sekeras-kerasnya beliau terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu. Antara kenyataan dan penafian itu termasuklah kononnya tidak pernah mengenali wanita Mongolia itu dan tidak pernah bertemu dengan mangsa terbabit.

Berikut ialah 8 Persoalan Besar Kes Altantuya:

1. Enggan siasat saksi
Dakwaan seorang saksi kes Altantuya bahawa Altantuya pernah makan bersama dengan Razak Baginda dan individu bernama ‘Najib Razak’ tidak pernah disahkan. Malahan kredibiliti saksi itu juga tidak pernah diteliti oleh pihak penyiasat mahupun pihak mahkamah.

2. Enggan siasat gambar
Kononnya ada sekeping gambar Altantuya dengan Razak Baginda dan ‘Najib Razak’ tidak pernah dibuktikan oleh mana-mana pihak. Ini disebut oleh seorang saksi kes tetapi tidak disiasat oleh pendakwaan. Sewajarnya, sebuah unit siasatan dikerahkan memastikan kewujudan gambar ini benar atau tidak.

3. Enggan panggil saksi
Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak ada kaitan dengan pembunuhan Altantuya. Beliau juga mendakwa tidak pernah menyokong permohonan visa Altantuya untuk datang ke Malaysia. Beliau juga menafikan sengaja menghapuskan rekod Jabatan Imigresen Malaysia berhubung kedatangan Altantuya ke Malaysia. Memandangkan Najib begitu kerap memberi pelbagai kenyataan berkaitan kes ini, sewajarnya najib dipanggil sebagai saksi. Keengganan memanggil Najib memberi keterangan menguatkan persepsi umum bahawa ada perkara hendak disembunyikan dan Najib takut.

4. Saksi ditahan di bawah ISA
Kebanyakan kenyataan-kenyataan Raja Petra Kamaruddin (RPK) berhubung kes ini merupakan ‘hearsay’ yang tidak pernah dibuktikan kesahihannya. Kes pembunuhan Altantuya dikatakan tidak bersangkut-paut dengan pembelian kapal selam yang dibeli oleh kerajaan Malaysia. Kementerian Pertahanan Malaysia memang ada membeli kapal selam tersebut tetapi mengaku tidak pernah melibatkan wanita bernama Altantuya. Sekiranya ini benar, RPK patut diberi peluang membela diri di mahkamah dan bukan ditahan di bawah ISA. Apabila RPK ditahan di bawah ISA, tentulah beliau boleh diseksa dan diberi tekanan sewaktu di dalam ISA.

5. Tindakan pelik Rosmah
Sewajarnya, apabila seseorang itu difitnah, si mangsa akan segera mempertahankan diri dan mendakwa pemfitnah di mahkamah sekiranya berterusan memfitnahnya. Inilah yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tun Mahathir. Ini berbeza dengan Rosmah di mana beliau enggan mendakwa RPK yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya. Sebaliknya, dalam diam-diam, RPK ditahan di bawah ISA. Ini menguatkan persepsi bahawa Rosmah tidak berani mendakwa di mahkamah kerana ada perkara yang hendak disembunyikan.

6. Bala menghilangkan diri
Akuan bersumpah Bala tidak mendapat perhatian mahkamah. Laporan tidak diambil endah tetapi Bala sekeluarga hilang begitu sahaja. Kehilangan Bala sekeluarga telah menjadi sebuah misteri. "Saya diberitahu bahawa isteri Najib menemui Bala di British Isle beberapa hari selepas penyiasat persendirian itu menghilangkan diri dan membayar Bala RM5 juta. Saya diberitahu bahawa Bala dan keluarganya sedang berusaha untuk mendapatkan kewarganegaraan India. Saya benar-benar berharap ini tidak benar dan Rosmah akan membuat kenyataan menafikannya." Begitulah dakwaan blogger.

7. Tiada siasatan pertukaran mesej SMS Najib dengan Peguam
Pertukaran mesej SMS antara Najib dengan seorang peguam kanan, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, berhubung pendakwaan terhadap Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya sekitar November 2006 telah didedahkan, namun tiada sebarang siasatan dijalankan. Komunikasi SMS jelas memperlihatkan penyalahgunakan kuasa seorang Timbalan Menteri Perdana dengan mencampurtangan dalam kes pendakwaan terhadap Abdul Razak.

8. Ketua Hakim membebaskan Razak Baginda
Razak Baginda yang merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya telah dibebaskan dua hari selepas Bekas Penasihat Undang-undang Umno Zaki Azmi dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat membunuh Altantuya memperlihatkan keputusan mahkamah ke atas kes yang mengaitkan pimpinan tertinggi negara ini adalah tidak adil bagi Altantuya dan keluarganya, malah tidak bebas daripada kuasa politik.

No comments: