Oleh Wan Fauzdin
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan kuasanya maka seorang daripada hambanya telah dibebaskan dari belenggu kezaliman. Sifat profesional dan bertanggungjawab hakim yang telah membebaskan Raja Petra (RPK) dari tahanan ISA amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan. Kepada RPK, suka diingatkan bahawa pembebasan beliau bukan bermakna negara ini bebas sepenuhnya dari kezaliman. Perjuangan mesti diteruskan sehingga tiada seorang pun rakyat yang terus dizalimi dan teraniaya.
Asas pertuduhan terhadap RPK sebelum ini sememangnya agak serius terutamanya yang melibatkan isu agama. Sokongan PAS khususnya terhadap RPK selama ini bukan kerana atas isu yang ditimbulkan oleh RPK di dalam blognya, tetapi sokongan PAS sama seperti sokongan PKR dan DAP serta rakyat yang lainnya hanyalah kerana RPK telah dihukum dan ditahan tanpa bicara. Inilah asas mengapa Pakatan Rakyat dan rakyat yang lainnya menyokong pembebasan RPK. Masih ramai lagi insan yang menderita akibat akta purba ini, dan menjadi kewajipan semua untuk melihat akta ini akan dikuburkan secepat mungkin. Meskipun terdapat `suara-suara syaitan' yang menyerupai manusia yang masih mengagungkan akta ini, itu adalah musuh kita bersama walaupun seorang daripada mereka adalah lahir dari `ikhsan' kita untuk bersuara di Parlimen. Suara beliau bukan membawa suara rakyat tetapi membawa `suara syaitan', dan kita akan pastikan suara seperti ini tidak lagi berkumandang di Parlimen selepas Pilihanraya Umum Ke 13 nanti.
Saya mengenali dari jauh RPK sebagai seorang aktivis yang tidak minat berpolitik. Beliau bukan tokoh politik dan juga bukan tokoh agama, tetapi beliau adalah aktivis rakyat yang ingin menyuarakan pendapatnya. Memang benar, tidak semua pendapat beliau di dalam blog boleh diterima dan perlu kepada perbahasan lanjut, terutamanya pendapat beliau darihal agama Islam. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita terutamanya pemimpin di dalam Pakatan Rakyat yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam ilmu agama membimbing dan membantu RPK. Isu agama terlalu sensitif untuk diperkatakan apatah lagi bagi mereka yang tidak mendalami ilmu tersebut. Sekiranya kita hanya mempunyai asas agama, adalah lebih baik kita bercerita sekadar yang kita faham sahaja. Kepada RPK, saya suka menasihatkan beliau agar lebih menumpukan kepada isu-isu lain daripada menimbulkan isu-isu agama di dalam blognya. Saya amat mengkagumi beliau terutamanya keberanian beliau mendedahkan beberapa penyelewengan oleh beberapa pemimpin politik.
Pembebasan RPK akan dapat meningkatkan semangat kita untuk terus berjuang membebaskan mangsa-mangsa yang lain. Pembebasan beliau ini juga akan menyerlahkan lagi kepada rakyat betapa beruntungnya mereka kerana memilih Pakatan Rakyat yang tidak pernah jemu untuk memperjuangkan nasib rakyat bawahan. Kini, UMNO/BN telah mula terasa tertekan dengan kehendak rakyat yang inginkan perubahan. Sekiranya mereka gagal untuk berubah, Pakatan Rakyat mungkin telah bersedia menjalankan amanah rakyat ini.
MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA
PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM
Sunday, November 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment