PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Thursday, October 16, 2008

SUARA SONGSANG DARI PASIR MAS

by Wan Fauzdin

Perbahasan Bajet di dalam Parlimen yang sedang diadakan sekarang menarik perhatian seluruh rakyat di negara ini. Semenjak hari pertama khususnya sewaktu Ketua Pembangkang DS Anwar membahaskan bajet yang dianggapnya lapuk dan tidak praktikal, rakyat telah didedahkan dengan berbagai kemungkaran dan salah laku pemimpin kerajaan BN. DS Anwar berjaya mengemukakan hujah berlandaskan fakta dan bukti, tetapi masih belum cukup untuk menembusi telinga-telinga MP-MP BN yang telah lama tersumbat. Malang sekali, telinga mereka tersumbat dan mulut pula terkunci untuk menyatakan kebenaran.


Saya menjangkakan MP Bebas dari Pasir Mas yang kerusinya disedekahkan oleh PAS berani untuk menyuarakan kepentingan rakyat. Malang seribu kali malang, Ibrahim Ali yang cuba berlagak hero di Parlimen langsung tidak berwibawa untuk berbahas. Seperti biasa, beliau bangun dan sasarannya adalah DS Anwar. Beliau menuduh DS Anwar berlagak hero dan pejuang rakyat. Beliau menuduh DS Anwar hipokrit dan hanya pandai berkata-kata.

Sesekali Raja Katak ini membodek Tuan Guru Hj Hadi yang dikatakan layak menjadi PM. Beliau fikir Tuan Guru Hj Hadi terlalu murah harga sehinggakan termakan oleh bodek Si Katak? Saya tidak faham entah kenapa Ibrahim Ali ini terlalu membenci DS Anwar sejak dari DS Anwar dipecat sehingga sekarang. Dendam kesumat beliau tidak pernah habis melebihi dendam Tun Mahathir terhadap DS Anwar.

Namun demikian, saya memuji sikap DS Anwar yang tidak melayan ahli politik yang tidak berparti dan tidak berprinsip ini. Mungkin DS Anwar ingin menjaga air muka pemimpin PAS yang telah tersilap besar menyerahkan kerusi Pasir Mas kepada Ibrahim Ali.

Ibrahim Ali sememangnya tidak suka ada orang lain yang lebih disanjung oleh rakyat dan diangkat sebagai wira oleh rakyat. Bukan sahaja DS Anwar menjadi musuhnya, tetapi Presiden PAS Allahyarham Ustaz Fadzil Noor juga pernah dihina oleh beliau secara peribadi. Orang kuat Tun Mahathir ini pernah menggelarkan Allahyarham Us Fadzil Noor sebagai Monshe Dayan (bekas PM Israel yang `bermata satu' kerana mata sebelah ditutup).

Raja Katak ini juga pernah membuat lawak jenaka bodohnya dengan menyatakan beliau lah orang yang mengajar Tuan Guru Hj Nik Aziz Nik Mat memakai `semutar' (serban). Itu adalah kata-kata yang pernah dikeluarkan oleh Ibrahim Ali suatu ketika dahulu. Kita menjangkakan beliau telah insaf dan berubah setelah diterajang dengan penuh kehinaan oleh UMNO di Pasir Mas. Kita juga fikir Raja Katak ini turut sedar akan dirinya setelah terduduk di Pasir Mas di tangan PAS semasa pilihanraya tiga penjuru tahun 2004 di antara PAS, UMNO dan beliau calon Bebas yang hampir hilang deposit. Hebat sangatkah Ibrahim Ali ini di mata rakyat Pasir Mas ?

PAS sebagai satu wadah perjuangan Islam yang tidak pernah berdendam dan berburuk sangka terhadap sesiapa yang ingin bersama menentang kerajaan yang zalim, sanggup men `sedekah'kan kerusi Parlimen Pasir Mas kepada beliau pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Semua parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP bekerjasama untuk memenangkan Ibrahim Ali. Akhirnya, dengan ihsan (bukan ketokohannya) pengundi-pengundi Pasir Mas memilih Raja Katak ini sebagai wakil mereka di Parlimen.

Setelah beliau menang, apa yang beliau lakukan di Parlimen? Beliau lebih banyak menghentam Pakatan Rakyat terutamanya peribadi DS Anwar di Parlimen, di akhbar dan di TV. Lebih menyakitkan hati rakyat di Pasir Mas, Ibrahim Ali tetap dengan pendiriannya menyokong Akta ISA walaupun kununnya bersyarat. Akta ISA yang zalim atas apa jua alasan pun ditentang keras oleh Islam dan ini lah perjuangan Tuan Guru Hj Nik Aziz yang mana anak beliau sendiri pernah dizalimi oleh ISA ini. Malang sekali, Ibrahim Ali langsung tidak memikirkan itu semua kerana kini beliau seolah-olah merasa diri beliau hebat menjadi `Presiden Bebas' .

Beliau telah mengkhianati amanah Tuan Guru Hj Nik Aziz dan amanah rakyat di Pasir Mas. Rakyat di Pasir Mas berhak bangun dan bersuara agar Ibrahim Ali meletakkan jawatan serta merta. Malu rakyat Pasir Mas yang mempunyai wakil rakyat seperti `kera sumbang' yang angkuh dan sombong seperti beliau. Masih ramai yang jauh lebih baik dan layak dari Ibrahim Ali untuk kita angkatkan sebagai wakil kita.

Jangan nanti suara anda di Pasir Mas yang menentang kezaliman ISA untuk dibawa ke Parlimen tetapi di`songsang'kan oleh ahli politik yang songsang ini. Untuk DS Anwar, tidak perlu bagi beliau melayan kata-kata Ibrahim Ali, kerana beliau bukan lawan DS Anwar. Cukuplah kami di sini akan bersuara membela DS Anwar dan membela Pakatan Rakyat dari bunyian katak yang songsang ini.

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA

1 comment:

Suhaimi Said said...

Lupakan sajalah Ibrahim Ali ni, sekarang ni dia sedang bekerja keras meyakinkan Najib bahawa dia boleh dipercayai. Berhajat sangat tu dilantik mejadi Menteri. Kita hancurkan dia di Pasir Mas nanti. Tanpa PAS, dia tak sampai kemana-mana.