PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Friday, March 9, 2012

SPV akan ketepi hak peneroka dalam KPF


BERA, 9 Mac: SPV atau Special Purpose Vehicle (Syarikat Tujuan Khas) yang akan ditubuhkan untuk mengambil alih tugas Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF) bertujuan untuk penyenaraian saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) adalah mengenepikan hak peneroka.

Pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakop berkata, ini disebabkan jika selama ini segala keputusan dan perancangan diambil melalui mesyuarat agung KPF kerana peneroka memiliki 51% saham, selepas itu peneroka tiada kuasa lagi.


“SPV sebuah syarikat ditubuh di bawah akta syarikat bukannya di bawah koperasi. Jadi harta yang dimiliki KPF apabila disenaraikan akan diletakkan di bawah SPV bukan lagi di bawah KPF, jadi ini mengenepikan hak peneroka.

“Hak peneroka akan diketepikan bermakna suara peneroka akan diambil alih jadi nampaklah belitnya di sini. Biasanya kepentingan peneroka, pembahagian dividen dan sebarang keputusan dibentang dalam mesyuarat agung tahunan.

“Tapi hak tuan-tuan ini akan diketepikan. Sebab itu saya harap ahli-ahli koperasi (KPF) buat memorandum supaya tuntut singkirkan Isa sebelum harta tuan-tuan dijadikan modal dalam perniagaan berisiko,” katanya.

Dr Rosli yang juga bekas pegawai Bank Negara menambah, KPF yang mempunyai aset berbilion tidak layak dijaga oleh Isa kerana dia baru dilantik ke dalam Felda dan bekas pesalah rasuah Umno yang mungkin diragui amanahnya.

Dr Rosli berkata demikian dalam majlis dialog bersama peneroka di Felda Purun, kelmarin.

Penubuhan SPV mula-mula diumumkan oleh Pengerusi Felda yang juga Pengerusi KPF, Tan Sri Isa Samad selepas gagal mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) akhir bulan lalu bagi menyerahkan ekuitinya ke dalam FGVH.

Menurut perancangan Isa, SPV ditubuh bagi mengambil alih fungsi KPF secara perlahan-lahan dan tindakan itu jelas bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka serta kakitangan Felda selaku pemilik saham KPF.

Sementara itu seorang lagi ahli panel, Harris Abdullah, memberitahu pemilik saham dan harta benda sebenar dalam Felda ialah peneroka jadi sebarang tindakan mengenepikan peneroka jelas menyalahi undang-undang.

“Sekarang tauke Felda ialah peneroka, bukan Isa (Samad). Pemegang saham dalam Felda Holding ialah KPF iaitu sebanyak 51%. Patutnya kalau nak buat penyenaraian ke bursa saham patutnya melalui KPF, bukan Felda Holding yang buat keputusan bagi pihak KPF.

“Kalau nak senarai FGVH itu hak dia tapi gunakanlah aset syarikat itu. Tapi yang kita tak mahu bagi itu ialah harta peneroka dalam KPF dan juga tanah Felda Plantation. Kalau FGV tidak ada harta, mengapa perlu gunakan duit dari Felda Plantations dan KPF.

“Jadi sekarang ini SPV ini akan gunakan 360,000 hektar tanah Plantation untuk dipajakkan kepada FGVH dalam tempoh 99 tahun dan dalam masa yang sama RM3.13 bilion nilai aset KPF dalam Felda Holding diberi kepada FGVH,” ujarnya.

Katanya, selepas itu datang pula pegawai-pegawai Felda datang berjanji dengan peneroka mahu membahagikan ‘durian runtuh’.

“Di mana lojiknya?” soal beliau.

Serentak dengan itu Harris meminta peneroka tidak terpedaya dengan janji durian runtuh sehingga menyerahkan geran ladang dan rumah kerana itu boleh menjadi perangkap untuk peneroka seolah-olah menyerahkan hartanya untuk diniagakan dalan bursa saham.

No comments: