Sejak 22hb Jun 2010, task force Parti Keadilan Rakyat Cabang Kuala Krau turun padang sehingga hari ini, 24hb Jun 2010. Kami harungi semua kampong didalam DUN Jenderak, sebahagian DUN Jengka dan sebahagian DUN Kerdau. Dan kami juga pergi ke kawasan sempadan iaitu di DUN Damak didalam kawasan Parlimen Jerantut.
Kerja sebegini memanglah meletihkan, bukan senang untuk pergi rumah ke rumah didalam satu-satu kawasan DUN, apatah lagi DUN Jenderak, Kuala Krau adalah DUN yang sangat luas. Penduduknya tidak begitu ramai, dan rumah-rumah adalah jauh diantara satu dengan yang lainnya.
Tetapi nilai kerja sebegini adalah besar. Didalam gerak kerja itu, kami dapat bertemu orang-orang yang menyokong perjuangan PR dan juga yang tidak menyokong.
Tidak menjadi apa-apa masalah apabila sampai di rumah mereka yang menyokong. Disana kami diajak minum dan sebagainya. Tetapi timbul juga masalah apabila kami sampai di rumah orang-orang yang menentang PR. Namun, kami mengambil sikap yang sangat toleran dan sabar.
Didalam pada itu, golongan terbesar dari kalangan orang-orang UMNO mengambil sikap terbuka terhadap kami. Ada diantara mereka yang mengatakan bahawa usaha yang kami lakukan itu akan ada ganjarannya. Bahkan ada orang-orang UMNO yang menyatakan bahawa mereka tidak terikat dengan parti mereka semasa mengundi nanti. Ada yang mengeluh kerana pendapatan mereka tidak bertambah tetapi harga barang dari hari ke hari melambung tinggi.
Didalam kerja-kerja kami dari rumah ke rumah itu pula, kami mendapat rakan-rakan baru, khususnya dari kalangan anak-anak muda, sesetengahnya yang belum menyertai mana-mana parti politik walaupun ibu bapa mereka terdiri daripada orang-orang UMNO.
Ada juga kalangan penduduk yang menawarkan kepada kami untuk mengadakan ceramah politik di rumah-rumah mereka, dan nama-nama mereka kami ambil dan Insya Allah, kami akan adakan ceramah-ceramah di rumah-rumah yang ditawarkan kepada kami.
Tetapi bukan semua cerita yang baik berlaku semasa kami menjalankan tugas itu. Dari keseluruhan DUN Jenderak, kami bertemu dengan 2 insiden (2 insiden dari seluruh kawasan DUN Jenderak!).
Satu, berlaku di Kg Paya Sok, Kuala Krau. Seorang penduduk meminta petugas kami menurunkan poster yang ditampal tidak jauh dari rumahnya. Saya berada ditempat yang agak jauh juga dari situ waktu itu. Dan petugas kami menurunkan poster itu. Jika itu terjadi kepada saya, Insya Allah, saya tidak turunkan kerana tidak ada sebab perlu diturunkan. Poster itu tidak ditampal di rumahnya atau kawasan halaman rumahnya tetapi disebatang pokok ditepi jalan raya.
Orang itu dikatakan agak marah. Tetapi bila dia ternampak saya langsung dia berkata: "Oh, Haji Suhaimi rupanya, aah, lantaklah."bererti tak perlu turunkan poster. Rumah orang seperti itu memanglah kami tidak ziarahi, Insya Allah, di lain kali, kami akan ziarahi juga.
Satu kejadian lagi berlaku semasa kami turun ke Kg Paya Luas, disana, ada seorang yang nak tengok poster dan edaran yang kami bawa, dan sahabat saya Sdr Srinivasan menunjukkan poster itu. Orang itu ambil dan dia terus koyakkan dihadapan Srinivasan.
Daripada ribuan penduduk yang kami dapat jumpa, itulah 2 insiden negatif. Maka, berbaloilah gerak kerja kami turun padang, pergi rumah ke rumah, dan mengedar edaran serta menampal poster.
No comments:
Post a Comment