PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Thursday, March 11, 2010

FITNAH DAHSYAT BERULANG KEMBALI





ANWAR, MANGSA PENDAKWAAN YANG RAKUS

- Hanipa Maidin



Saya telah berkhidmat hampir 16 tahun sebagai seorang peguamcara jenayah. Sepanjang tempoh ini, pengalaman saya boleh dikatakan cukup luas dalam membela tertuduh dalam kes-kes jenayah salahlaku seks. Suatu yang agak nyata daripada pengalaman saya, pihak berkuasa tidak akan sama sekali membuat pendakwaan jika bukti perubatan tidak berpihak kepada mereka. Bukti perubatan seakan-akan suatu peraturan atau syarat sah dalam bidang perundangan bagi kes-kes rogol mahupun kes liwat dan merupakan oksigen kepada pihak pendakwa.

Daripada pengamatan saya, peraturan atau syarat sah tersebut tidak langsung diguna pakai dalam perbicaraan Fitnah 2 Anwar Ibrahim, maka peraturan yang ada akan terus bertukar secara drastik dengan tiba-tiba. Apabila yang didakwa adalah Anwar Ibrahim, pihak pendakwa tidak lagi perlu mengukur keupayaan mereka terhadap kes mengikut pihak pendakwa tidak akan mempedulikan apa pun yang berlaku, akan terus meneruskan pendakwaan dan perbicaraan tanpa mengambil kisah sama ada dengan kelemahan bukti yang ada mahupun langsung ketiadaan bukti !!!

Satu-satunya jenayah yang telah dilakukan oleh Anwar dalam kes Fitnah 2 ini adalah kerana namanya Anwar Ibrahim.

Saya percaya jika si tertuduh itu bernama Ibrahim atau mana-mana Ibrahim sekalipun yang didakwa meliwat Saiful, pihak berkuasa tidak akan mendakwa si tertuduh itu berdasarkan bukti laporan perubatan yang disediakan oleh para doctor dari kedua-dua Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) dan juga dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kedua-dua laporan tersebut, seperti yang dinyatakan kepada saya oleh barisan peguam Anwar mengandungi bukti secara jelas dan nyata yang tidak berpihak kepada pihak pendakwa, iaitu pengesahan bahawa tiada langsung kesan kemasukan yang zahir (no visible penetration) pada dubur Saiful. Malah, laporan Hospital Kuala Lumpur telah disahkan dan ditandatangani oleh tiga orang pakar perubatan. Maka, laporan-laporan perubatan yang ada di dalam tangan pihak pendakwa sekarang merupakan hasil laporan yang disahkan oleh empat orang pakar perubatan (satu dari PUSRAWI dan tiga dari HKL) yang menafikan teori pihak pendakwa bahawa Saiful telah diliwat oleh Anwar.

Persoalan yang ditimbulkan kepada Peguam Negara adalah, walaupun dengan terdapatnya bukti-bukti yang cukup jelas dan nyata ini (tiada kemasukan ke dubur Saiful), mengapa pihak pendakwa berkeras untuk meneruskan pendakwaan terhadap Anwar? Jawabannya cukup jelas, ianya adalah kerana si tertuduh ialah Anwar Ibrahim. Apabila yang dibicarakan itu ialah Anwar Ibrahim, biar pun ada beratus-ratus laporan perubatan yang membebaskan Anwar, pihak pendakwa tidak akan ambil peduli.

Bagi kebanyakan orang, persoalan ini pastinya akan timbul di benak kepala. Adakah bukti perubatan ini penting dan signifikan dalam perbicaraan Anwar? Jawaban kepada persoalan ini adalah jelas dan nyata – Ya, bukti perubatan penting dan signifikan. Seperti yang telah saya nyatakan di atas, bukti perubatan (dalam kes-kes jenayah salahlaku seks) merupakan oksigen kepada kes pihak pendakwa. Apabila ketiadaan atau berlaku kerosakan kepada bekalan oksigen ini, kes-kes pihak pendakwa akan terbantut dan mati.

Bagi kes-kes jenayah salahlaku seks, peraturan perundangan (rule of prudence) seperti yang diamalkan oleh penguamcara dan peguambela – bukti daripada keterangan pengadu sahaja sememangnya tidak memadai. Bukti tersebut haruslah disokong dan disahihkan (corroborated) oleh bukti-bukti lain yang bebas (independent evidence).

Jika diguna pakai dalam perbicaraan Anwar, bukti keterangan Saiful sahaja sememangnya tidak mencukupi untuk membolehkan Anwar didapati bersalah. Bukti keterangan Saiful harus disokong dan disahihkan (dengan bukti-bukti lain). Tidak semua kes jenayah memerlukan bukti sokongan dan bukti sahih. Walau bagaimanapun, bagi kes-kes jenayah salahlaku seks, pembuktian sokongan adalah amat penting untuk menyokong wujudnya perlakuan liwat seperti yang didakwa.

Mengapa perlu adanya pembuktian sokongan bagi kes-kes jenayah salahlaku seks? Pengamal perundangan bersetuju bahawa bukti-bukti sokongan adalah perlu kerana jenis dan sifat kesalahan salahlaku seks itu sendiri. Dalam mana-mana kes rogol atau liwat, adalah cukup mudah bagi seseorang itu dituduh oleh seseorang yang lain, tetapi sebaliknya adalah amat sukar untuk orang yang dituduh itu menafikan tuduhan tersebut.

Dengan begitu jelas telah dapat kita lihat walaupun sebelum mahkamah menjatuhkan sebarang hukuman terhadap Anwar, dan berdasarkan liputan media yang dibuat oleh Utusan dan media-media lain kepunyaan BN, Anwar telah dihukum bersalah oleh juri-juri ini. Liputan media tersebut berniat jahat dan menyebabkan masyarakat umum tertanya-tanya sama ada maruah Anwar mahupun ahli keluarganya diambil kira oleh media-media yang tidak bertanggungjawab ini.

Undang-undang yang ada dengan jelas mengatakan bahawa jika anda menuduh seseorang meliwat anda, anda dikehendaki memberi bukti sokongan dan bukti sahih untuk menyokong tuduhan anda. Kerana itulah dalam undang-undang jenayah islam apabila seseorang dituduh melakukan liwat, pihak pendakwa wajib untuk memiliki empat orang saksi yang secara nyata melihat kemasukan (ke dalam dubur mangsa). Ini manunjukkan Islam begitu mengambil berat akan pembuktian sokongan.

Dalam undang-undang Islam juga, tahap pembuktian bagi kes-kes liwat adalah amat penting sehinggakan pihak pendakwa harus membuktikan pertuduhan mereka dengan jelas dan langsung tanpa sebarang syak mahupun wasangka manakala tahap pembuktian dalam undang-undang sivil pula hanya memerlukan tanpa sebarang wasangka yang munasabah (beyond reasonable doubt). Maka dalam Islam, sebarang wasangka walaupun sekelumit mana akan memihak kepada si tertuduh berdasarkan kepada pernyataan bahawa “kesalahan hudud akan dihentikan (pendawaannya) bila mana wujud syak dan wasangka walaupun sedikit”. Islam berpandangan bahawa adalah lebih baik jika seseorang hakim itu tersilap dalam membebaskan 10 orang yang bersalah dari tersilap menghukum walau seorang yang sebenarnya tidak bersalah.

Dalam sebarang kesalahan meliwat, seperti juga kesalahan merogol, elemen utama yang amat perlu dibuktikan oleh pihak pendakwa ialah perbuatan kemasukan (ke dalam dubur atau faraj) itu sendiri. Dalam perundangan Islam, elemen yang serupa juga perlu dibuktikan oleh pihak pendakwa dengan terang dan jelas.

Justeru, bagaimana boleh pihak pendakwa membuktikan wujud elemen kemasukan jika mereka tidak mengeluarkan bukti-bukti laporan perubatan (di mahkamah)? Dan apalah gunanya bukti-bukti laporan perubatan itu kepada pihak pendakwa jika secara terang-terangan menyatakan bahawa tiada kesan kemasukan ke dalam dubur Saiful? Bukti-bukti laporan perubatan sepatutnya menjadi pembuktian sokongan kepada bukti keterangan Saiful tetapi dalam kes ini, bukti-bukti laporan perubatan yang sama sebenarnya membebaskan Anwar dari pertuduhan yang ada. Peraturannya amat mudah sekali: tiada kemasukan, tiada pertuduhan. Walau bagaimanapun Peguam Negara seolah-olah berpendapat bahawa, memang benar tiada kemasukan tetapi pertuduhan akan tetap diteruskan!!!

Sekiranya Anwar dibicarakan di bawah undang-undang Islam, pertuduhan yang difitnahkan terhadapnya tentunya tidak akan diteruskan. Melihat kepada keterangan Saiful di mahkamah setakat ini, umum pasti akan merumuskan bahawa pertuduhan yang dikenakan itu sememangnya langsung tidak berasas atau hanya fitnah jahat semata.

Peguam Negara sepatutnya menunjukkan tahap profesionalisma dan intergriti yang tinggi dalam kes Anwar ini. Kejujuran ini telah mewajibkan pihak pendakwa untuk menarik balik pendawaan terhadap Anwar Ibrahim. Cukuplah…..Menuduh seseorang tanpa bukti-bukti yang jelas merupakan suatu kesalahan pendakwaan dan pembaziran wang rakyat.

Episod Peguam Negara dijadikan alat kepada ahli politik yang jahat dan zalim sepatutnya telah berlalu selepas tsunami pilihanraya 2008.


Mohamed Hanipa Maidin merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Penasihat Undang-Undang PAS. Beliau juga adalah seorang peguan yang berpengalaman dan berblog di http://peguampas.blogspot.com

No comments: