PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Wednesday, December 2, 2009

PENDEDAHAN TERBARU BALA : NAJIB DAN SEKUTUNYA MEMBISU


Satu wawancara dengan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam di hadapan tiga orang peguam telah diadakan baru-baru ini di luar negara. Wawancara tersebut telah disiarkan oleh semua blog utama termasuk Malaysiakini, Malaysia-Insider dan MalaysiaToday-net sejak lebih kurang 2 minggu yang lalu. Walau bagaimanapun tiada media arus perdana yang “berani” menyiarkan wawancara tersebut.

Di dalam wawancara itu, Bala mendedahkan Datuk Nazim Tun Abdul Razak, adik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, telah mengugut beliau supaya menarik balik keterangannya di dalam Akuan Bersumpah mengenai hubungan Najib dengan Altantuya Shaariibuu. Bala menyatakan, Nazim telah memberi amaran bahawa keluarganya akan menerima padah jika beliau enggan menarik balik Akuan Bersumpahnya itu. Bala turut mendedahkan yang beliau telah diarahkan oleh Nazim supaya menuruti segala arahan seorang yang bernama Deepak yang dikatakan sebagai kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri.

Beliau juga menceritakan secara terperinci pergerakkannya selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan Akuan Bersumpahnya yang pertama di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Tropicana Square Merchant, Petaling Jaya. Bala telah dibawa oleh ASP Suresh bertemu dengan Deepak dan Dinesh di Bak Kut Teh berhampiran rumahnya di Rawang. Dinesh ialah abang Deepak. Mereka mengarahkan Bala menarik balik Akuan Bersumpahnya itu. Beliau ditawarkan wang berjumlah RM4 juta oleh Deepak tetapi ASP Suresh memberi isyarat tangan supaya beliau meminta RM5 juta. Bala turut mendedahkan tentang pertemuannya dengan Nazim di The Curve dan bagaimana Nazim mengugutnya sehinggalah memaksa beliau menandatangani Akuan Bersumpah kedua (yang telah dipinda oleh pihak tertentu). Beliau turut menceritakan bagaimana dirinya keluar dari Malaysia bersama keluarganya ke Thailand melalui Singapura. Di Thailand beliau didatangi oleh Pegawai Polis Malaysia Cawangan Khas untuk diambil keterangan.

Bala ialah penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak Baginda (sekutu kuat Perdana Menteri, Najib Razak) untuk mengawal dan memantau seorang model Monggolia bernama Altantuya Shaariibuu. Cebisan tulang dan daging Altantuya dijumpai di sebuah tempat di Shah Alam setelah diletupkan menggunakan bom C4 oleh Sirul Azhar dan Azilah pegawai pengiring Rosmah, isteri Perdana Menteri. (Kedua-duanya didapati bersalah oleh Mahkamah tinggi dan menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan manakala Razak Baginda dibebaskan). Altantuya dikatakan datang ke Malaysia untuk menuntut komisyen berjumlah USD500,000 dari Razak setelah menjadi orang tengah di dalam perundingan pembelian dua buah kapal selam untuk Angkatan Tentera Laut Di Raja Malaysia dari sebuah syarikat Perancis. Syarikat Peri Mekar milik Razak Baginda diberi kontrak pembelian tersebut yang melibatkan komisyen berjumlah RM540 juta sewaktu itu Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Najib di dapati mendiamkan diri dan enggan mengulas tuduhan yang dibuat oleh Bala itu semasa temubual oleh peguam Americk Singh di Singapura. Bala ditemani oleh peguam Manjeet Singh Dhillon dan Amarjeet Singh sewaktu temubual tersebut. Pemimpin-pemimpin UMNO dan BN turut membisu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sikap membisu Najib dan sekutu-sekutunya di dalam UMNO serta kerajaan dilihat sebagai satu petanda bahawa semua tuduhan Bala mempunyai asas yang kukuh untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan. Walau bagaimanapun Ketua Polis Negara, Musa Hassan hanya mengambil sikap dingin terhadap pendedahan ini dengan mengatakan Bala harus tampil memberi keterangan. Kenyataan Musa ini dianggap pelik kerana Bala turut menyatakan bahawa polis Malaysia telah pun merekodkan kenyataan beliau di Bangkok selepaskan diarahkan meninggalkan negara ini pada 4 Julai 2008. Malah Bala turut mengenalpasti Pegawai Cawangan Khas (SB) yang menyoalsiasat beliau sebagai ASP Muniandy.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng di dalam ulasannya berkata semua individu yang dinamakan oleh Bala termasuk Najib dan Nazim perlu tampil memberi penjelasan. “Jika tidak, rakyat akan menganggap kenyataan Bala itu benar sekaligus bermakna mereka memang terlibat. Ia tidak boleh diselindungkan lagi kerana perkara ini telah terpapar di dalam internet” katanya yang dipetik dari Suara Keadilan. AJK Biro Politik Keadilan itu menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan Altantuya.

Bekas Naib Presiden MIC, Datuk SS Subramaniam menyatakan polis sepatutnya memulakan siasatan terhadap Nazim tanpa perlu menunggu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, imej negara di mata antarabangsa terus tercalar selagi Najib tidak memberi penjelasan lengkap ataupun tindakan perundangan terhadap pihak berkaitan tidak diambil. “Dunia memandang Malaysia sebagai sebuah negara yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang tercemar kerana dilihat sebagai terlibat dalam pembunuhan. Ini memberi imej negatif” ujarnya lagi.

Naib Presiden Keadilan, R Sivarasa pula berkata, pendedahan terbaru Bala ‘mempunyai implikasi serius’ terhadap kepimpinan negara yang diterajui Najib. “Ia menunjukkan bagaimana Akuan Bersumpah kedua itu dibuat serta kaitan langsung ahli keluarga Najib dengan kes berkenaan”, kata Ahli Parlimen Subang itu.

Sementara itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata Najib tiada pilihan selain memberi penjelasan mengenai pendedahan Bala. Beliau mahu Najib memberi jaminan keselamatan terhadap Bala untuk membolehkan beliau pulang ke Malaysia bagi memberi keterangan secara bebas berhubung pembunuhan Altantuya.

PKR Pahang memandang serius terhadap pendedahan Bala ini kerana ia menunjukkan ada ‘campurtangan pihak tertentu’ di dalam kes pembunuhan Altantuya. Sangat pelik dan menghairankan dua orang anggota polis pengiring Rosmah terlibat di dalam pembunuhan tersebut sedangkan mereka tidak mengenali Altantuya malah dikatakan tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan dengan model Monggolia itu. Sudah pasti kedua-duanya mendapat arahan dari pihak tertentu yang mempunyai hubungan langsung dengan Altantuya. Pembebasan Razak Baginda selaku orang yang dilihat terlibat secara langsung dengan gadis Monggolia itu menimbulkan tanda tanya. Ini di tambah lagi apabila pihak Pendakwaraya dan Peguam Negara langsung tidak membuat rayuan terhadap pembebasan tersebut. Tindakan Peguam Negara ini nampak sangat mengelirukan.

Kebanyakkan rakyat Pahang yang ditemui menyatakan rasa kesal kerana sehingga sekarang Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan masih tidak menjawab tuduhan Bala itu. Penglibatan keluarga Najib seperti yang didakwa oleh Bala juga menimbulkan tanda tanya. Mereka menyatakan rasa malu sekiranya apa yang didedahkan Bala itu mempunyai kebenarannya. Imej Negeri Pahang keseluruhannya akan tercalar kerana Najib berasal dari Pahang. Terpanggil dengan situasi yang berlaku, PKR Pahang mendesak Najib tampil memberikan penjelasan. PKR Pahang juga mendesak supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan seberapa segera bagi menyiasat kes pembunuhan Altantuya ini agar pihak yang benar-benar terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan.

1 comment:

Unknown said...

polis? dah pegi siasat PM? mimpilah..