PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Monday, November 23, 2009

Perjumpaan Datuk Dr.Tan Kee Kwong, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Dengan Penduduk Sg. Lembing Dan Kuantan


Sekretariat PKR Pahang telah menganjurkan satu majlis Luncheon Talk (ramah mesra) di antara Penduduk Pekan Sg Lembing di Parlimen Paya Besar dengan Datuk Dr Tan Kee Kwong, Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat pada 21hb November, 2009 jam 12.30 tengahari hingga 2.30 petang. Datuk Dr Tan juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, PKR. Majlis tersebut dihadiri oleh hamper 200 orang penduduk Pekan Sg Lembing yang majoritinya terdiri dari kaum Tionghua. Turut hadir di majlis tersebut ialah Saudara Zaidi Ahmad, Pengarah Sekretariat PKR Negeri Pahang, Tuan Haji Zahari Mamat, Ketua Cabang Paya Besar, Saudara Razali Alias, Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang yang bertindak selaku Pengerusi Majlis, Encik Siew Fook Chan, Ketua Biro Kemasyarakatan PKR Pahang, Tengku Abdul Jalil Tengku Muhammad, Ketua Ranting Sg Lembing dan Ahli-Ahli Jawatankuasa PKR Ranting Sg Lembing.

Di dalam ucapannya Tengku Abdul Jalil menarik perhatian semua yang hadir supaya member sokongan yang kuat kepada PKR setiap masa lebih-lebih lagi di dalam pilihanraya. Katanya penduduk Sg Lembing sudah serik tinggal di bawah pemerintahan UMNO/BN kerana sepanjang lebih 50 tahun lalu wakil-wakil rakyat UMNO/BN hanya pandai berjanji tanpa menunaikan janji-janji mereka. Beliau juga menarik perhatian Datuk Dr Tan agar dapat membantu menyelesaikan masalah tuntutan pampasan bekas pekerja-pekerja lombong. Ini tidak mampu dilakukan oleh wakil rakyat sedia ada dari UMNO. Beliau juga berikrar akan terus bersama-sama PKR dalam memperjuangkan nasib penduduk Sg Lembing khususnya dan rakyat Negeri Pahang umumnya.

Tuan Haji Zahari di dalam ucapannya memaklumkan bahawa tuntutan pampasan bekas pekerja-pekerja lombong Sg Lembing telah diajukan kepada pihak Penasihat Guaman PKR Negeri, Saudara Nizam Abdul Hamid. Setelah siasatan dibuat, bekas pekerja-pekerja lombong tersebut berhak menuntut pampasan berjumlah RM 300,000. Semua dokumen yang ada telah diserahkan kepada Panel Penasihat Guaman untuk diteliti. Beliau berharap bekas pekerja-pekerja lombong dapat memberikan kerjasama menyerahkan segala dokumen yang ada untuk memudahkan urusan tuntutan. Haji Zahari juga menyatakan beliau dan AJK Cabang Paya Besar sentiasa mengadakan perjumpaan dan dialog dengan penduduk di seluruh Parlimen Paya Besar bagi mengetahui masalah-masalah yang mereka hadapi. PKR katanya sentiasa turun mendengar permasalahan dan keluhan rakyat. Perjuangan membantu rakyat akan diteruskan kerana wakil-wakil rakyat UMNO/BN dan kerajaan yang ada dilihat tidak mempedulikan nasib mereka. Beliau juga menyatakan sekiranya diberi mandat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada pilihanraya yang akan datang, PKR dan Pakatan Rakyat akan memastikan penduduk Sg Lembing dianugerahkan geran tanah di atas tapak kediaman masing-masing.

Encik Siew Fook Chan pula menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pimpinan UMNO/BN sekarang telah meluluskan kawasan pembalakkan seluas 42,000 hektar kepada Mentiga Corporation Berhad, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri. Katanya kerja-kerja pembalakkan “cuci mangkuk” akan dijalankan tidak lama lagi. Ini amat membimbangkan kerana kawasan di hulu Sg Lembing merupakan kawasan tadahan air. Sekiranya pembalakkan tidak terkawal dijalankan akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan banjir besar. Pekan Sg Lembing akan dilimpahi air banjir terutama pada musim tengkujuh. Turut mendapat kesan banjir besar ialah perkampungan di sekitar sungai Kuantan dan Bandar Kuantan. Ini terbukti apabila pembalakkan besar-besaran yang dijalankan sekitar tahun 2000 di kawasan Sg Lembing seluas 20000 hektar telah menyebabkan berlaku banjir besar yang melanda Pekan Sg Lembing dan Bandar Kuantan pada tahun 2001. Beliau menyeru penduduk Sg Lembing bersatu dan bersama-sama dengan PKR untuk menentang dasar pembalakkan yang tidak terkawal ini.

Saudara Zaidi Ahmad yang mewakili Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Pahang menyatakan PKR Negeri sekarang dalam usaha memantapkan jentera pentadbiran parti di peringkat negeri. Pejabat parti dalam proses ubahsuai dan tambahan pekerja akan dilakukan sedikit masa lagi. Ini bertujuan untuk memudahkan pengurusan dan pentadbiran parti. Sebuah Sekretariat parti telah ditubuhkan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti parti di seluruh negeri. “Tindakan drastik ini diambil kerana kita (PKR) bersama-sama rakan-rakan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat (PR) telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang dijangka dilangsungkan pada tahun hadapan” katanya. PKR dan rakan-rakan dalam PR juga telah bersedia mengambil alih Kerajaan Negeri sekiranya mendapat mandat dari rakyat. Beliau menyatakan PKR tidak ketandusan pemimpin sepertimana didakwa oleh UMNO/BN selama ini. PKR diterajui oleh alhi-ahli politik yang berwibawa seperti YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, YB Azmin Ali, YB Saifuddin Nasution, Datu Dr Tan Kee Kwong sendiri yang merupakan Bekas Timbalan Menteri Tanah, Kemajuan Wilayah Dan Koperasi.

Di Peringkat Negeri Pahang pula PKR diterajui oleh Dato’ Fauzi Abdul Rahman, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau merupakan seorang tokoh politik yang sangat rapat dengan rakyat dan sentiasa turun berjumpa dengan rakyat dan membawa suara mereka ke peringkat tertinggi. Zaidi juga menyeru penduduk Sg Lembing menyertai PKR dan sama-sama menumbangkan UMNO/BN yang terbukti tidak mampu mentadbir kerajaan negeri. Ini terbukti apabila dibawah UMNO/BN, Pahang mengalami defisit selama 12 tahun berturut-turut. “Kalau orang berniaga rugi 12 tahun berturut-turut itu bermakna mereka tidak pandai berniaga”, katanya. “Kita mesti menurunkan orang-orang yang tidak pandai ini dari memegang tampuk pemerintahan negeri kerana kita bimbang satu hari nanti Pahang akan jatuh muflis”. Beliau juga menyatakan PKR mempunyai ramai pemimpin yang jujur dan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat yang terdiri dari kalangan ahli-ahli politik yang baik, golongan profesional seperti peguam, doktor, tokoh korporat, bekas-bekas guru, polis, tentera dan lain-lain.

Datuk Dr Tan Kee Kwong dalan ucapannya menceritakan pengalaman beliau semasa di dalam kerajaan terutama ketika menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Kerajaan (PAC). Terdapat banyak projek yang amat meragukan seperti pembinaan 6 buah sekolah dengan kos sebanyak lebih RM360 juta. Pembinaan sekolah-sekolah tersebut menggunakan khidmat konsultan dengan bayaran sebanyak RM5 juta. Beliau mempersoalkan kenapa tidak mengambil JKR sebagai konsultan kerana JKR mempunyai kepakaran yang mencukupi dan bayaran kepada JKR akan kembali kepada kerajaan. Beliau juga mempersoalkan projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) di mana tanah dibeli dari Koperasi Nelayan dengan harga serendah RM3 sekaki persegi dan dijual kepada Pelabuhan Kelang dengan harga RM45 sekaki persegi. Ini memberikan pendapatan yang amat kecil kepada Koperasi Nelayan sedangkan Syarikat Kuala Dimensi yang diterajui oleh ahli-ahli politik MCA dan UMNO mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Tambah beliau lagi kontrak membina PKFZ diberikan kepada Kuala Dimensi dengan penglibatan kos mencecah RM4.6 billion. Semua ini menggunakan duit kerajaan yang bermakna wang rakyat. Skandal penyelewengan ini merupakan satu sebab mengapa MCA bergolak sehingga sekarang dan tidak ada tanda-tanda akan berakhir.

Datuk Dr Tan juga menyatakan terlalu banyak penyelewengan lagi yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN. Perkara inilah yang membuatkan beliau keluar dari Parti GERAKAN dan menyertai PKR. Beliau melihat PKR dan rakan-rakan dalam PR mempunyai objektif perjuangan yang sangat jelas iaitu menentang rasuah dan penyelewengan di samping menegakkan keadilan dan ketelusan. PKR juga katanya berjuang untuk membela nasib semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan status. “Semua warganegara Malaysia berhak mengecapi kehidupan yang lebih baik dari sekarang ini sekiranya kerajaan yang ada lebih bersifat telus dan bertanggungjawab. Oleh itu beliau meminta dan menyeru semua warganegara Malaysia agar memberikan sokongan yang padu kepada PKR dan PR dari sekarang untuk menumbangkan UMNO/BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Sementara itu di dalam Majlis Hi Tea bersama Datuk Dr Tan di Restoran Tanjung, Kuantan, Ahli Parlimen Indera Mahkota menyeru kerjasama di dalam PR mesti ditingkatkan bagi merealisasikan usaha menumbangkan UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang. “Tanpa kerjasama yang kuat PR akan berhadapan dengan cabaran yang besar,” katanya lagi.

YB Fuziah Salleh pula menyatakan walaupun tanpa peruntukkan kerajaan sebanyak RM1 juta setahun sepertimana yang diberikan kepada Ahli Parlimen BN, beliau dan rakan-rakan Ahli Parlimen PR yang lain masih mampu berkhidmat kepada rakyat dengan baik. Banyak permasalahan rakyat dapat diselesaikan seperti isu banjir kilat yang sentiasa melanda sebuah tokong cina setiap kali banjir di Setongkol Jaya. Walaupun 30 tahun menghadapi masalah banjir namun wakil-wakil rakyat BN sebelum ini tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut. Mengambil masa cuma sebulan beliau telah berjaya mengatasi masalah tersebut dan sehingga sekarang tidak lagi timbul tokong itu ditenggelami banjir apabila hujan. Ini menunjukkan wakil rakyat PR tidak langsung “memilih bulu” apabila berkhidmat untuk rakyat.

Beliau juga menyelesaikan masalah bekalan airbatu kepada nelayan-nelayan di Kuantan yang terdiri dari pelbagai kaum. Begitu juga beliau sedang berusaha membantu menyelesaikan masalah “Pemandu Teksi Pokok Buluh” yang berhadapan tindakan MPK. PKR menurutnya lagi sentiasa berjuang untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. “Kita lebih kehadapan berbanding dengan UMNO/BN di dalam hal ini, sebab itu kita selalu menyebut bahawa anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita, anak Iban anak kita, anak orang asal anak kita”. Katanya mengakhiri ucapan.

1 comment:

Suhaimi Said said...

Satu program yang sangat baik, semoga penduduk Sg Lembing dan Kuantan dapat mengambil iktibar darinya.