PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Sunday, January 25, 2009

UCAPAN PERASMIAN,
YBHG DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL,
PRESIDEN KEADILAN,
DI KONVENSYEN PENGHAYATAN ISLAM (KPI), 24 JANUARI 2009, KEM BINA SEMANGAT, AMPANG PECAH, SELANGOR DE

Assalamualaikum,

1. Terlebih dahulu, saya mengalu-alukan kehadiran semua ke konvensyen yang amat penting ini meskipun majoriti kita masih belum pulih dari keletihan bekerja keras dalam kempen PRK Kuala Terengganu seminggu yang lalu. Alhamdulillah, berkat kerja keras, strategi dan doa kita, calon Pakatan Rakyat telah memperolehi kemenangan dengan baiknya.

Saudara-saudari sekalian,
2. Matlamat dan objektif konvensyen kita selama 3 hari dan 2 malam ini adalah untuk mengetengahkan dan mencari muafakat bersama mengenai pendekatan Islam dalam kontek perjuangan KeAdilan yang mungkin ada sedikit kelainan berbanding dengan Parti-parti yang lain. Dalam masa yang sama, konvensyen ini memberi peluang kita semua untuk mencari persefahaman mengenai unsur-unsur penting yang diperlukan dalam menjana kekuatan perjuangan KeAdilan berteraskan ajaran Islam. Adalah diharapkan juga, konvensyen ini akan mampu memantapkan lagi ikatan persaudaraan dan kasih sayang agar lebih erat di kalangan barisan kepimpinan KeAdilan.

Saudara-saudari sekalian,

3. Di masa akhir-akhir ini, pelbagai Isu berkaitan Islam telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Sesungguhnya, kita tidak punya pilihan lain selain dari menanganinya dengan baik dan penuh hikmah. Apatah lagi terdapat segelintir yang cuba membina persepsi umum yang masih sangsi terhadap komitmen KeAdilan dalam memperjuangkan Islam. Usaha mereka ini, memang berjaya menimbulkan kebimbangan sebahagian kecil umat Islam dan orang Melayu terhadap kita. Sebahagian dari kekeliruan ini adalah disebabkan kegagalan kita sendiri menjelaskan kepada mereka mengenai komitmen kita mengenainya. Maka itu, ia perlu kita tangani sebaiknya. Dalam masa yang sama, pemahaman dan komitmen kita dalam persoalan Islam mestilah diadunkan dengan baik dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia ini.

4. Oleh yang demikian, inilah kesempatan terbaik bagi kita untuk kita memperjelaskan dasar dan pendekatan yang paling berhikmah dalam kontek KeAdilan yang membabitkan isu-isu mengenai kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Siasah Syar’iyyah dan Perlaksanaan Hudud, Akta 121, Masyarakat Majmuk dan masyarakat madani, kedudukan Hak Istimewa Melayu, Konsep Keadilan kepada semua dari perspektif Islam, pemahaman hakikat agama Islam yang syumul atau sebagai cara hidup (Islam as a way of life), pendekatan kesederhanaan (wasatiyyah) dalam Agama dan beberapa isu kritikal yang lain.

Saudara-saudari sekalian,
5. Iltizam kita terhadap Islam jelas telah diungkapkan di dalam Perlembagaan Parti yang menyeru penghayatan Islam sebagai Agama Persekutuan. Penghayatan yang bermaksud pemahaman dan iltizam kita dalam memperjuangkan Islam, dalam masa yang sama hak dan kebebasan bagi agama-agama lain melaksanakan amalan masing-masing. Kemampuan kita untuk memberikan keyakinan kepada orang lain mengenai falsafah dan dasar kita mengenai Islam adalah bergantung sepenuhnya kepada keyakinan kita sendiri kepada Parti kita mengenainya.

6. Adalah diharapkan pembentangan kertas kerja dan bengkel-bengkel dapat membuat rumusan-rumusan penting mengenai hal-hal tersebut dalam mewujudkan kesatuan pemikiran dan tindakan (wehdatul fikr wal amal) di kalangan pemimpin dan pendokong KeAdilan. Hal ini penting kerana kerangka pemikiran yang kukuh serta komitmen yang berterusan adalah merupakan pra-syarat penting kepada perjuangan keADILan seterusnya.

7. Akhirnya, tahniah kepada barisan AJK kerana berjaya menganjurkan program ini meskipun dihimpit kesibukan menghadapi pilihanraya kecil Kuala T erengganu yang dimenangi Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Sekian terima kasih.

No comments: