PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA DARI AMK PAHANG.

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

SELURUH AHLI JAWATAN KUASA ANGKATAN MUDA KEADILAN(AMK) PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI PAHANG INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA KEPADA SELURUH AHLI JAWATAN KUASA PERHUBUNGAN PKR NEGERI,WANITA PKR NEGERI,SELURUH CABANG,RANTING DAN KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA YANG CINTAKAN KEADILAN DI BUMI MALAYSIA INI
.

Sekian terimakasih

UMNO/BN GAGAL URUS EKONOMI PAHANG : DATO' FAUZI

Bajet defisit 2010 berjumlah RM92.48 juta bagi Kerajaan Negeri Pahang baru-baru ini mendedahkan kegagalan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Dato' Seri Adnan Yaakob dalam mengurus tadbir ekonomi dan kewangan negeri tersebut.

Sehingga tahun ini Pahang mencatatkan rekod apabila sudah 12 kali berturut-turut membentangkan bajet defisit di Persidangan Dewan Undangan Negeri. Mengulas perkara ini, Pengerus Majlis Pimpinan Negeri, Parti Keadilan Rakyat Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman berkata perkara sedemikian tidak akan berlaku jika ekonomi dan kewangan negeri diurus dengan sistematik kerana Pahang juga memiliki kekuatan ekonominya yang tersendiri. "Defisit yang digunakan untuk pembangunan masih boleh diterima tetapi apabila pendapatan tidak boleh menanggung pengurusan, keadaan ini tidak boleh diterima dan meletakkan ekonomi negeri di dalam bahaya" tambahnya lagi.

"Dalam kontek Negeri Pahang perbezaan melepasi 10 peratus kos perbelanjaan mengurus (RM571,871) dan perbelanjaan pembangunan (RM242,493) adalah petanda awal masalah yang wujud" katanya. Tambah Dato' Fauzi lagi' " saya tidak menuduh Kerajaan Negeri Pahang rasuah tetapi ini jelas menunjukkan kelemahan pengurusan yang amat ketara, parah dan kritikal.

Baginya, Pahang mampu melakukan sesuatu yang positif terhadap ekonominya dan dapat membentangkan belanjawan yang lebih berimbang di antara perbelanjaan dan pendapatan. Untuk mencapai belanjawan yang seimbang ada caranya dan tidak semestinya kerajaan perlu menaikkan pelbagai cukai yang akan membebankan rakyat. Sistem pengurusan yang efisyen dan telus adalah salah satu mekanisma penting untuk mencapai belanjawan seimbang. Sebagai contoh di dalam isu pengurusan bekalan air katanya, di Kuantan sahaja kerajaan telah kerugian sebanyak 50 peratus terhadap sumber air yang dikeluarkan.

"Setiap hari air dipam dari sumbernya sebanyak 1 juta gelen dan apabila dirawat dengan kos tertentu hanya 400 gelen yang sampai kepada pengguna, bakinya hilang akibat paip bocor dan kecurian, dari bayaran yang dikutip kerajaan langsung tidak dapat menanggung kos rawatan yang telah dikeluarkan", tambahnya lagi.

Untuk itu tindakan menukar dan membersihkan paip air dan teknik pengurusan yang efisyen perlu dilaksanakan segera, juka tidak perkara ini akan berterusan dan mendatangkan kerugian kepada Kerajaan Negeri.

Beliau menyatakan bahawa PKR Pahang amat kesal dengan situasi ini dan melihat kelemahan pentadbiran yang ada sebagai satu beban besar yang ditanggung oleh rakyat. Apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang cekap dan mampu untuk memberi khidmat terbaik kepada mereka.

Beliau merasa amat optimis sekiranya PKR dan PR diberi peluang mentadbir Kerajaan Negeri Pahang di dalam pilihanraya yang akan datang masalah belanjawan defisit ini akan dapat diatasi. "Kita ada cara tersendiri bagaimana untuk mengurus sumber-sumber hasil yang ada di Negeri Pahang bagi mendatangkan pulangan yang besar kepada akaun negeri dan bagaimana pula kewangan negeri diuruskan", katanya. Beliau menyatakan dari kajian yang telah dibuat oleh pakar-pakar ekonomi di dalam PKR Negeri, kita yakin sekiranya di beri peluang nanti hasil yang akan diperolehi oleh kerajaan negeri adalah berjumlah di antara RM1 billion hingga RM1.2 billion setahun berbanding kos pengurusan dan perbelanjaan pembangunan sekitar RM500 juta hingga RM600 juta setahun. Ini akan memberi lebihan belanjawan sebanyak RM500 juta hingga RM600 juta setahun. Lebuhan ini akan digunakan untuk membayar hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat yang dibuat oleh UMNO/BN dan sebahagiannya akan dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai cara. "kami Pakatan Rakyat memegang prinsip berkhimat untuk kepentingan rakyat bukan kepentingan Wakil Rakyat dan kroni-kroni mereka", katanya lagi

SELAMAT HARI RAYA EIDUL ADHA

PENGERUSI

DAN

AHLI MAJLIS PIMPINAN
PARTI KEADILAN RAKYAT
NEGERI PAHANG

MENGUCAPKAN

SELAMAT HARI RAYA EIDUL ADHA

KEPADA

SELURUH WARGA PAHANG

SEMOGA SEMANGAT PENGORBANAN DI DALAM MENEGAKKAN KEADILAN DI NEGERI PAHANG DAN BUMI MALAYSIA AKAN TERUS BERSEMARAK DI SANUBARI SEMUA.

MARILAH SAMA-SAMA KITA BEBASKAN NEGERI PAHANG DARI CENGKAMAN UMNO/BN YANG DILIHAT AMAT LEMAH DALAM PENGURUSAN EKONOMI DAN KEWANGAN NEGERI. NEGERI KAYA TETAPI RAKYAT MENDERITA.

Wednesday, November 25, 2009

PKR RAUB PERIHATIN PENDERITAAN PENDUDUK

Walaupun telah lebih 52 tahun negara mencapai kemerdekaan namun masih terdapat golongan yang miskin dan menderita. Golongan ini terpinggir dari arus pembangunan negara. Ada yang masih tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih lantaran kemiskinan yang melanda. Kepayahan dan kesengsaraan mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa. Wakil rakyat yang mereka pilih tidak menampakkan muka. Jauh sekali pegawai-pegawai kerajaan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pemimpin-peminpin UMNO, MCA dan MIC tempatan hilang entah ke mana. Kalaupun melihat, hanya dengan kerlingan sinis sahaja. Setiap kali pilihanraya mereka akan didatangi terutama oleh pemimpin-pemimpin UMNO/BN dengan janji manis umpama gula. Selepas pilihanraya mereka dibiar begitu sahaja. Masih kekal susah dan sengsara. Masih hidup dalam payah dan derita. Inilah situasi yang berlaku kepada warga kita yang miskin. Tiada tempat untuk mereka mengadu dan bercerita. Yang ada hanya doa dan airmata. Mereka miskin di negara kaya, merana di bumi tercinta.

Terkesan dengan penderitaan dan kesusahan yang ditanggung oleh sebahagian penduduk di dalam Parlimen Raub, maka Wanita Parti Keadilan Rakyat Cabang Raub bersama-sama dengan wakil DAP dan PAS baru-baru ini telah mengadakan beberapa siri lawatan dan kunjungan ke rumah penduduk miskin. Mereka mendengar sendiri keluhan dan rintihan penduduk berkenaan berkaitan kesusahan hidup yang dialami. Mereka melihat sendiri kehidupan golongan ini. Di atas rasa tanggungjawab yang besar dalam memperjuangkan nasib rakyat PKR Cabang Raub bersama rakan-rakan PAS dan DAP telah menghulurkan bantuan dan sumbangan berupa makanan, pakaian dan sedikit wang bagi meringankan beban mereka.

Menurut Puan Zainun (gambar), Ketua Wanita PKR Cabang Raub, kunjungan pertama ialah ke rumah seorang penduduk bernama Valliamah a/p Munivandi. Beliau tinggal di sebuah rumah yang sudah usang (gambar). Valliamah dan keluarga akan kebasahan setiap kali hujan turun kerana atap rumah yang bocor. "Mahu ganti atap rumah tetapi tiada wang" kata beliau ketika ditemui. Beliau juga tidak mendapat bekalan air bersih lantaran tidak mampu. Beliau sekeluarga hanya mendapat bekalan air dari perigi yang digali di belakang rumah. Di dalam kepayahan ini beliau sedang menanggung dan menjaga seorang anaknya yang lumpuh akibat kemalangan jalanraya. Beliau juga memaklumkan tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak. PKR Raub sedang berusaha untuk mengajukan permasalahan Valliamah ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya.

Kunjungan kedua ialah ke rumah seorang penduduk yang bernama Kadiyama yang cacat anggota badan sejak 23 tahun lalu akibat demam panas. Beliau mengalami demam panas ketika berumur satu tahun. Penderitaan beliau ini juga tidak mendapati perhatian dari Dato' Shaharuddin Abdul Moin Wakil Rakyat (UMNO) kawasan berkenaan. Menurut bapa Kadiyama setiap kali pilihanraya ramai pemimpin UMNO dan MIC yang datang ke rumah beliau dan berjanji akan memberi bantuan tetapi sehingga sekarang janji tersebut tidak dilaksanakan. Di dalam kunjungan tersebut PKR telah memberi sumbangan berupa barang-barang makanan dan sedikit wang.

Kunjungan ketiga ialah ke rumah Pak Chu Mokhtar di Kampung Tok Machang. Beliau menyara 3 orang anak kelainan upaya yang berumur 22 tahun, 20 tahun dan 10 tahun. Anak berumur 10 tahun bersekolah di Pintu Padang. "Hanya anak yang bersekolah sahaja mendapat bantuan dari pihak sekolah, kalau tidak pergi sekolah tidak dapat", begitulah keluhan Pak Chu Mokhtar. Manakala dua orang abangnya tidak mendapat apa-apa bantuan. PKR Cabang Raub juga menyumbangkan bantuan kepada Pak Chu Mokhtar dan kelaurganya.

Kunjungan terakhir ialah ke rumah Saudara Aman Mat Yassin di Kampung Ulu Gali. Rumah beliau didapati tidak mempunyai bekalan elektrik walaupun telah tinggal di situ sejak lebih sepuluh tahun yang lalu. Lantaran kemiskinan dengan hanya bekerja sebagai pengawal sekolah beliau telah memberhentikan anaknya dari alam persekolahan di samping itu beliau sekarang turut menjaga dua orang cucu. Menurut Saudara Aman lagi beliau juga tidak pernah menerima apa-apa bantuan dari mana-mana pihak terutama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tidak pernah dikunjungi oleh mana-mana wakil rakyat. Menurut beliau lagi pemimpin UMNO kampung tersebut termasuk JKKK mengetahui kesusahan dan penderitaan yang beliau sekeluarga hadapi namun mereka hanya memejamkan mata dan memekakkan telinga sahaja.

Ketua Cabang PKR Raub, Mohd Ali Wahid (gambar) ketika dihubungi oleh pihak Sekretariat PKR Pahang berkata, walaupun PKR bukan parti yang memerintah namun kami tidak jemu turun padang untuk bertemu dengan masyarakat bagi mendengar rintihan, keluhan dan hasrat mereka. "Kami akan memberi bantuan yang sewajarnya kepada golongan ini" ujarnya lagi. Ini menunjukkan PKR dan Pakatan Rakyat tidak memilih warna kulit, agama, bangsa, kedudukan dan fahaman politik bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat. "Saya menyeru kepada semua pihak yang perihatin dengan penderitaan dan kesusahan sebahagian daripada masyarakat terutama di sekitar Parlimen Raub agar dapat menghulurkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban hidup golongan ini" ujar Ketua PKR Cabang Raub itu lagi yang lebih senang dengan panggilan Abang Ali.

Nota : Bagi para penderma yang ingin menyumbang derma boleh berhubung dengan :

MOHD ALI WAHID (Abang Ali)
Ketua PKR Cabang Raub
No Tel : 017-9516412 atau 014-2948675

No Akaun Maybank 112183155734

Tuesday, November 24, 2009

PKR Desak SPR Bersihkan Senarai Daftar Pemilih Di Parlimen Pekan



Semakan terbaru Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tambahan 2009 (1 Julai hingga 30 September) yang dikeluarkan oleh SPR baru-baru ini dilihat mempunyai banyak keraguan. Kebanyakkan daripada pemilih baru yang didaftarkan mempunyai kad pengenalan kod 02 dan 71 sedangkan bagi rakyat yang lahir di Negeri Pahang mempunyai kod 06. Apabila disemak melalui Pejabat Pendaftaran Negara kod 02 adalah mereka yang berasal dari Kedah manakala 71 tidak mempunyai rekod yang jelas mengenai negeri atau negara tempat kelahiran.

Ini amat meragukan sama sekali. Pihak PKR telah menjalankan siasatan dan mendapati bagi kod 02 adalah dari keturunan Myanmar di Kedah dan 71 adalah berketurunan Kemboja. Adalah amat meragukan apabila berlaku terlalu ramai penghijrahan masuk pengundi dari Kedah ke Parlimen Pekan. Oleh itu tidak hairan mengapa terdapat ribuan orang Myanmar dan Kemboja di Kampung Sg Miang, Kampung Sekukuh, Kampung Ketapang, Kampung Pasir Panjang dan Kampung Tanjung Agas.

Sejak beberapa tahun dahulu terutama sebelum Pilihanraya Umum ke 11 pada 2004 sebuah perkampungan Myanmar diwujudkan di Kampung Sg Miang. Mereka diberi rumah, tanah dan ada desas-desus mengatakan mereka juga diberi elaun sara diri tanpa apa-apa pekerjaan. Sekiranya benar ini telah benar-benar mencabar hak-hak penduduk tempatan terutama orang-orang Melayu dan kaum orang asal (asli). Ramai di kalangan penduduk tempatan yang tidak mempunyai tanah dan rumah malah ada yang telah memohon tanah tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan. Lebih menyedihkan lagi bagi kaum orang asal yang langsung tidak dianugerahkan tanah bergeran. Ini umpama pepatah "kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan".

Perkara ini dilihat mempunyai kaitan rapat dengan keputusan Pilihanraya Umum ke 10 pada tahun 1999 apabila Datuk Seri Najib Razak (sekarang Perdana Menteri) hampir tewas, menang dengan hanya 243 undi majoriti. Oleh yang demikian anggapan penduduk Pekan yang ditemui bahawa terdapat usaha terancang bagi memenangkan Najib dengan majoriti yang besar dalam Pilihanraya Umum ke 12 dan Pilihanraya yang akan datang nampak sangat jelas. Sekiranya benar apa yang didakwa, jelas Najib dan UMNO telah mempergunakan SPR untuk merealisasikan hasrat mereka.

Oleh itu PKR Pahang menggesa SPR Pahang meneliti perkara ini dengan serius dan bertindak segera melakukan penapisan yang ketat terhadap senarai Daftar Pemilih. Kelewatan bertindak akan menyebabkan integriti mereka diragui dan hasrat untuk melihat pilihanraya dijalankan dengan adil dan telus tinggal harapan sahaja sedangkan hakikatnya tidak begitu.

ZAIDI AHMAD
Pengarah Sekritariat
Parti Keadilah Rakyat
Negeri Pahang

merangkap

Setiausaha
Parti Keadilan Rakyat
Cabang Pekan

013-3307176



PKR merasa kecewa dengan semakan terbaru Rang Daftar Pemilih Suku Ketiga 2009 yang di pamerkan bagi Parlimen Pekan baru -baru ini.Kenapa perkara yang penting begini tidak dikawal selia dengan betul-betul,supaya tidak timbul pertikaian kemudian hari,sebelum dikeluarkan untuk rujukan.

Perkara ini adalah serius dan pemindahan pengundi secara begini adalah tindakan haram.PKR mendesak agar SPR yang kita semua tahu adalah sebuah badan bebas,supaya tidak menjadi kuda tunggangan UMNO/BN, bagi merealisasikan hasrat Najib. Kemasukkan ramai pengundi baru yang meragukan ini menunjukkan UMNO sudah terdesak dan berada di dalam ketakutan kepada bayang-bayang sendiri. Peristiwa hampir kalah dalam PRU 10 pada 1999 dilihat sentiasa menghantui Najib. Oleh itu beliau menggunakan semua saluran yang ada termasuk SPR bagi menyambung talian hayatnya.

PKR dalam hal ini amat kesal dan memandang serius dan mendesak SPR supaya benar-benar telus dan membebaskan diri dari cengkaman UMNO. PKR sekarang telah mengorak langkah jauh ke hadapan dengan melaksanakan beberapa strategi untuk menumbangkan UMNO dan Najib di Pekan dan seluruh negeri Pahang khususnya. Kami telah membuka banyak ranting di Pekan termasuk tanah-tanah rancangan Felda dan kawasan-kawasan penempatan orang asal. Sokongan yang diterima amat menggalakkan kerana masyarakat Pekan terutamanya mahukan perubahan.

Mereka sudah jelak dengan permainan politik UMNO selama ini. Kehidupan yang semakin sukar dan menghimpit yang mereka alami tidak selaras dengan kedudukan Najib, Ahli Parlimen Pekan sebagai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan. Mereka melihat tidak ada apa yang telah Najib lakukan di Pekan bagi membantu meringankan beban hidup penduduk setempat malah apa yang dikatakan oleh beliau adalah omongan kosong semata-mata. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib adalah satu retorik dan kami yakin beliau sendiri tidak faham apa itu 1Malaysia.



KAMARUL HATTA MOHAMED ALI

Pengarah Pilihanraya Zon Timur PKR

Negeri Pahang.

0179573855

PERASMIAN PEJABAT CAWANGAN PAS INDERA MAHKOTA



Majlis Perasmian Pejabat PAS Cawangan Indera Mahkota telah disempurnakan bersama oleh Tuan Haji Mohammad Sabu, Ahli Majlis Pimpinan PAS Pusat dan Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR. Majlis ringkas yang diadakan baru-baru ini dihadiri kira-kira 200 orang ahli PAS dan PKR. Perletakkan pejabat tersebut di tengah-tengah pusat perniagaan Indera Mahkota 5 dilihat amat strategik kerana menjadi pusat tumpuan orang ramai. Pejabat Ranting PKR Indera Mahkota 5 juga terletak di pusat perniagaan yang sama.

Di dalam ucapannya Dato’ Fauzi menyangkal dakwaan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa Pakatan Rakyat tiada kesepakatan di dalam beberapa isu.Menurut beliau perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat bukanlah isu besar dan tidak melibatkan perkara-perkara pokok. Perbezaan ini adalah proses biasa di dalam sistem demokrasi. Semua pihak boleh mengemukakan pendapat masing-masing sehingga mencapai titik persamaan. Bagi perkara-perkara pokok dan isu-isu yang lebih besar akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh pemimpin tertinggi parti komponen. Menurutnya, inilah politik baru yang diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat. Semua pihak bebas mengemukakan pandangan masing-masing untuk kepentingan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama dan status. Oleh itu perbezaan pandangan ini tidak bermakna berlaku perpecahan di dalam Pakatan Rakyat. “Hanya media arus perdana yang dikuasai oleh UMNO/BN sahaja diarahkan untuk memutarbelitkan fakta dan berita” katanya. Berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang menghalang ahli-ahlinya atau parti komponen mereka mengeluarkan pendapat. Sebarang pendapat yang bercanggah dengan kepentingan peribadi mereka walaupun benar akan disekat dan tindakan akan diambil. Oleh itu kebanyakkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO/BN amat mengelirukan dan tidak benar.

Beliau juga mendedahkan sekarang ini UMNO/BN sebenarnya yang berada di dalam keadaan kucar kacir dan berpecah belah. Perebutan jawatan termasuk berlumba-lumba untuk menjadi calon di dalam pilihanraya yang akan datang sudah mula berlaku di dalam Barisan Nasional khususnya UMNO di Pahang. Perkara ini katanya menjadikan UMNO Pahang berada di dalam keadaan yang amat genting dan parah. Tiada siapa pun di dalam UMNO yang berani menegur pemimpin mereka yang melakukan kesalahan dan penyelewengan. Jika ada sekalipun mereka akan dikenakan tindakan, katanya lagi.

Di dalam ucapannya juga, Dato’ Fauzi menyatakan sekarang ini MCA semakin bergolak dan tidak ada tanda akan pulih. Perebutan jawatan yang berlaku menyebabkan mereka lupa kepada nasib rakyat. Perkhimatan kepada rakyat sudah tidak dilaksanakan kerana mereka sibuk bertelagah sesama sendiri. Berbeza dengan Pakatan Rakyat yang sentiasa berusaha tanpa mengenal penat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, kehidupan rakyat semakin baik. Di Selangor contohnya penetapan gaji minima RM1500 sebulan dilaksanakan. Di samping itu pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu, bantuan kelahiran anak sebanyak RM2500 sehingga anak itu berusia 18 tahun, khairat kematian RM2500 dan bantuan kemasukkan ke pusat pengajian tinggi sebanyak RM2000 juga diperuntukkan. Keuntungan kerajaan negeri hasil wang rakyat dikembalikan kepada rakyat. Ini tidak berlaku di negeri-negeri di bawah UMNO/BN khususnya Pahang. Di bawah UMNO/BN khususnya sejak YAB Dato’ Seri Adnan Yaakob menjadi Menteri Besar, Pahang mengalami deficit belanjawan 12 tahun berturut-turut dan hutang dengan Kerajaan Pusat mencecah hampir RM2 billion. Ini menunjukkan kerajaan yang ada sangat lemah dan tidak berupaya mengurus kewangan negeri dengan baik. Apa yang nyata pemimpin-pemimpin UMNO dan kroni mereka semakin kaya manakala kehidupan rakyat semakin terhimpit. Berdasarkan tinjauan beliau sendiri keseluruh negeri, Dato’ Fauzi dapat melihat rakyat semakin sedar dengan situasi ini dan beliau amat meyakini bahawa sekiranya Pakatan Rakyat di Pahang meningkatkan usaha gerak kerja dan melakukannya secara berterusan, peluang untuk mengambil alih pentadbiran negeri di dalam pilihanraya yang akan datang amat cerah sekali. “Saya yakin dengan kerjasama yang erat di antara PKR, PAS dan DAP kita akan dapat menawan Pahang di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang” katanya mengakhiri ucapan.

Sementara itu Haji Muhammad Sabu menyeru semua pemimpin dan ahli PAS, PKR dan DAP bersatu dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Beliau menekankan kerjasama erat amat perlu untuk memastikan Pakatan Rakyat dapat mengambil alih Pahang di dalam pilihanraya yang akan datang. “Tidak timbul siapa lebih ramai ahli bagi menentukan kedudukan kerusi untuk bertanding di dalam pilihanraya” ujarnya. Apa yang paling penting ialah saling membantu, bekerjasama dan hormat-menghormati di antara satu sama lain. Formula ini akan menjadi pemangkin yang hebat untuk mencapai kejayaan.

Beliau juga mengulas tentang Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini yang menyatakan empat buah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor adalah negeri-negeri terbaik di dalam pengurusan kewangan dan ekonomi. Keempat-empat negeri tersebut diberi penarafan dengan empat bintang. Ini menunjukkan pemimpin-pemimpin negeri-negeri tersebut telah mentadbir negeri dengan cukup baik dan cemerlang. “Yang diutamakan di dalam pentadbiran kewangan dan ekonomi negeri tersebut adalah kepentingan rakyat” katanya. Berbeza dengan negeri-negeri lain di bawah UMNO/BN, laporan audit tersebut menyatakan berlaku banyak pengurusan kewangan yang amat meragukan dan sesetengahnya menyatakan berlaku penyelewengan yang nyata sekali. Ini adalah bukti nyata ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri di bawah UMNO/BN khususnya di Pahang. Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi tertipu dengan dakyah yang menyatakan hanya UMNO yang pandai mengurus negara dan negeri. “Lihat apa yang berlaku, Laporan Ketua Audit Negara adalah bukti kukuh UMNO/BN lemah dan tidak layak lagi diberi mandat dalam pilihanraya yang akan datang” katanya.

Majlis tersebut di akhiri dengan upacara memotong riben yang disempurnakan oleh kedua-dua tokoh dan jamuan ringan.

FELDA CHINI : Dialog Diantara Peneroka Dan Dato' Fauzi





Terpanggil dengan isu-isu dan permasalahan yang melanda peneroka Felda maka baru-baru ini Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Negeri Pahang bersama-sama dengan Zaidi Ahmad, Pengarah Sekretariat dan Kamarul Hatta, Pegawai Gerak Kerja Luar, telah turun padang bertemu dengan peneroka-peneroka Felda Gugusan Chini, Pekan. Satu majlis penerangan dan dialog telah diadakan bagi mendengar permasalahan peneroka di gugusan Felda tersebut. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Abdul Rahman Othman, Naib Ketua PKR Cabang Pekan merangkap Ketua Majlis Tindakan DUN Chini. Abdul Rahman juga merupakan salah seorang peneroka di tanah rancangan berkenaan.

Di dalam majlis tersebut peneroka-peneroka telah mengemukakan beberapa isu seperti wang bayaran kembali untuk projek tanam semula sendiri kelapa sawit berjumlah RM 17,000 yang tidak dibayar oleh Felda. Walaupun ada peneroka yang telah menanam semula sendiri sudah lebih tujuh tahun namun sehingga sekarang Felda tidak membayar kepada mereka. Tindakan peneroka-peneroka menanam semula sendiri ialah kerana mereka telah selesai membayar semua hutang dengan pihak Felda dan mereka tidak mahu berhutang lagi. Sebagai agensi kerajaan yang diamanahkan untuk membangunkan peneroka, Felda sepatutnya membantu golongan peneroka dan memberi galakkan kepada mereka dalam proses menanam semula sendiri. Felda seharusnya menjadikan peneroka-peneroka ini sebagai contoh terbaik kepada peneroka-peneroka lain. Ini adalah satu kejayaan yang besar kerana golongan ini sudah dapat keluar dari garis kemiskinan dan kebergantungan kepada bantuan Felda. Mereka telah berjaya membebaskan diri dari belenggu hutang. Oleh itu tindakan Felda tidak membayar atau melambatkan bayaran tersebut amat dikesali malah Felda didapati telah menekan golongan ini.

Peneroka yang ditemui juga mengemukakan isu perahan buah sawit. Felda telah melakukan sistem penggredan buah iaitu memotong buah mengkal, muda dan tangkai panjang. Setelah ditolak maka buah yang dikira ialah yang bermutu tinggi sahaja. Gred paling tinggi ialah 22. Walau bagaimanapun Felda memberi gred di bawah 20 kepada buah yang telah digredkan itu. Tindakan Felda ini amat meragukan, mengelirukan dan merugikan peneroka. Di samping itu buah muda, mengkal dan tangkai panjang itu tidak dikembalikan kepada mereka. Apa yang berlaku ialah buah-buah tersebut tetap diperah oleh kilang Felda. Ini amat merugikan peneroka kerana tiada bayaran diberikan kepada mereka. Sekiranya buah-buah tersebut dikembalikan kepada peneroka maka mereka boleh menjualnya kepada pihak swasta. “kami umpama hamba di dalam negara sendiri” kata salah seorang peneroka yang ditemui.

Mereka juga menuntut supaya Felda Plantation yang diwujudkan sejak 1990 dimansuhkan dan dijadikan tanah rancangan Felda berpeneroka. Ini akan membolehkan generasi kedua Felda memiliki tanah dan mempunyai sumber pendapatan mereka sendiri tanpa perlu bergantung hidup dengan ibu dan bapa. Ini akan dapat mengurangkan beban ibubapa. Oleh yang demikian cadangan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO supaya kerajaan-kerajaan negeri memperuntukkan sebahagian tanah kepada Felda untuk membuka tanah-tanah rancangan yang baru dilihat tidak wajar. Felda Plantation yang mempunyai keluasan lebih 300,000 ribu ekar boleh dijadikan tanah rancangan berpeneroka.

Dato’ Fauzi di dalam ucapannya memberi pandangan bahawa Felda sekarang sudah terkeluar dari landasan sebenar objektif penubuhannya. Semasa era Tun Abdul Razak dahulu Felda ditubuhkan bertujuan membantu membangunkan ekonomi orang-orang Melayu khususnya. Keuntungan Felda akan digunakan untuk membantu anak-anak peneroka belajar dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Ia juga untuk membantu membiayai perubatan, kemudahan asas dan yang paling penting adalah untuk memastikan peneroka dan generasi mereka mempunyai tanah. Tetapi kini Felda dilihat lebih menumpukan kepada mencari untung berlipat kali ganda hasil dari perahan keringat peneroka tanpa mempedulikan kebajikan dan hak-hak mereka. Beliau menyeru supaya peneroka bersatu demi memperjuangkan nasib mereka. Beliau bersetuju dengan cadangan salah seorang peneroka yang hadir supaya diwujudkan persatuan peneroka-peneroka Felda bagi membela nasib mereka.

Dato’ Fauzi juga memaklumkan kepada peneroka-peneroka yang hadir bahawa untuk memperjuangkan kepentingan golongan peneroka PKR Pahang telah menubuhkan Biro Felda. Biro ini dipengerusikan oleh Hj Suhaimi Said, seorang peguam terkenal yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Kuala Krau. Biro ini sedang mengumpulkan seberapa banyak maklumat berkenaan permasalahan peneroka dan tuntutan mereka untuk diteliti dan satu Konvensyen Felda Nasional akan diadakan dengan Pahang akan menjadi tuan rumah. Resolusi yang dihasilkan dari konvensyen itu akan diserahkan kepada Felda untuk tindakan selanjutnya. PKR Pusat juga telah menubuhkan Biro Felda, katanya. PKR katanya akan sentiasa memperjuangkan nasib peneroka Felda sehingga pihak kerajaan mengkaji semula dasar-dasar Felda bagi meningkatkan taraf hidup peneroka. Beliau juga menyeru peneroka Felda supaya tidak lagi tertipu dengan janji-janji manis kerajaan sekarang dan mengajak semua peneroka menyertai PKR dan Pakatan Rakyat kerana UMNO dilihat sudah tidak relevan lagi dalam memperjuangkan hak-hak rakyat negara ini khususnya orang-orang Melayu.

Monday, November 23, 2009

Perjumpaan Datuk Dr.Tan Kee Kwong, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Dengan Penduduk Sg. Lembing Dan Kuantan


Sekretariat PKR Pahang telah menganjurkan satu majlis Luncheon Talk (ramah mesra) di antara Penduduk Pekan Sg Lembing di Parlimen Paya Besar dengan Datuk Dr Tan Kee Kwong, Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat pada 21hb November, 2009 jam 12.30 tengahari hingga 2.30 petang. Datuk Dr Tan juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, PKR. Majlis tersebut dihadiri oleh hamper 200 orang penduduk Pekan Sg Lembing yang majoritinya terdiri dari kaum Tionghua. Turut hadir di majlis tersebut ialah Saudara Zaidi Ahmad, Pengarah Sekretariat PKR Negeri Pahang, Tuan Haji Zahari Mamat, Ketua Cabang Paya Besar, Saudara Razali Alias, Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang yang bertindak selaku Pengerusi Majlis, Encik Siew Fook Chan, Ketua Biro Kemasyarakatan PKR Pahang, Tengku Abdul Jalil Tengku Muhammad, Ketua Ranting Sg Lembing dan Ahli-Ahli Jawatankuasa PKR Ranting Sg Lembing.

Di dalam ucapannya Tengku Abdul Jalil menarik perhatian semua yang hadir supaya member sokongan yang kuat kepada PKR setiap masa lebih-lebih lagi di dalam pilihanraya. Katanya penduduk Sg Lembing sudah serik tinggal di bawah pemerintahan UMNO/BN kerana sepanjang lebih 50 tahun lalu wakil-wakil rakyat UMNO/BN hanya pandai berjanji tanpa menunaikan janji-janji mereka. Beliau juga menarik perhatian Datuk Dr Tan agar dapat membantu menyelesaikan masalah tuntutan pampasan bekas pekerja-pekerja lombong. Ini tidak mampu dilakukan oleh wakil rakyat sedia ada dari UMNO. Beliau juga berikrar akan terus bersama-sama PKR dalam memperjuangkan nasib penduduk Sg Lembing khususnya dan rakyat Negeri Pahang umumnya.

Tuan Haji Zahari di dalam ucapannya memaklumkan bahawa tuntutan pampasan bekas pekerja-pekerja lombong Sg Lembing telah diajukan kepada pihak Penasihat Guaman PKR Negeri, Saudara Nizam Abdul Hamid. Setelah siasatan dibuat, bekas pekerja-pekerja lombong tersebut berhak menuntut pampasan berjumlah RM 300,000. Semua dokumen yang ada telah diserahkan kepada Panel Penasihat Guaman untuk diteliti. Beliau berharap bekas pekerja-pekerja lombong dapat memberikan kerjasama menyerahkan segala dokumen yang ada untuk memudahkan urusan tuntutan. Haji Zahari juga menyatakan beliau dan AJK Cabang Paya Besar sentiasa mengadakan perjumpaan dan dialog dengan penduduk di seluruh Parlimen Paya Besar bagi mengetahui masalah-masalah yang mereka hadapi. PKR katanya sentiasa turun mendengar permasalahan dan keluhan rakyat. Perjuangan membantu rakyat akan diteruskan kerana wakil-wakil rakyat UMNO/BN dan kerajaan yang ada dilihat tidak mempedulikan nasib mereka. Beliau juga menyatakan sekiranya diberi mandat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada pilihanraya yang akan datang, PKR dan Pakatan Rakyat akan memastikan penduduk Sg Lembing dianugerahkan geran tanah di atas tapak kediaman masing-masing.

Encik Siew Fook Chan pula menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pimpinan UMNO/BN sekarang telah meluluskan kawasan pembalakkan seluas 42,000 hektar kepada Mentiga Corporation Berhad, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri. Katanya kerja-kerja pembalakkan “cuci mangkuk” akan dijalankan tidak lama lagi. Ini amat membimbangkan kerana kawasan di hulu Sg Lembing merupakan kawasan tadahan air. Sekiranya pembalakkan tidak terkawal dijalankan akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan banjir besar. Pekan Sg Lembing akan dilimpahi air banjir terutama pada musim tengkujuh. Turut mendapat kesan banjir besar ialah perkampungan di sekitar sungai Kuantan dan Bandar Kuantan. Ini terbukti apabila pembalakkan besar-besaran yang dijalankan sekitar tahun 2000 di kawasan Sg Lembing seluas 20000 hektar telah menyebabkan berlaku banjir besar yang melanda Pekan Sg Lembing dan Bandar Kuantan pada tahun 2001. Beliau menyeru penduduk Sg Lembing bersatu dan bersama-sama dengan PKR untuk menentang dasar pembalakkan yang tidak terkawal ini.

Saudara Zaidi Ahmad yang mewakili Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Pahang menyatakan PKR Negeri sekarang dalam usaha memantapkan jentera pentadbiran parti di peringkat negeri. Pejabat parti dalam proses ubahsuai dan tambahan pekerja akan dilakukan sedikit masa lagi. Ini bertujuan untuk memudahkan pengurusan dan pentadbiran parti. Sebuah Sekretariat parti telah ditubuhkan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti parti di seluruh negeri. “Tindakan drastik ini diambil kerana kita (PKR) bersama-sama rakan-rakan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat (PR) telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang dijangka dilangsungkan pada tahun hadapan” katanya. PKR dan rakan-rakan dalam PR juga telah bersedia mengambil alih Kerajaan Negeri sekiranya mendapat mandat dari rakyat. Beliau menyatakan PKR tidak ketandusan pemimpin sepertimana didakwa oleh UMNO/BN selama ini. PKR diterajui oleh alhi-ahli politik yang berwibawa seperti YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, YB Azmin Ali, YB Saifuddin Nasution, Datu Dr Tan Kee Kwong sendiri yang merupakan Bekas Timbalan Menteri Tanah, Kemajuan Wilayah Dan Koperasi.

Di Peringkat Negeri Pahang pula PKR diterajui oleh Dato’ Fauzi Abdul Rahman, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau merupakan seorang tokoh politik yang sangat rapat dengan rakyat dan sentiasa turun berjumpa dengan rakyat dan membawa suara mereka ke peringkat tertinggi. Zaidi juga menyeru penduduk Sg Lembing menyertai PKR dan sama-sama menumbangkan UMNO/BN yang terbukti tidak mampu mentadbir kerajaan negeri. Ini terbukti apabila dibawah UMNO/BN, Pahang mengalami defisit selama 12 tahun berturut-turut. “Kalau orang berniaga rugi 12 tahun berturut-turut itu bermakna mereka tidak pandai berniaga”, katanya. “Kita mesti menurunkan orang-orang yang tidak pandai ini dari memegang tampuk pemerintahan negeri kerana kita bimbang satu hari nanti Pahang akan jatuh muflis”. Beliau juga menyatakan PKR mempunyai ramai pemimpin yang jujur dan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat yang terdiri dari kalangan ahli-ahli politik yang baik, golongan profesional seperti peguam, doktor, tokoh korporat, bekas-bekas guru, polis, tentera dan lain-lain.

Datuk Dr Tan Kee Kwong dalan ucapannya menceritakan pengalaman beliau semasa di dalam kerajaan terutama ketika menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Kerajaan (PAC). Terdapat banyak projek yang amat meragukan seperti pembinaan 6 buah sekolah dengan kos sebanyak lebih RM360 juta. Pembinaan sekolah-sekolah tersebut menggunakan khidmat konsultan dengan bayaran sebanyak RM5 juta. Beliau mempersoalkan kenapa tidak mengambil JKR sebagai konsultan kerana JKR mempunyai kepakaran yang mencukupi dan bayaran kepada JKR akan kembali kepada kerajaan. Beliau juga mempersoalkan projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) di mana tanah dibeli dari Koperasi Nelayan dengan harga serendah RM3 sekaki persegi dan dijual kepada Pelabuhan Kelang dengan harga RM45 sekaki persegi. Ini memberikan pendapatan yang amat kecil kepada Koperasi Nelayan sedangkan Syarikat Kuala Dimensi yang diterajui oleh ahli-ahli politik MCA dan UMNO mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Tambah beliau lagi kontrak membina PKFZ diberikan kepada Kuala Dimensi dengan penglibatan kos mencecah RM4.6 billion. Semua ini menggunakan duit kerajaan yang bermakna wang rakyat. Skandal penyelewengan ini merupakan satu sebab mengapa MCA bergolak sehingga sekarang dan tidak ada tanda-tanda akan berakhir.

Datuk Dr Tan juga menyatakan terlalu banyak penyelewengan lagi yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN. Perkara inilah yang membuatkan beliau keluar dari Parti GERAKAN dan menyertai PKR. Beliau melihat PKR dan rakan-rakan dalam PR mempunyai objektif perjuangan yang sangat jelas iaitu menentang rasuah dan penyelewengan di samping menegakkan keadilan dan ketelusan. PKR juga katanya berjuang untuk membela nasib semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan status. “Semua warganegara Malaysia berhak mengecapi kehidupan yang lebih baik dari sekarang ini sekiranya kerajaan yang ada lebih bersifat telus dan bertanggungjawab. Oleh itu beliau meminta dan menyeru semua warganegara Malaysia agar memberikan sokongan yang padu kepada PKR dan PR dari sekarang untuk menumbangkan UMNO/BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Sementara itu di dalam Majlis Hi Tea bersama Datuk Dr Tan di Restoran Tanjung, Kuantan, Ahli Parlimen Indera Mahkota menyeru kerjasama di dalam PR mesti ditingkatkan bagi merealisasikan usaha menumbangkan UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang. “Tanpa kerjasama yang kuat PR akan berhadapan dengan cabaran yang besar,” katanya lagi.

YB Fuziah Salleh pula menyatakan walaupun tanpa peruntukkan kerajaan sebanyak RM1 juta setahun sepertimana yang diberikan kepada Ahli Parlimen BN, beliau dan rakan-rakan Ahli Parlimen PR yang lain masih mampu berkhidmat kepada rakyat dengan baik. Banyak permasalahan rakyat dapat diselesaikan seperti isu banjir kilat yang sentiasa melanda sebuah tokong cina setiap kali banjir di Setongkol Jaya. Walaupun 30 tahun menghadapi masalah banjir namun wakil-wakil rakyat BN sebelum ini tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut. Mengambil masa cuma sebulan beliau telah berjaya mengatasi masalah tersebut dan sehingga sekarang tidak lagi timbul tokong itu ditenggelami banjir apabila hujan. Ini menunjukkan wakil rakyat PR tidak langsung “memilih bulu” apabila berkhidmat untuk rakyat.

Beliau juga menyelesaikan masalah bekalan airbatu kepada nelayan-nelayan di Kuantan yang terdiri dari pelbagai kaum. Begitu juga beliau sedang berusaha membantu menyelesaikan masalah “Pemandu Teksi Pokok Buluh” yang berhadapan tindakan MPK. PKR menurutnya lagi sentiasa berjuang untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. “Kita lebih kehadapan berbanding dengan UMNO/BN di dalam hal ini, sebab itu kita selalu menyebut bahawa anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita, anak Iban anak kita, anak orang asal anak kita”. Katanya mengakhiri ucapan.

Penubuhan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pahang


22hb Nov 2009 - Tiga sayap parti-parti yang bernaung dibawah Pakatan Rakyat iaitu Dewan Pemuda PAS (DPP), DAPSY dan AMK Negeri Pahang telah bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat. Tujuan utama penubuhan Sekretariat tersebut antara lain adalah untuk mengukuhkan dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti ketiga-tiga sayap parti tersebut.

Sekretariat ini dijangka akan dapat memantapkan lagi gerakerja Pakatan Rakyat(PR) di dalam usaha untuk memberi tentangan sengit kepada BN di dalam PRU13 yang akan datang.

Thursday, November 19, 2009

Kerajaan Pahang engkar dengan janji Najib

Penduduk menaikki jentolak yang menyodok pokok-pokok getah mereka
Haji Suhaimi Said, Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal KEADILAN Pahang bersama-sama dengan penduduk

Semua estet-estet ini terdahulunya adalah kawasan penempatan Orang Asal. Mereka berada di perkampongan sebelum Perang Dunia Kedua. Mereka tidak diberikan tanah ini, tetapi tanah mereka ini diluluskan kepada ladang swasta oleh Kerajaan Negeri Pahang


Ini adalah "rumah" di Kg Gong dan beginilah keadaan rumah-rumah di Kampong tersebut



Rumah ini dimilikki oleh penyokong UMNO yang tegar di Kg Gong, tetapi rumah ini pun akan "dibersihkan" memberi laluan kepada Ladang Syarikat Swasta




Jentolak ini kecil, tetapi menjadi pemusnah kepada tanaman getah penduduk Kg Gong



Sdr Sudin Mahidin mengetuai bantahan penduduk-penduduk Kg Gong




Notis sebegini terdapat diseluruh kawasan kampong


Penduduk marah dan mereka menunjukkan kepada Notis melarang mereka bercucuk tanam

Sdr Rabidin Kasmawi (berbaju biru), Sdr Yusri erbaju Ahon (berbaju maroon) dan Sdr Shafei Deris (bertopi)




====




Diatas jemputan daripada penduduk Orang Asal di sekita Kg Gong, Bebar, Pekan, Pahang, saya bersama-sama dengan Sdr Yusri Ahon, Timbalan Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal KEADILAN Pahang dan Sdr Shafie Deris, Naib Pengerusi berlepas dari Temerloh jam 8.00 pagi pada 18hb November 2009.


Kami sampai di Simpang Chini lebih kurang jam 10.00 pagi dan disana telah menunggu kami Sdr Rabidin Kasmawi, Pengerusi KEADILAN Cabang Rompin bersama-sama dengan Sdr Sudin Mahidin, wakil dari Orang Asal Kg Gong bersama-sama dengan beberapa orang yang lain.








Setelah kami mengambil sedikit sarapan pagi, kami pun berlepas menuju ke Kg Gong. Jalan menuju kampong itu amatlah teruk dan sangat menyukarkan.








Sesampai kami di Kg Gong, kami sedia ditunggu oleh penduduk-penduduk kampong tersebut dan kampong-kampong berdekatan seperti Kg Pulau Pinang, Kg Belentong, Kg Limau Manis, Kg Joon, Kg Kepala Beruang, Kg Kemeram, Kg Pasir, Kg Samlarat, Kg Seroloh, Kg Jelutong Punggor dan Kg Belengkok. Kesemua kampong-kampong ini adalah perkampongan Orang Asal di kawasan Parlimen Pekan yang diwakili oleh Dato Seri Najib Tun Razak.










Menurut kata penduduk disana, Dato Seri Najib pernah melawat kampong itu pada tahun 2001 dan membuat berbagai janji kepada mereka seperti untuk menyediakan perumahan PPRT, memasukkan bekalan air dan api. Tetapi janji itu hanya tinggal janji dan selepas 2001 tersebut kampong-kampong mereka tetap tidak mendapat apa-apa pembangunan yang dijanjikan.








Datuk Najib juga berjanji bahawa hutan di kawasan perkampongan itu tidak akan ditebang untuk pembalakan dan tidak akan diluluskan kepada pihak-pihak luar.








Apa yang berlaku adalah disebaliknya. Kawasan hutan disekeliling perkampongan Orang Asal disana sudah pun dikerjakan oleh syarikat-syarikat tertentu dengan kelulusan dari Kerajaan Negeri Pahang. Syarikat-syarikat itu mendapat untung besar dari kayu-kayu balak yang mereka keluarkan tetapi orang kampong hanya mendapat "habuk".








Jurucakap penduduk kampong tersebut, Sdr Sudin Mahidin, menyatakan bahawa seluas 5000 ekar daripada kawasan hutan sekitar kampong mereka telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang menjadi sebuah estet yang ditanam kelapa sawit.









Tak cukup dengan pemberian itu, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan pula 500 ekar kepada sebuah syarikat swasta dengan pembinaan sebuah kilang sawit diatas tanah 50 ekar dari kawasan tersebut.








Apa yang diluluskan oleh Kerajaan Pahang itu adalah kawasan yang sudah ditanam dengan pokok-pokok getah dan pokok buah-buahan oleh penduduk, ada pokok-pokok getah itu yang sudah ditanam lebih kurang satu tahun dan ada yang sudah boleh ditoreh; begitu juga pokok buah-buahan yang sudah berbuah.









Kawasan tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada sebuah syarikat swasta, dan syarikat tersebut kini sedang menebang dan membersihkan kawasan yang diluluskan kepada mereka iaitu kawasan tanah-tanah getah yang ditanam oleh Orang Asal kampong tersebut, dan penduduk kampong tersebut diarahkan untuk mengosongkan rumah-rumah mereka untuk memberi laluan kepada pembersihan tanah oleh syarikat tersebut.










Penduduk kampong cuba merundingkan pampasan daripada pihak syarikat, tetapi pihak syarikat tersebut hanya sanggup membayar 30 sen bagi sebatang pokok getah yang dibersihkan, suatu jumlah gantirugi yang sangat kecil, tidak munasabah dan tidak berperikemanusiaan.










Kawasan ini termasuk didalam kawasan Pilihanraya Parlimen Pekan, dan penduduk kampong inilah yang memberikan kemenangan kepada Datuk Najib selaku calon Barisan Nasional Pahang yang hanya memenangi 241 undi majoriti pada tahun 1998 dahulu.








Penduduk disini adalah pengundi UMNO/BN yang tegar, 100% mengundi mereka dan inilah balasan yang diberikan oleh UMNO/BN terhadap penyokong-penyokong setia mereka.







Penduduk kampong Gong dan kampong-kampong sekitarnya adalah terdiri daripada rakyat miskin dari kaum Jakun; dan dengan sikap kerajaan yang memihak kepada golongan korporat dan syarikat-syarikat besar itu dapatlah dinilai bahawa UMNO/BN ini bukan mendahulukan rakyat tetapi syarikat-syarikat korporat.



Masalahnya kini, dimanakah penduduk-penduduk kampong itu hendak berpindah sedangkan kerajaan langsung tidak menyediakan kawasan alternatif untuk mereka. Keadaan ini menjadi pelik bagi penduduk asal orang Pekan kerana dikawasan Parlimen itu ada segolongan Orang Asing yang diutamakan disebuah perkampongan dimana mereka diberikan rumah percuma dan diberikan elaun bulanan serta diberikan pula kewarganegaraan. Kera dihutan disusui...!