PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Wednesday, November 25, 2009

PKR RAUB PERIHATIN PENDERITAAN PENDUDUK

Walaupun telah lebih 52 tahun negara mencapai kemerdekaan namun masih terdapat golongan yang miskin dan menderita. Golongan ini terpinggir dari arus pembangunan negara. Ada yang masih tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih lantaran kemiskinan yang melanda. Kepayahan dan kesengsaraan mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa. Wakil rakyat yang mereka pilih tidak menampakkan muka. Jauh sekali pegawai-pegawai kerajaan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pemimpin-peminpin UMNO, MCA dan MIC tempatan hilang entah ke mana. Kalaupun melihat, hanya dengan kerlingan sinis sahaja. Setiap kali pilihanraya mereka akan didatangi terutama oleh pemimpin-pemimpin UMNO/BN dengan janji manis umpama gula. Selepas pilihanraya mereka dibiar begitu sahaja. Masih kekal susah dan sengsara. Masih hidup dalam payah dan derita. Inilah situasi yang berlaku kepada warga kita yang miskin. Tiada tempat untuk mereka mengadu dan bercerita. Yang ada hanya doa dan airmata. Mereka miskin di negara kaya, merana di bumi tercinta.

Terkesan dengan penderitaan dan kesusahan yang ditanggung oleh sebahagian penduduk di dalam Parlimen Raub, maka Wanita Parti Keadilan Rakyat Cabang Raub bersama-sama dengan wakil DAP dan PAS baru-baru ini telah mengadakan beberapa siri lawatan dan kunjungan ke rumah penduduk miskin. Mereka mendengar sendiri keluhan dan rintihan penduduk berkenaan berkaitan kesusahan hidup yang dialami. Mereka melihat sendiri kehidupan golongan ini. Di atas rasa tanggungjawab yang besar dalam memperjuangkan nasib rakyat PKR Cabang Raub bersama rakan-rakan PAS dan DAP telah menghulurkan bantuan dan sumbangan berupa makanan, pakaian dan sedikit wang bagi meringankan beban mereka.

Menurut Puan Zainun (gambar), Ketua Wanita PKR Cabang Raub, kunjungan pertama ialah ke rumah seorang penduduk bernama Valliamah a/p Munivandi. Beliau tinggal di sebuah rumah yang sudah usang (gambar). Valliamah dan keluarga akan kebasahan setiap kali hujan turun kerana atap rumah yang bocor. "Mahu ganti atap rumah tetapi tiada wang" kata beliau ketika ditemui. Beliau juga tidak mendapat bekalan air bersih lantaran tidak mampu. Beliau sekeluarga hanya mendapat bekalan air dari perigi yang digali di belakang rumah. Di dalam kepayahan ini beliau sedang menanggung dan menjaga seorang anaknya yang lumpuh akibat kemalangan jalanraya. Beliau juga memaklumkan tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak. PKR Raub sedang berusaha untuk mengajukan permasalahan Valliamah ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya.

Kunjungan kedua ialah ke rumah seorang penduduk yang bernama Kadiyama yang cacat anggota badan sejak 23 tahun lalu akibat demam panas. Beliau mengalami demam panas ketika berumur satu tahun. Penderitaan beliau ini juga tidak mendapati perhatian dari Dato' Shaharuddin Abdul Moin Wakil Rakyat (UMNO) kawasan berkenaan. Menurut bapa Kadiyama setiap kali pilihanraya ramai pemimpin UMNO dan MIC yang datang ke rumah beliau dan berjanji akan memberi bantuan tetapi sehingga sekarang janji tersebut tidak dilaksanakan. Di dalam kunjungan tersebut PKR telah memberi sumbangan berupa barang-barang makanan dan sedikit wang.

Kunjungan ketiga ialah ke rumah Pak Chu Mokhtar di Kampung Tok Machang. Beliau menyara 3 orang anak kelainan upaya yang berumur 22 tahun, 20 tahun dan 10 tahun. Anak berumur 10 tahun bersekolah di Pintu Padang. "Hanya anak yang bersekolah sahaja mendapat bantuan dari pihak sekolah, kalau tidak pergi sekolah tidak dapat", begitulah keluhan Pak Chu Mokhtar. Manakala dua orang abangnya tidak mendapat apa-apa bantuan. PKR Cabang Raub juga menyumbangkan bantuan kepada Pak Chu Mokhtar dan kelaurganya.

Kunjungan terakhir ialah ke rumah Saudara Aman Mat Yassin di Kampung Ulu Gali. Rumah beliau didapati tidak mempunyai bekalan elektrik walaupun telah tinggal di situ sejak lebih sepuluh tahun yang lalu. Lantaran kemiskinan dengan hanya bekerja sebagai pengawal sekolah beliau telah memberhentikan anaknya dari alam persekolahan di samping itu beliau sekarang turut menjaga dua orang cucu. Menurut Saudara Aman lagi beliau juga tidak pernah menerima apa-apa bantuan dari mana-mana pihak terutama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tidak pernah dikunjungi oleh mana-mana wakil rakyat. Menurut beliau lagi pemimpin UMNO kampung tersebut termasuk JKKK mengetahui kesusahan dan penderitaan yang beliau sekeluarga hadapi namun mereka hanya memejamkan mata dan memekakkan telinga sahaja.

Ketua Cabang PKR Raub, Mohd Ali Wahid (gambar) ketika dihubungi oleh pihak Sekretariat PKR Pahang berkata, walaupun PKR bukan parti yang memerintah namun kami tidak jemu turun padang untuk bertemu dengan masyarakat bagi mendengar rintihan, keluhan dan hasrat mereka. "Kami akan memberi bantuan yang sewajarnya kepada golongan ini" ujarnya lagi. Ini menunjukkan PKR dan Pakatan Rakyat tidak memilih warna kulit, agama, bangsa, kedudukan dan fahaman politik bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat. "Saya menyeru kepada semua pihak yang perihatin dengan penderitaan dan kesusahan sebahagian daripada masyarakat terutama di sekitar Parlimen Raub agar dapat menghulurkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban hidup golongan ini" ujar Ketua PKR Cabang Raub itu lagi yang lebih senang dengan panggilan Abang Ali.

Nota : Bagi para penderma yang ingin menyumbang derma boleh berhubung dengan :

MOHD ALI WAHID (Abang Ali)
Ketua PKR Cabang Raub
No Tel : 017-9516412 atau 014-2948675

No Akaun Maybank 112183155734

No comments: