Terpanggil dengan isu-isu dan permasalahan yang melanda peneroka Felda maka baru-baru ini Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Negeri Pahang bersama-sama dengan Zaidi Ahmad, Pengarah Sekretariat dan Kamarul Hatta, Pegawai Gerak Kerja Luar, telah turun padang bertemu dengan peneroka-peneroka Felda Gugusan Chini, Pekan. Satu majlis penerangan dan dialog telah diadakan bagi mendengar permasalahan peneroka di gugusan Felda tersebut. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Abdul Rahman Othman, Naib Ketua PKR Cabang Pekan merangkap Ketua Majlis Tindakan DUN Chini. Abdul Rahman juga merupakan salah seorang peneroka di tanah rancangan berkenaan.
Di dalam majlis tersebut peneroka-peneroka telah mengemukakan beberapa isu seperti wang bayaran kembali untuk projek tanam semula sendiri kelapa sawit berjumlah RM 17,000 yang tidak dibayar oleh Felda. Walaupun ada peneroka yang telah menanam semula sendiri sudah lebih tujuh tahun namun sehingga sekarang Felda tidak membayar kepada mereka. Tindakan peneroka-peneroka menanam semula sendiri ialah kerana mereka telah selesai membayar semua hutang dengan pihak Felda dan mereka tidak mahu berhutang lagi. Sebagai agensi kerajaan yang diamanahkan untuk membangunkan peneroka, Felda sepatutnya membantu golongan peneroka dan memberi galakkan kepada mereka dalam proses menanam semula sendiri. Felda seharusnya menjadikan peneroka-peneroka ini sebagai contoh terbaik kepada peneroka-peneroka lain. Ini adalah satu kejayaan yang besar kerana golongan ini sudah dapat keluar dari garis kemiskinan dan kebergantungan kepada bantuan Felda. Mereka telah berjaya membebaskan diri dari belenggu hutang. Oleh itu tindakan Felda tidak membayar atau melambatkan bayaran tersebut amat dikesali malah Felda didapati telah menekan golongan ini.
Peneroka yang ditemui juga mengemukakan isu perahan buah sawit. Felda telah melakukan sistem penggredan buah iaitu memotong buah mengkal, muda dan tangkai panjang. Setelah ditolak maka buah yang dikira ialah yang bermutu tinggi sahaja. Gred paling tinggi ialah 22. Walau bagaimanapun Felda memberi gred di bawah 20 kepada buah yang telah digredkan itu. Tindakan Felda ini amat meragukan, mengelirukan dan merugikan peneroka. Di samping itu buah muda, mengkal dan tangkai panjang itu tidak dikembalikan kepada mereka. Apa yang berlaku ialah buah-buah tersebut tetap diperah oleh kilang Felda. Ini amat merugikan peneroka kerana tiada bayaran diberikan kepada mereka. Sekiranya buah-buah tersebut dikembalikan kepada peneroka maka mereka boleh menjualnya kepada pihak swasta. “kami umpama hamba di dalam negara sendiri” kata salah seorang peneroka yang ditemui.
Mereka juga menuntut supaya Felda Plantation yang diwujudkan sejak 1990 dimansuhkan dan dijadikan tanah rancangan Felda berpeneroka. Ini akan membolehkan generasi kedua Felda memiliki tanah dan mempunyai sumber pendapatan mereka sendiri tanpa perlu bergantung hidup dengan ibu dan bapa. Ini akan dapat mengurangkan beban ibubapa. Oleh yang demikian cadangan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO supaya kerajaan-kerajaan negeri memperuntukkan sebahagian tanah kepada Felda untuk membuka tanah-tanah rancangan yang baru dilihat tidak wajar. Felda Plantation yang mempunyai keluasan lebih 300,000 ribu ekar boleh dijadikan tanah rancangan berpeneroka.
Dato’ Fauzi di dalam ucapannya memberi pandangan bahawa Felda sekarang sudah terkeluar dari landasan sebenar objektif penubuhannya. Semasa era Tun Abdul Razak dahulu Felda ditubuhkan bertujuan membantu membangunkan ekonomi orang-orang Melayu khususnya. Keuntungan Felda akan digunakan untuk membantu anak-anak peneroka belajar dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Ia juga untuk membantu membiayai perubatan, kemudahan asas dan yang paling penting adalah untuk memastikan peneroka dan generasi mereka mempunyai tanah. Tetapi kini Felda dilihat lebih menumpukan kepada mencari untung berlipat kali ganda hasil dari perahan keringat peneroka tanpa mempedulikan kebajikan dan hak-hak mereka. Beliau menyeru supaya peneroka bersatu demi memperjuangkan nasib mereka. Beliau bersetuju dengan cadangan salah seorang peneroka yang hadir supaya diwujudkan persatuan peneroka-peneroka Felda bagi membela nasib mereka.
Dato’ Fauzi juga memaklumkan kepada peneroka-peneroka yang hadir bahawa untuk memperjuangkan kepentingan golongan peneroka PKR Pahang telah menubuhkan Biro Felda. Biro ini dipengerusikan oleh Hj Suhaimi Said, seorang peguam terkenal yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Kuala Krau. Biro ini sedang mengumpulkan seberapa banyak maklumat berkenaan permasalahan peneroka dan tuntutan mereka untuk diteliti dan satu Konvensyen Felda Nasional akan diadakan dengan Pahang akan menjadi tuan rumah. Resolusi yang dihasilkan dari konvensyen itu akan diserahkan kepada Felda untuk tindakan selanjutnya. PKR Pusat juga telah menubuhkan Biro Felda, katanya. PKR katanya akan sentiasa memperjuangkan nasib peneroka Felda sehingga pihak kerajaan mengkaji semula dasar-dasar Felda bagi meningkatkan taraf hidup peneroka. Beliau juga menyeru peneroka Felda supaya tidak lagi tertipu dengan janji-janji manis kerajaan sekarang dan mengajak semua peneroka menyertai PKR dan Pakatan Rakyat kerana UMNO dilihat sudah tidak relevan lagi dalam memperjuangkan hak-hak rakyat negara ini khususnya orang-orang Melayu.
No comments:
Post a Comment