Majlis Perasmian Pejabat PAS Cawangan Indera Mahkota telah disempurnakan bersama oleh Tuan Haji Mohammad Sabu, Ahli Majlis Pimpinan PAS Pusat dan Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR. Majlis ringkas yang diadakan baru-baru ini dihadiri kira-kira 200 orang ahli PAS dan PKR. Perletakkan pejabat tersebut di tengah-tengah pusat perniagaan Indera Mahkota 5 dilihat amat strategik kerana menjadi pusat tumpuan orang ramai. Pejabat Ranting PKR Indera Mahkota 5 juga terletak di pusat perniagaan yang sama.
Di dalam ucapannya Dato’ Fauzi menyangkal dakwaan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa Pakatan Rakyat tiada kesepakatan di dalam beberapa isu.Menurut beliau perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat bukanlah isu besar dan tidak melibatkan perkara-perkara pokok. Perbezaan ini adalah proses biasa di dalam sistem demokrasi. Semua pihak boleh mengemukakan pendapat masing-masing sehingga mencapai titik persamaan. Bagi perkara-perkara pokok dan isu-isu yang lebih besar akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh pemimpin tertinggi parti komponen. Menurutnya, inilah politik baru yang diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat. Semua pihak bebas mengemukakan pandangan masing-masing untuk kepentingan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama dan status. Oleh itu perbezaan pandangan ini tidak bermakna berlaku perpecahan di dalam Pakatan Rakyat. “Hanya media arus perdana yang dikuasai oleh UMNO/BN sahaja diarahkan untuk memutarbelitkan fakta dan berita” katanya. Berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang menghalang ahli-ahlinya atau parti komponen mereka mengeluarkan pendapat. Sebarang pendapat yang bercanggah dengan kepentingan peribadi mereka walaupun benar akan disekat dan tindakan akan diambil. Oleh itu kebanyakkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO/BN amat mengelirukan dan tidak benar.
Beliau juga mendedahkan sekarang ini UMNO/BN sebenarnya yang berada di dalam keadaan kucar kacir dan berpecah belah. Perebutan jawatan termasuk berlumba-lumba untuk menjadi calon di dalam pilihanraya yang akan datang sudah mula berlaku di dalam Barisan Nasional khususnya UMNO di Pahang. Perkara ini katanya menjadikan UMNO Pahang berada di dalam keadaan yang amat genting dan parah. Tiada siapa pun di dalam UMNO yang berani menegur pemimpin mereka yang melakukan kesalahan dan penyelewengan. Jika ada sekalipun mereka akan dikenakan tindakan, katanya lagi.
Di dalam ucapannya juga, Dato’ Fauzi menyatakan sekarang ini MCA semakin bergolak dan tidak ada tanda akan pulih. Perebutan jawatan yang berlaku menyebabkan mereka lupa kepada nasib rakyat. Perkhimatan kepada rakyat sudah tidak dilaksanakan kerana mereka sibuk bertelagah sesama sendiri. Berbeza dengan Pakatan Rakyat yang sentiasa berusaha tanpa mengenal penat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, kehidupan rakyat semakin baik. Di Selangor contohnya penetapan gaji minima RM1500 sebulan dilaksanakan. Di samping itu pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu, bantuan kelahiran anak sebanyak RM2500 sehingga anak itu berusia 18 tahun, khairat kematian RM2500 dan bantuan kemasukkan ke pusat pengajian tinggi sebanyak RM2000 juga diperuntukkan. Keuntungan kerajaan negeri hasil wang rakyat dikembalikan kepada rakyat. Ini tidak berlaku di negeri-negeri di bawah UMNO/BN khususnya Pahang. Di bawah UMNO/BN khususnya sejak YAB Dato’ Seri Adnan Yaakob menjadi Menteri Besar, Pahang mengalami deficit belanjawan 12 tahun berturut-turut dan hutang dengan Kerajaan Pusat mencecah hampir RM2 billion. Ini menunjukkan kerajaan yang ada sangat lemah dan tidak berupaya mengurus kewangan negeri dengan baik. Apa yang nyata pemimpin-pemimpin UMNO dan kroni mereka semakin kaya manakala kehidupan rakyat semakin terhimpit. Berdasarkan tinjauan beliau sendiri keseluruh negeri, Dato’ Fauzi dapat melihat rakyat semakin sedar dengan situasi ini dan beliau amat meyakini bahawa sekiranya Pakatan Rakyat di Pahang meningkatkan usaha gerak kerja dan melakukannya secara berterusan, peluang untuk mengambil alih pentadbiran negeri di dalam pilihanraya yang akan datang amat cerah sekali. “Saya yakin dengan kerjasama yang erat di antara PKR, PAS dan DAP kita akan dapat menawan Pahang di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang” katanya mengakhiri ucapan.
Sementara itu Haji Muhammad Sabu menyeru semua pemimpin dan ahli PAS, PKR dan DAP bersatu dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Beliau menekankan kerjasama erat amat perlu untuk memastikan Pakatan Rakyat dapat mengambil alih Pahang di dalam pilihanraya yang akan datang. “Tidak timbul siapa lebih ramai ahli bagi menentukan kedudukan kerusi untuk bertanding di dalam pilihanraya” ujarnya. Apa yang paling penting ialah saling membantu, bekerjasama dan hormat-menghormati di antara satu sama lain. Formula ini akan menjadi pemangkin yang hebat untuk mencapai kejayaan.
Beliau juga mengulas tentang Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini yang menyatakan empat buah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor adalah negeri-negeri terbaik di dalam pengurusan kewangan dan ekonomi. Keempat-empat negeri tersebut diberi penarafan dengan empat bintang. Ini menunjukkan pemimpin-pemimpin negeri-negeri tersebut telah mentadbir negeri dengan cukup baik dan cemerlang. “Yang diutamakan di dalam pentadbiran kewangan dan ekonomi negeri tersebut adalah kepentingan rakyat” katanya. Berbeza dengan negeri-negeri lain di bawah UMNO/BN, laporan audit tersebut menyatakan berlaku banyak pengurusan kewangan yang amat meragukan dan sesetengahnya menyatakan berlaku penyelewengan yang nyata sekali. Ini adalah bukti nyata ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri di bawah UMNO/BN khususnya di Pahang. Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi tertipu dengan dakyah yang menyatakan hanya UMNO yang pandai mengurus negara dan negeri. “Lihat apa yang berlaku, Laporan Ketua Audit Negara adalah bukti kukuh UMNO/BN lemah dan tidak layak lagi diberi mandat dalam pilihanraya yang akan datang” katanya.
Majlis tersebut di akhiri dengan upacara memotong riben yang disempurnakan oleh kedua-dua tokoh dan jamuan ringan.
1 comment:
Salam buat semua sahabat. Selamat hari raya korban. Teruskan perjuangan menegak keadilan di bumi tumpah darah kita. Semoga perjuangan ikhlas tuan dirahmati Allah swt.
Post a Comment