Utusan Malaysia menjangkakan PKR akan berkubur menjelang PRU ke 13. Benarkah? Dulu Mahathir kata PKR (sebelum itu PKN) akan berkubur menjelang PRU 11. Kubur. Kubur. Kubur....Mahathir...Utusan Malaysia...kan sekapal tu...Kubur PKR sudah digali pada PRU 11. Betul PKR tinggal 1 kerusi Kak Wan di Permatang Pauh. Malah dengan majoriti yang sangat sedikit. Juak-juak UMNO bertepuk tangan. Melompat-lompat macam kera kena belacan. Balaci-balaci dan barua-barua mereka termasuk Utusan Melayu memukul canang PKR akan mati. Yang tinggal hanya sisa-sisa. Satu kerusi. MP perempuan pulak tu. Mereka terkinja siang dan malam untuk menekan Kak Wan. Mencabar kewanitaannya. Mempertikai sifat keibuannya. Dengan harapan semangat Kak Wan akan luntur. Imannya perlu digoyahkan. PKR akan mati. Dikuburkan.
Namun siapa sangka. Tangan yang menghayun buai itu bisa mengegar dunia. Kak Wan bukan isteri Mahathir. Bukan isteri Pak Lah. Jauh sekali isteri Najib. Juak-juak UMNO yang lain? Jangan harap. Kak Wan bersuamikan Anwar! ANWAR IBRAHIM!!! Insan yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menjadi pejuang membela rakyat negara Malaysia. Insan yang rela dirinya terbakar demi menerangi orang lain. Insan yang teguh imannya. Insan yang gagah semangatnya. Insan yang mampu memimpin massa. Insan yang tegar melakukan perubahan. Pun begitu. Di hadapan kedua mereka ada insan yang lebih hebat. Berdiri teguh mempertahankan kebenaran dan keadilan. Tegar menghadapi cabaran. Hebat!!! Siapa dia? RAKYAT!!!
Dalam beberapa penulisan saya sebelum ini saya dengan tegas menyatakan PKR ditubuhkan di atas aspirasi rakyat terbanyak. Keringat, airmata dan darah rakyat yang mewujudkan PKR. PKR bukan hak pemimpinnya. PKR adalah khazanah yang sangat berharga kepada seluruh rakyat. Bergerak pantas di persada politik tanahair. Dokongan rakyat mengangkat PKR dari sebuah parti yang dilihat akan tersungkur pada 2004 kepada sebuah parti yang sangat menonjol pada 2008.
Kewujudan PKR bukan bergantung kepada Kerusi Parlimen mahupun DUN tetapi atas sokongan ahli-ahli dan atas kesahihan pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan. Tetapi ditinggalkan begitu sahaja. Rakyat membawa cangkul dan penyodok bergotong-royong menimbuskan kubur itu. Tanahnya disiram sehingga menumbuhkan pokok-pokok yang segar dan menjadi semakin dewasa. Oleh itu keluarnya beberapa orang Ahli Parlimen baru-baru ini tidak menjadi "kudis gatal" kepada PKR malah semakin mendapat sokongan dan dokongan yang padu dari rakyat Malaysia. Rakyat semakin melihat kebejatan UMNO terutama apabila Ahli-Ahli Parlimen tersebut mula menunjukkan belang masing-masing dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung. Pada mulanya mereka mendakwa keluar parti kerana tidak setuju dengan kepimpinan parti dan PKR telah jauh menyimpang dari matlamat asal penubuhannya.
Namun gelagat mereka mutakhir ini memberi gambaran sebenar kepada rakyat siapa mereka sebenarnya dan siapa yang berada di belakang mereka. Penafian terbuka Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghafur terhadap dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrin berkenaan "projek 16 September" yang kononnya diusahakan oleh Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim memberi tamparan yang cukup dahsyat kepada beliau. Ahli Parlimen Kalabakan itu secara terang mengatakan Ahli Parlimen Bayan Baru sebagai penipu besar. Pertelingkahan ini amat memalukan. Dalang yang mencetuskan polemik ini seharusnya berasa malu dengan apa yang berlaku kerana tidak seperti yang mereka jangkakan. Mereka berbalah sesama sendiri. Itulah sebenarnya yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran "mereka merancang, Allah juga merancang, perancangan Allah adalah yang lebih baik".
Bagi mereka yang berhajat menguburkan PKR atau yang berniat mahu melihat PKR berkubur harus berpijak di bumi nyata. PKR adalah kehendak rakyat dan ditubuhkan oleh rakyat. Selagi PKR disokong dan didokong oleh rakyat tiada siapa yang akan dapat menggugatnya. Suara rakyat suara keramat!!! Sesiapa yang mengkhianati PKR bermakna mengkhianati hak dan suara rakyat. PKR memperjuangkan hak dan suara seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan status. Mengangkat ketuanan rakyat adalah perjuangan kudus PKR.
TANGAN YANG MENGHAYUN BUAI ITU BISA MENGGEGAR DUNIA....
petikan dari zaidiahmadkeadilanphg.blogspot.com
petikan dari zaidiahmadkeadilanphg.blogspot.com
No comments:
Post a Comment