Ke Arah Mengambil Alih Pemerintahan Kerajaan Negeri Pahang Menjelang PRU13
PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM
Tuesday, December 8, 2009
UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION (Baru) DENGAN MITOSNYA
Mitos ialah naratif yang dibuat bertujuan untuk memesongkan hakikat. Contohnya: Raja dikatakan jelmaan tuhan - mitos ini bertujuan membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja. Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah: selepas satu, satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos. Contoh mitos: Pokok itu berhantu. Pokok itu wujud dan dapat dilihat dan dibuktikan. Tetapi hantu itu tidak wujud. Mitos hantu diwujudkan untuk menakut-nakut. Apabila kita takut, maka kita akan mencari perlindungan. Peranan untuk melindungi kita daripada hantu ialah bomoh dan dukun. Akhirnya kita tunduk pada kuasa bomoh dan dukun. (Hishamuddin Rais : Malaysiakini : 1 Okt, 2009).
Berlandaskan petikan di atas kita akhirnya dapat membezakan yang mana satu mitos dan yang mana satu realiti. Memang benar apa yang ditulis oleh Saudara Hishamuddin Rais berkenaan mitos dan kebenaran. Sejak dulu lagi kita telah disajikan dengan pelbagai cerita mitos. Mitos yang paling terkenal di kalangan ibu bapa ialah perkataan “jangan” dan “nanti polis tangkap”. “Jangan main tepi longkang nanti polis tangkap”. Maksudnya ibu bapa melarang anak-anak mereka melakukan perkara-perkara yang merbahaya. “Jangan main jauh-jauh nanti penyabit (ditafsirkan sebagai orang yang kerjanya memotong kepala kanak-kanak untuk tujuan tertentu)tangkap”. Macam-macam lagi mitos yang diajukan dengan tujuannya yang tersendiri. Saya ulangi; mitos digunakan untuk tujuan tertentu yang akan memberi keuntungan atau kelebihan kepada pihak yang mendakyahkan mitos tersebut.
Dalam tempoh lebih kurang 50 tahun ini pemikiran rakyat Malaysia telah disumbat dengan satu mitos yang sangat terkesan iaitu hanya United Malays National Organisation (baru) dan kuncu-kuncunya di dalam Barisan Nasional yang mampu memerintah negara. Parti politik lain tidak mampu. Hanya UMNO dan BN yang boleh mewujudkan suasana aman di dalam negara, parti lain tidak boleh. Hanya UMNO dan BN yang memberi kesejahteraan kepada negara, parti lain tidak boleh beri. Hanya UMNO dan BN yang memberi rezeki kepada rakyat negara ini, parti lain “jauh panggang dari api”(mereka lupa rezeki itu datangnya dari Allah SWT). Pun mitos terbesar yang dipantak oleh UMNO dan BN dalam kotak pemikiran rakyat ialah pemimpin-pemimpin mereka sangat bersih, jujur, amanah, tidak rasuah, baik, pemurah, tidak mencuri dan merompak khazanah negara, tidak bercakap bohong, berakhlak mulia dan macam-macam mitos lagi.
UMNO datang berjumpa dengan orang Melayu dan menyebarkan mitosnya kalau orang Melayu tidak bersatu di bawah UMNO maka mereka akan ditindas oleh orang Cina dan India, Malaysia akan dirampas dan dikuasai oleh orang Cina dan India. Orang Melayu akan kehilangan tanahair. Mereka menakut-nakutkan orang Melayu melalui cara ini. Dakyah yang dimainkan puluhan tahun lamanya amat berkesan sehingga menjadi sebati di dalam pemikiran orang Melayu. Mereka turut menimbulkan rasa ragu dan bimbang orang Melayu terhadap Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM; dulunya Parti Sosialis Rakyat Malaysia-PSRM) serta yang terbaru Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mereka melihat suatu ketika dahulu PAS menjadi ancaman terbesar kepada UMNO. PAS yang dipimpin oleh golongan ulama dan sebahagian besar ahlinya dari kalangan Melayu Islam dilihat memberi saingan yang cukup besar kepada UMNO. Semakin hari PAS semakin mendapat tempat di hati orang Melayu sehingga sampai suatu ketika berjaya menawan beberapa negeri di dalam Pilihanraya Umum 1974. Kejayaan PAS ini telah menyentakkan UMNO dari lamunan. Mereka memasang niat jahat dengan merangka strategi tertentu agar PAS menyertai BN. Dengan mitos yang lunak; demi perpaduan Melayu dan Islam, PAS terkesima dan terus menyertai BN; walaupun terdapat sedikit tentangan dari beberapa kerat pemimpin dan ahlinya. Setelah mampu bernafas sendiri dan gagah berlari, secara hina PAS ditekan dan ditendang keluar dari BN. Episod hitam ini secara ringkasnya telah menyedarkan PAS tentang mitos yang disebarkan oleh UMNO.
Mitos yang turut dimainkan di kalangan orang Melayu terbanyak ialah DAP merupakan parti politik orang Cina. DAP melalui slogan “Malaysian Malaysia” dimomokkan sebagaiproksi orang Cina. Mereka digambarkan sebagai golongan yang kasar dan keras dari segi tindakan. Pendek kata DAP dikatakan sebagai jelmaan kepada Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan. Ahli DAP dikatakan terdiri daripada bekas militan PKM. Mereka menghebahkan DAP akan memerintah Malaysia dengan ganas sekiranya berjaya membentuk kerajaan. Orang Melayu akan ditindas dan menjadi hamba di tanahair sendiri. Oleh itu orang Melayu mesti bersatu di bawah panji-panji UMNO bagi menyekat kemaraan orang Cina khususnya DAP. Momokan mitos UMNO ini sangat menjadi dan berjaya mempengaruhi orang Melayu. Tidak keterlaluan untuk dikatakan sehingga hari ini masih ramai orang Melayu terutama golongan pertengahan umur dan wargaemas yang percaya dengan mitos UMNO ini. Itulah sebabnya DAP mengambil masa dan perjalanan yang sangat panjang untuk mendapat tempat di hati orang Melayu khususnya.
UMNO juga menanam mitos di kalangan rakyat negara ini berkenaan PRM yang dikatakan pro-komunis. Mereka menanamkan kepercayaan yang kuat di kalangan orang Melayu bahawa PRM berfahaman sosialis dan berhaluan kiri. Tindakan terhebat yang dilakukan ialah dengan menyebarkan dakyah bahawa sebahagian besar ahli PRM tidak mempunyai pegangan agama walaupun umum mengetahui sebahagian besar daripada ahli PRM ialah orang Melayu. Tindakan ini menimbulkan rasa takut dan benci masyarakat terutama orang Melayu terhadap PRM. Sekali lagi UMNO berjaya mengeksploitasi mitosnya.
PKR yang lahir hasil perjuangan rakyat menuntut keadilan dan kebenaran pada era reformasi pada tahun 1998/99 juga tidak ketinggalan dikenakan mitos oleh UMNO. PKR digambarkan sebagai parti yang menjadi pengkhianat kepada orang Melayu. Sebagai sebuah parti politik yang baru dan berpaksikan kepada penyertaan pelbagai kaum di dalamnya, PKR dilihat amat menggugat kedudukan UMNO dan sekutunya di dalam BN. Tambahan pula PKR telah berjaya menyatukan PAS dan DAP duduk di bawah satu bumbung iaitu Pakatan Rakyat (PR) yang dahulunya dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA). Berbagai fitnah dan tohmahan yang dikenakan terhadap PKR termasuk menghina dan mengaibkan pemimpin-pemimpinnya. Mitos berbau perkauman merupakan senjata utama yang digunakan oleh UMNO. Mereka cuba menanamkan rasa kebencian di kalangan orang Melayu terhadap PKR ekoran daripada sokongan yang diterima dari orang Cina dan India yang cukup luar biasa. PKR dikatakan lebih mementingkan orang Cina dan India berbanding orang Melayu. Mitos yang sedemikian rupa sering dimuatkan ke dalam media arus perdana yang dikuasai oleh UMNO dan rakan-rakannya di dalam BN.
Bagi mendapatkan sokongan di kalangan orang Cina, UMNO memperkudakan sekutunya Malaysian Chinese Association (MCA). Mereka mengarahkan MCA bertemu dengan orang Cina dan menyebarkan mitos bahawa orang Cina mesti bersatu di bawah panji-panji MCA. Kalau orang Cina tidak bersatu di bawah MCA maka mereka akan ditindas oleh orang Melayu dan India. Menurut MCA, orang Melayu khususnya merupakan penduduk bumiputera dan sedang memegang kuasa politik di Malaysia. Mereka mampu berbuat apa sahaja ke atas orang Cina termasuk mengenakan sekatan dalam pembelajaran dan perniagaan; dua perkara yang paling utama di dalam kehidupan orang Cina. UMNO juga menggunakan mitos; sekiranya PAS memerintah negara ini mereka akan melaksanakan Hukum Hudud yang bermakna orang Cina juga akan terhukum di bawah hukum tersebut. Oleh itu tidak ada pilihan lain, orang Cina mesti bersatu di bawah MCA.
Bagi menguasai orang India bukanlah suatu perkara yang sukar buat UMNO. Walaupun bangsa ketiga terbesar di Malaysia, namun jumlahnya jauh lebih kecil berbanding orang Cina dan orang Melayu; oleh itu orang India dilihat oleh UMNO sangat mudah untuk dikawal. Sepertimana mereka memperkuda MCA untuk menguasai orang Cina, tindakan yang sama dilakukan terhadap Malaysian Indian Congress (MIC) untuk menguasai orang India. Dakyah menakut-nakut yang digunakan terhadap orang Melayu dan orang Cina turut digunakan ke atas orang India. Natijahnya melalui MIC sokongan orang India dapat dibolot oleh UMNO.
Bagi golongan bumiputera di Sabah dan Sarawak semua mitos di atas juga digunakan ke atas mereka. Mereka ditakutkan dengan isu-isu perkauman, hukum Islam oleh PAS, dan hanya UMNO dan BN yang mampu membawa pembangunan. Latar geografi Sabah dan Sarawak yang bergunung-ganang dan berhutan tebal termasuk negeri yang luas menyebabkan berlaku komposisi kependudukan yang terpisah di antara satu sama lain. Kurangnya jalan perhubungan terutama jalan darat dan kos pengangkutan udara yang tinggi serta jarak yang jauh memudahkan UMNO dan sekutunya di dalam BN menguasai pemikiran penduduk di kedua-dua negeri tersebut.
Menakut-nakutkan penduduk Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama merupakan mitos yang sangat licik dan menjadi intipati kepada kekuasaan UMNO selama ini. Fitnah dan sogokan menjadi sangat dominan di dalam semua cerita mitos itu. Perogolan kepada badan kehakiman, pengunaan jentera penguatkuasa dan kongkongan ke atas media turut termuat di dalam pengkisahan cerita mitos gubahan UMNO. Hampir semua dakyah yang mereka lontarkan berjaya mempengaruhi penduduk negara ini melangkaui sempadan kaum dan daerah.
Walau bagaimanapun perpecahan UMNO pada tahun 1987 sehingga parti tersebut diharamkan telah sedikit sebanyak menyedarkan masyarakat negara ini tentang mitos yang digunakan oleh UMNO. Sebahagian daripada orang Melayu telah terjaga dari lena yang panjang. Terkejut dengan pengharaman tersebut UMNO telah dilahirkan semula dengan nama UMNO (baru). Perkataan “baru” telah dikelabukan sepertimana UMNO (baru) dan yang lama mengaburi mata semua rakyat Malaysia dengan mitosnya yang berpanjangan; dari satu mitos ke satu mitos.
Pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO pada 2 September, 1998, dan penangkapan beliau pada 20 September tahun yang sama telah menyebabkan lahirnya era reformasi besar-besaran di dalam lanskap politik tanahair. Buat pertama kali dalam sejarah negara, berlaku penyatuan semua kaum bagi menuntut pembebasan Anwar. Protes oleh rakyat berbilang kaum dibuat secara terbuka. Rapat umum dan demonstrasi diadakan di segenap pelusuk negara. Tanpa henti, rakyat berarak di jalanraya melaungkan slogan keramat “REFORMASI!!!” dan mengutuk tindakan kerajaan yang didalangi oleh pencipta mitos iaitu UMNO. Ramai ahli UMNO, MCA dan MIC serta sekutu mereka di dalam BN keluar parti menjadi “reformis”. Malah ada di kalangan mereka yang menyertai PAS, DAP dan PRM. Pada masa itu Parti Keadilan Nasional (PKN) belum ditubuhkan lagi; yang ada ialah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bergelar ADIL. Pada bulan April 1999 PKN ditubuhkan dengan rasminya dan menyertai pilihanraya pada bulan November tahun tersebut.
Bagi mengekang kemaraan PKN (sekarang PKR setelah bergabung dengan PRM pada tahun 2004), PAS dan DAP, UMNO terus menerus menyebarkan mitos bagi menakut-nakutkan rakyat terhadap ketiga-tiganya. Saban hari satu persatu mitosnya disogokkan kepada orang Melayu, orang Cina, orang India dan kaum-kaum lain agar menjauhi PKR, PAS dan DAP yang telah membentuk gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat (PR). Pembebasan Anwar pada Oktober 2004 menjadi satu tamparan kepada UMNO dan BN. Sebelumnya mereka menyebarkan mitos Anwar sudah tidak releven di dalam kancah politik negara. Mereka menyatakan karier politik Anwar sudah berakhir dan beliau sudah dibenci serta dilupakan oleh rakyat Malaysia.
Berbekal semangat waja ditambah dengan sokongan padu oleh PKR, PAS, DAP, NGO dan orang perseorangan serta dunia antarabangsa, Anwar bangkit mengetuai PKR dan PR dalam menongkah arus dan gelombang politik Malaysia. Dari menapak, berjalan sehingga berlari, Anwar, PKR dan PR semakin berkembang bukan sahaja di Semenanjung Malaysia malah melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak. Sedikit demi sedikit mereka berjaya menyedarkan rakyat tentang mitos UMNO. Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac, 2008 menyaksikan buat pertama kalinya PR berjaya menawan 5 buah negeri iaitu Selangor, Kelantan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan mendapat majoriti undi popular di Semenanjung Malaysia. Ini menunjukkan mitos UMNO semakin terhakis dan dihakiskan. Rakyat semenanjung mula sedar; mitos tetap mitos. Sama ada dalam bentuk menakut-nakutkan, putar belit, penipuan, hasutan dan melaga-lagakan mahupun sogokan wang dan harta benda, sudah ditolak oleh majoriti rakyat. Mereka telah sedar selama ini UMNO menggunakan mitos untuk meraih undi di dalam pilihanraya.
Rakyat Sabah dan Sarawak masih dibelenggu mitos UMNO dan BN di dalam pilihanraya yang lalu. Mereka masih belum berkesempatan untuk menganalisa yang mana mitos yang mana realiti. Akhirnya mereka telah mempercayai mitos-mitos tersebut sebagai sesuatu yang benar. Walau bagaimanapun tersentak dengan perubahan yang berlaku di kalangan rakan mereka di semenanjung, kelihatan rakyat Sabah dan Sarawak turut tersedar dari lamunan dan mimpi indah mitos UMNO. Ramai yang berkata rakyat Sabah dan Sarawak agak terlewat untuk menyedari mereka selama ini berada di dalam alam mitos. Walaupun begitu, apa yang penting ialah, sedar tetap sedar. Adalah diharapkan kesedaran ini akan berterusan dan berpanjangan terutama sehingga Pilihanraya Negeri Sarawak yang dijangkakan pada tahun hadapan dan menjangkau sehingga Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang.
Cadangan penubuhan dan pendaftaran PR secara rasmi dan berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, adalah sangat dinantikan oleh semua pemerhati politik dalam dan luar negara. Apakah Pendaftar Pertubuhan (yang makan gaji dari Kerajaan Malaysia) sanggup meluluskan pendaftarannya? Sama-sama kita nantikan. Walaupun dari segi perundangan tiada apa yang boleh dipertikai tentang penubuhan PR, namun undang-undang Malaysia sangat unik dan pelik sekali. Segala-galanya boleh terjadi. Yang halal boleh diharamkan dan yang haram boleh dihalalkan. Yang sah boleh dibatalkan dan yang batal boleh disahkan. Ada kemungkinan juga proses kelulusan (jika diluluskan) akan memakan masa yang terlalu panjang; segalanya mungkin. Dunia akan melihat apakah pula versi mitos yang akan dicanangkan oleh UMNO untuk menyekat kemaraan PR dari mendapat tempat di hati rakyat negara ini. Begitu juga apakah mitos yang akan disumbat ke kotak pemikiran rakyat Malaysia bagi menghalang mereka memberi sokongan kepada PR. Hanya masa yang akan menentukan.
Kepada seluruh rakyat Malaysia, ayuh bangkitlah dari lamunan dan ketiduran yang panjang, hindari diri, keluarga dan masyarakat tanpa mengira usia, kaum, agama dan sempadan kedaerahan dari terjerat dengan pelbagai cerita mitos garapan UMNO. Sayangilah diri kita sendiri, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia demi kesejahteraan hidup bersama dan kesinambungannya untuk generasi yang akan datang.
KALAU TAKUT KEPADA RISIKO USAH BICARA TENTANG PERJUANGAN!!!
ZAIDI AHMAD Pengarah Sekretariat
Parti Keadilan Rakyat
Negeri Pahang
Pergabungan Keadilan & PRM adalah pada Ogos 2003 dan bukannya pd tahun 2004! Harap betulkan fakta didalam artikel ini. Saya di antara ajk keadilan phbgn negeri pahang ketika itu yg turut bersama ketika perlancaran dan perasmian pergabungan ini menjadi PKR di dewan perhimpunan cina Selangor, KL oleh DSWA. Manakala Keadilan pula dilancarkan pada 04.04.1999 di Renaissance Hotel, Jln Ampang....
"Semakin hari PAS semakin mendapat tempat di hati orang Melayu sehingga sampai suatu ketika berjaya menawan beberapa negeri di dalam Pilihanraya Umum 1974. Kejayaan PAS ini telah menyentakkan UMNO dari lamunan. Mereka memasang niat jahat dengan merangka strategi tertentu agar PAS menyertai BN"
-Sebenarnya PAS sudah kuat sejak PRU pada tahun 1959 dgn memenangi Kelantan & Terengganu. pada thn 1969 PAS masih menang di Kelantan disamping menang di beberapa kerusi tambahan parlimen di Kedah, Perak & Terengganu disamping kegagalan Umno /perikatan memerintah Perak & Selangor kerana DAP & PPP menafikan majoriti 2/3 dlm dun kedua negeri tersebut. Manakala Pulau Pinang kecundang dan jatuh ke tangan Gerakan pada tahun 1969 tersebut. PAS tetap memerintah satu negeri Kelantan je di samping kerusi dun cuma bertambah di Terengganu & Kedah yang akhirnya PAS menyertai Barisan Nasional pada awal 70an seterusnya PAS menang besar pada PRU thn 1974 adalah kesan ianya sudah berada didalam BN dan bukannya bertanding sendirian pada thn 1974 sebagaimana yg tertulis di dalam artikel ini.
4 comments:
Pergabungan Keadilan & PRM adalah pada Ogos 2003 dan bukannya pd tahun 2004! Harap betulkan fakta didalam artikel ini. Saya di antara ajk keadilan phbgn negeri pahang ketika itu yg turut bersama ketika perlancaran dan perasmian pergabungan ini menjadi PKR di dewan perhimpunan cina Selangor, KL oleh DSWA.
Manakala Keadilan pula dilancarkan pada 04.04.1999 di Renaissance Hotel, Jln Ampang....
"Semakin hari PAS semakin mendapat tempat di hati orang Melayu sehingga sampai suatu ketika berjaya menawan beberapa negeri di dalam Pilihanraya Umum 1974. Kejayaan PAS ini telah menyentakkan UMNO dari lamunan. Mereka memasang niat jahat dengan merangka strategi tertentu agar PAS menyertai BN"
-Sebenarnya PAS sudah kuat sejak PRU pada tahun 1959 dgn memenangi Kelantan & Terengganu. pada thn 1969 PAS masih menang di Kelantan disamping menang di beberapa kerusi tambahan parlimen di Kedah, Perak & Terengganu disamping kegagalan Umno /perikatan memerintah Perak & Selangor kerana DAP & PPP menafikan majoriti 2/3 dlm dun kedua negeri tersebut. Manakala Pulau Pinang kecundang dan jatuh ke tangan Gerakan pada tahun 1969 tersebut.
PAS tetap memerintah satu negeri Kelantan je di samping kerusi dun cuma bertambah di Terengganu & Kedah yang akhirnya PAS menyertai Barisan Nasional pada awal 70an seterusnya PAS menang besar pada PRU thn 1974 adalah kesan ianya sudah berada didalam BN dan bukannya bertanding sendirian pada thn 1974 sebagaimana yg tertulis di dalam artikel ini.
waaa..ko mmg cikgu sejarah la bro rizan..tp ye ker tu..
tahniah juge buat bro zedi!!
waaa..ko mmg cikgu sejarah la bro rizan..tp ye ker tu..
tahniah juge buat bro zedi!!
Post a Comment