Kejadian kereta terjunam dari tempat meletak kereta di bahagian bumbung KB Mall semalam sehingga meragut 2 nyawa disamping mangsa yang masih parah sehingga kini adalah sesuatu yang diluar jangkaan berlaku seumpama itu. Kejadian itu yang mungkin pertama kali berlaku dinegara ini apatah lagi didalam kompleks membeli belah itu telah menarik perhatian rakyat untuk mengetahui kenapa dinding penahan yang seharusnya kukuh boleh berkecai dengan begitu mudah sahaja? Kejadian yang berlaku ini sudah pasti akan menimbulkan persoalan baru kepada orang ramai apakah keselamatan orang awam akan terjamin walaupun sekadar untuk datang ‘window shopping’ di sesebuah kompleks membeli belah?Secara peribadi, saya begitu hairan kenapa benteng penahan pada tempat meletak kereta di KB Mall itu terlalu ‘rapuh’ sehinggakan rempuhan sebuah kereta yang terlalai dan cuai pada pemanduan ketika itu dengan mudah boleh ‘terlepas’ daripada tembok penahan tersebut? Sebagai salah seorang pengamal kejuruteraan serta sudah terlibat didalam banyak projek pembinaan (Construction Field) samada didalam atau diluar negara merasakan ‘semacam’ ada sesuatu yang tidak kena pada pembinaan tembok penahan tersebut berdasarkan kepada serpihan binaan yang berkecai.
Terus terang saya katakan, kebiasaan tembok penahan di mana-mana tempat pun samada tembok penahan di tempat meletak kereta atas bumbung bangunan atau juga dibawah, kaedah yang terbaik untuk pembinaan tembok tersebut ialah dengan menggunakan kaedah binaan secara ‘RC Wall’ dan bukannya kaedah ‘mengikat batu-bata’ (Brick Laying). Amalan membina tembok penahan melalui kaedah ‘RC Wall’ adalah merupakan keadah yang terbaik untuk dinding penahan didalam sesuatu pembinaan apatah lagi pada bangunan tinggi. ‘RC Wall’ ; ‘Reinforce Concrete Wall’ (Konkrit Bertetulang) adalah terdiri daripada kaedah penggunaan besi dari beberapa jenis yang dipanggil besi ‘Y’ sebagai asas dan besi ‘R’ sebagai besi pengikat.
Selalunya saiz minima yang digunakan pada besi tersebut ialah bersaiz Y10 dan R8 untuk kaedah pembinaan ini dengan kebiasaanya akan di konkrit (casting) pada Gred 30 mengikut Piawaian BS Standard serta sebagaimana juga spesifikasi yang dikeluarkan oleh JKR. Didalam gambar ditempat kejadian tersebut juga jelas menunjukkan bagaimana serpihan tembok penahan itu telah dibina tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya kerana didapati kaedah mengikat batu-bata ini telah dimulakan sejak diatas lantai (Slab) lagi kerana yang pasti kaedah ini jelas tidak mempunyai asas penahan yang kuat walaupun ianya dipasang bersama ‘starter bar’ kemungkinannya.
Seharusnya ikatan batu bata ini hanyalah diteruskan atau disambung selepas sekurang-kurangnya setengah meter (500 mm) ketinggian tembok penahan dibina secara kaedah konkrit ‘RC Wall’ terlebih dahulu dibuat. Binaan tembok penahan ini terpaksa dihadkan ketinggiannya berdasarkan kesesuaian tempat bagi mengelakkan lebihan beban (Over Load) pada sesebuah bangunan seperti KB Mall ini. Saya juga terpanggil untuk bertanya apakah kaedah mengikat batu-bata ini telah dipasang mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan JKR serta Piawaian BS Standard yang lazimnya di praktikkan didalam pengamalan kejuruteraan pembinaan selama ini?
Apakah ikatan batu bata ini turut di pasang pada setiap empat lapisan dengan jaring besi ‘Exmet’? Ini kerana dengan pemasangan Exmet sepatutnya sudah pasti akan mengukuhkan ikatan batu-bata tersebut daripada bersepai dengan mudah sebagaimana yang berlaku ini! Disamping itu juga sepatutnya dengan ikatan batu bata yang sudah melebihi ketinggian 2500 mm (Berasaskan gambar yang disiarkan serta perkiraan ini berdasarkan standard biasa, ketinggian antara slab dan bumbung pada tempat meletak kerata di KB Mall ini ialah setinggi 2500 – 3000 mm), maka tembok penahan ini sudah sepatutnya mempunyai ‘Lintol’ dan ‘Stiffener’ sebagaimana Piawaian BS Standard yang diamalkan didalam kejuruteraan.
Akhir kata, didalam hal ini siapakah yang seharusnya bertanggungjawab? Apakah Konsultan yang terdiri daripada sekumpulan Arkitek, Jurutera (Samada C&S/ M&E), Juru Ukur Bahan dan sebagainya yang terlibat secara langsung dengan reka bentuk serta bajet bangunan ini seharusnya perlu dipertanggungjawabkan ? Ataupun pihak lain seperti kontraktor utama (Main Contractor) atau Pemilik KB Mall (Owner) sendiri atau pun pihak berkuasa di Kota Bharu yang memberi kelulusan menduduki bangunan ini juga perlu bertanggungjawab sama?
* Penulis adalah seorang jurutera yang berpengalaman 14 tahun didalam bidang kejuteraan pembinaan terutamanya dalam pembinaan bangunan tinggi (High Rise Building) dan pernah menyertai beberapa firma perunding kejuruteraan terkenal dan kini menyertai syarikat pembinaan yang terulung dinegara kita.
Sila lawati blog 'Ingeniur De' Raikan Hasrat Anda' di http://ingeniur.blogspot.com
No comments:
Post a Comment