PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Tuesday, December 22, 2009

KONVENSYEN PERTAMA PAKATAN RAKYAT : LANGKAH PERTAMA SISTEM DUA PARTI POLITIK DI MALAYSIA

Konvensyen Pertama

Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat yang berlangsung pada 19hb Disember, 2009 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam adalah langkah pertama kepada wujudnya sistem dua parti politik di Malaysia. Konvensyen ini adalah sejarah buat negara apabila tiga buah parti utama komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) buat julung kalinya bersidang bersama untuk membincang dan membahaskan dasar bersama. Tepat jam 8.00 pagi seramai 1500 perwakilan ketiga-tiga parti mula mendaftar dan memasuki dewan persidangan. Turut hadir ialah seramai kira-kira 1000 orang pemerhati ketiga-tiga parti, Duta-Duta, wakil media dalam dan luar negara.

Dato’ Seri Anwar

Tepat jam 9.15 pagi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan Ucapan Perdana. Beliau menyentuh beberapa perkara iaitu kerjasama Pakatan Rakyat semakin kukuh dan jitu dalam membawa aspirasi rakyat yang mahukan negara ini diurus dan ditadbir dengan baik. Sudah lebih 52 tahun UMNO dan sekutunya di dalam Barisan Nasional mentadbir negara namun kehidupan rakyat semakin terhimpit, rasuah menular ke akar umbi, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang semakin parah. Beliau juga menyentuh institusi polis yang dipergunakan dan kehakiman yang sudah hilang kebijakan dan keberanian untuk memutuskan kes dengan adil dan saksama.

Anwar menyatakan Pakatan Rakyat mempunyai iltizam yang tinggi untuk menghapuskan politik perkauman yang selama ini dimanipulasi oleh UMNO dan BN dengan mengangkat ketuanan rakyat sebagai agenda utama perjuangan. Semua rakyat akan dibela oleh Pakatan Rakyat tanpa mengira kaum, agama dan gender.

YAB Lin Guan Eng

Manakala YAB Tuan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP pula menyatakan Pakatan Rakyat akan memperjuangkan Malaysia yang adil dan saksama. Beliau juga menyatakan DAP akan memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan BN kalah dalam pilihanraya yang akan datang. DAP katanya lagi akan terus mendokong dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat bagi membebaskan rakyat negara ini dari belenggu kehidupan. Kegagalan UMNO/BN mengurus negara dengan baik menyebabkan rakyat semakin susah dan sengsara.

YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS memberi jaminan PAS akan tetap setia bersama Pakatan Rakyat. Kesetiaan PAS tidak perlu diragui kerana selama ini PAS adalah penentang kuat kepada kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh BN terhadap rakyat Malaysia. Dasar Pakatan Rakyat adalah dasar yang telah dinukilkan bersama-sama dengan PKR dan DAP. Oleh itu PAS akan terus berjuang untuk kepentingan rakyat di dalam Pakatan Rakyat.

Pidato Dan Perbahasan

Wakil-wakil dari ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat turut membahaskan Pidato Dasar Pakatan Rakyat yang sebelum itu di sampaikan oleh YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, YB Tony Phua, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan YB Sivarasa Rasiah, Naib Presiden PKR. Kesemua pidato dan perbahasan berkisar di sekitar isu-isu politik, ekonomi, sosial dan hubungan Kerajaan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara yang akan menjadi intipati kepada perjuangan Pakatan Rakyat untuk membangunkan rakyat dan negara.

Rumusan Pemimpin

YB Karpal Singh, Pengerusi DAP merasa sangat bangga akhirnya Pakatan Rakyat secara rasminya berjaya duduk bersama mengadakan konvensyen ini. Beliau membuat pengumuman bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Ketua Umum Pakatan Rakyat. Beliau menyatakan komitmen akan terus berjuang untuk mempartahankan Anwar dalam kes yang dikenakan kepadanya di mahkamah. Karpal juga menyatakan Dasar Pakatan Rakyat adalah satu dasar yang akan mampu membawa rakyat dan negara mencapai tahap yang lebih baik.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS menyatakan rasa sangat gembira dengan penubuhan dan kerjasama Pakatan Rakyat. Beliau menyatakan hal ini sangat bersesuaian dengan jiwanya dan bertepatan dengan pengajian ilmu Islam yang dipelajari dan dipraktikkan selama ini. Nik Aziz menyatakan beliau sangat mengambil berat tentang kerjasama di dalam Pakatan Rakyat. Katanya UMNO tidak boleh dijadikan sahabat kerana mereka akan menyingkirkan sesiapa sahaja apabila sudah merasa kuat. Ini berlaku kepada PAS yang pernah menjadi ahli gabungan BN suatu ketika dahulu.

Dato’ Seri Anwar dalam rumusannya menyatakan Dasar Pakatan Rakyat yang dikemukakan secara bertulis dan dibukukan adalah tanda komitmen tinggi parti-parti komponen untuk memacu rakyat dan negara menuju kecemerlangan. Barisan Nasional katanya tidak pernah mempunyai dasar yang jelas dan bertulis. Malah mereka tidak pernah mengadakan konvensyen atau persidangan bersama. Oleh itu Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat ini adalah satu sejarah besar buat negara. Beliau menyeru semua pemimpin dan perwakilan serta ahli-ahli parti turun padang bertemu rakyat untuk menerangkan tentang dasar bersama Pakatan Rakyat ini. Beliau amat yakin Pakatan Rakyat akan memenangi pilihanraya umum ke 13 akan datang.

No comments: