PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Thursday, December 10, 2009

CUKAI BARANG & PERKHIDMATAN (GST) : KEGAGALAN NAJIB MENGURUS EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA

SHAH ALAM - Kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal berdepan laluan sukar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tanpa kajian menyeluruh. Pensyarah Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Amir Baharudin berkata, GST memberi implikasi cukup besar berikutan perbelanjaan hidup yang semakin tinggi ketika ini. Katanya, pelaksanaan cukai tersebut akan menyebabkan kemarahan rakyat kerana mereka sudah terbeban dengan pelbagai cukai yang dilaksanakan kerajaan. “Cukai bukan budaya rakyat Malaysia. Cukai dalam apa bentuk sekalipun akan menjejas kesejahteraan orang atau pihak yang membayarnya.

“Persoalannya, apakah kerajaan pasti perlaksanaan GST tidak membebankan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan kemungkinan rakyat menolak kerajaan BN pada PRU akan datang,” katanya. Amir berkata, pelaksanaan GST tanpa kajian mendalam akan menjejaskan politik negara secara tidak langsung. “GST dijangka dilaksanakan ketika negara bakal berdepan dengan PRU ke-13, dan ini berkemungkinan Barisan Nasional bakal berdepan dengan laluan yang amat sukar untuk menang,” katanya lagi ketika mengulas penubuhan pasukan khas oleh Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju cadangan melaksanakan GST.

Kuantan -10 Disember, Pengarah Sekretariat, Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang, Zaidi Ahmad menyatakan cadangan kerajaan untuk melaksanakan GST ini adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar. Ketika ini kehidupan rakyat terutama mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah sangat sukar. Kenaikkan harga barang terutama barangan makanan telah sekian lama membebankan rakyat. Katanya lagi, beliau telah dimaklumkan oleh beberapa orang peniaga kedai runcit yang ditemui bahawa harga beras akan naik sebanyak RM2 bagi satu beg. Begitu juga akan berlaku kenaikkan beberapa barangan makanan lain seperti milo dan susu dalam masa terdekat. Selain daripada itu barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran telah menunjukkan kenaikkan yang sangat ketara. Ini semua telah cukup membebankan kehidupan rakyat.

Bajet 2010 yang dibentang oleh Perdana Menteri pada bulan Oktober yang lalu menyatakan tiada bonus untuk kakitangan kerajaan sudah cukup membuktikan kedudukan kewangan negara berada di dalam keadaan yang cukup parah. Isu pakej ransangan pertama berjumlah RM7 billion dan kedua berjumlah RM60 billion masih belum selesai. Rakyat mahu tahu dari mana kerajaan memperolehi wang yang begitu banyak dan bagaimana ia dibelanjakan untuk merangsang ekonomi negara. Defisit RM90 billion dalam bajet 2010 sangat membimbangkan. Ini akan menyebabkan negara terpaksa membuat pinjaman dan menambahkan hutang. Praktiknya semua hutang ini akan dibebankan kepada bahu rakyat untuk membayarnya dalam bentuk menaikkan cukai. Oleh itu perlaksanakan GST yang dicadangkan oleh kerajaan dikira mempunyai kaitan rapat dengan beban hutang negara yang semakin bertambah.

Rakyat cukup faham kerajaan ada memberikan subsidi di dalam beberapa sektor, tetapi subsidi ini boleh ditampung dengan beberapa cara; pengawalan yang ketat ke atas ketirisan pengurusan ekonomi, menyemak dan menggubal semula Akta Petroleum 1974 dengan membenarkan akaun Petronas diaudit oleh Ketua Audit Negara, meningkatkan iltizam untuk menghapuskan rasuah dengan meletakkan SPRM di bawah kawalan Parlimen, menghapuskan amalan nepotisme dan kronisme, tender terbuka kepada projek kerajaan, menyemak semula perjanjian kerajaan melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Seperti biasa apabila terdapat tentangan dan hujah, pemimpin-pemimpin UMNO dan BN serta juak-juak mereka akan berlumba-lumba membuat kenyataan bahawa hasrat kerajaan mahu memperkenalkan GST bukan perkara baru. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, regim GST bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka dapat menjana pendapatan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan apabila diperkenalkan dalam tempoh 18 bulan selepas Mac depan. Sebenarnya, GST ialah cukai terhadap semua barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna.

Oleh sebab asasnya yang lebih luas berbanding SST, ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan. Ia adalah antara sistem percukaian pilihan kerana berkesan serta produktif di dalam menjana pendapatan kerajaan. Pendapatan kerajaan berjumlah RM1 billion dalam tempoh 18 bulan perlaksanaannya bermakna sebanyak itulah keringat rakyat diperah. Oleh itu cukai dalam bentuk atau nama apa pun, pasti menyusahkan orang ramai yang terpaksa membayarnya.

Mereka juga akan mengatakan, hasrat untuk melaksanakan perkara ini sudah dirancang dan dicadangkan sejak sekian lama, GST itu tentunya akan dirangka dengan kaedah berkesan dan tidak menyusahkan golongan pembayar cukai. Kenyataan lunak ini akan dimainkan saban hari bagi mengelirukan rakyat dan mengakibatkan rakyat lupa mereka akan dibebani dengan kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang sangat tinggi. Rakyat juga akan digula-gulakan dengan kenyataan bahawa hasil cukai yang dipungut menerusi GST juga boleh disalurkan untuk pelbagai tujuan pembangunan yang menyumbang kepada kesejahteraan mereka Pemimpin UMNO dan kerajaan juga akan melemparkan tuduhan kepada Pakatan Rakyat yang kononnya menjadikan isu GST sebagai modal politik. Dalam banyak perkara berkaitan dengan kenaikkan harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan memperkudakan segelintir rakyat dengan menjadikan mereka model iklan di media untuk menyatakan mereka bersetuju dengan kenaikkan tersebut dan tiada kesan langsung kepada kehidupan mereka.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan sebulan lalu menunjukkan berlaku salah laku dan penyelewengan yang amat ketara terhadap pengurusan kewangan dan ekonomi negara dan negeri-negeri. Negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan diberi taraf empat bintang dan dipuji berjaya menguruskan ekonomi dan kewangan dengan baik. Bagi negeri-negeri lain di bawah Barisan Nasional terutama Pahang, laporan tersebut menyatakan terdapat banyak aspek pengurusan yang sangat meragukan dan terdapat unsur salah laku dan penyelewengan. Ini membuktikan UMNO dan Barisan Nasional sudah hilang keupayaan untuk mengurus kewangan negeri dan negara dengan baik. Walau bagaimanapun pemimpin-pemimpin mereka didapati hidup di dalam keadaan mewah dan kaya raya manakala rakyat semakin menderita.

Sekiranya kerajaan benar-benar telus dan komited untuk membantu rakyat, saya kira banyak cara boleh digunapakai, bukan dengan melaksanakan GST. PKR Pahang berasa sungguh kecewa kerana Perdana Menteri, Najib Razak yang juga berasal dari Pahang dilihat tidak berupaya untuk memacu ekonomi negara keluar dari kemelesetan ekonomi dunia. Malahan Najib berusaha pula meletakkan segala masalah dan beban hutang negara ke bahu rakyat terbanyak.


ZAIDI AHMAD

Pengarah Sekretariat

Parti Keadilan Rakyat

Negeri Pahang

1 comment:

AiMaN said...

kerajaan BN dah jatuh miskin..
terpaksa rompak duit rakyat secara haram dengan cara yang sah..
BN tidak berhati perut...
TOLAK BN~~~