PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Friday, December 11, 2009

AHMAD SAID BERUNDUR : Mohon Berhenti Lima Bulan Awal, Abu Kassim Ketua Baru SPRM

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya baru SPRM mulai 1 Januari ini, menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang berundur lima bulan lebih awal. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, berkata, Ahmad Said, 57, mengemukakan notis bertulis memohon kontrak perkhidmatannya yang sepatutnya tamat pada 25 Mei 2010, dipendekkan pada 31 Disember ini. Dalam kenyataannya semalam, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Abu Kassim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru berdasarkan peruntukan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Difahamkan, Ahmad Said menghadapi tekanan, terutama daripada Pakatan Rakyat yang mendesaknya melepaskan jawatan berikutan laporan indeks rasuah global Transparency International tahun ini yang meletakkan Malaysia di tangga ke-56, berbanding tempat ke-47 tahun lalu. Kedudukan terburuk Malaysia sejak 15 tahun lalu itu memberi kesan ketara terhadap kewibawaan SPRM yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR). Selain itu, beberapa isu termasuk kes kematian Teoh Beng Hock, 30, ketika disoal siasat di pejabat SPRM di Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai lalu, turut mencemarkan imej suruhanjaya berkenaan. Rentetan kejadian itu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan SPRM tidak boleh lagi menyoal siasat saksi di luar waktu pejabat.

Ahmad Said ketika dihubungi pemberita, bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sebab beliau mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak perkhidmatannya, lima bulan lebih awal. Beliau cuma mengucapkan tahniah kepada Abu Kassim dan berharap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru itu dapat menjalankan tugasnya dengan baik bagi meneruskan kecemerlangan serta meningkatkan integriti SPRM.

Abu Kassim yang menyambut hari jadinya yang ke 49 baru-baru ini, pula berjanji akan meneruskan usaha membanteras rasuah di negara ini. "Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk meneruskan tugas yang sebelum ini dipikul Datuk Seri Ahmad Said Hamdan. "Dengan pelantikan ini, bermakna saya perlu memikul tanggungjawab lebih besar dengan sebaik-baiknya dalam usaha memenuhi harapan rakyat untuk melihat negara bebas rasuah," katanya.

KUANTAN: 11 Disember 2009, Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang mengucapkan tahniah kepada Datuk Abu Kassim yang akan menjalankan tugas barunya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru mulai 1 Januari ini. Perlantikan ini disifatkan sebagai satu cabaran yang besar kepada beliau kerana baru-baru ini Malaysia telah jatuh ke tangga ke-56 dari tangga ke-47 di dalam laporan indeks rasuah global oleh Transparency International bagi tahun ini. Abu Kassim akan berhadapan dengan tugas yang sukar dalam usaha memulihkan nama negara yang telah tercalar berikutan laporan tersebut.

PKR Pahang berpendapat laporan tersebut telah membuktikan bahawa tidak terdapat usaha yang bersungguh-sungguh dan bersepadu di kalangan agensi penguatkuasa terutama SPRM di dalam menangani gejala rasuah. SPRM yang telah dinaik taraf dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) dilihat sangat perlahan menjalankan siasatan terhadap aduan rasuah di kalangan pemimpin negara, tetapi sangat cepat melakukan siasatan sekiranya aduan yang dibuat melibatkan pihak pembangkang (Pakatan Rakyat). Ada di antara aduan yang dibuat langsung tidak disiasat sehingga pihak pengadu tidak mengetahui apa yang terjadi terhadap aduan mereka.

Kes banglo mewah milik Datuk Seri Khir Toyo bernilai RM24 juta tidak diselesaikan sehingga sekarang, tetapi kes kenderaan Menteri Besar Selangor sudah siap. Begitu juga dengan skandal terbesar negara berkenaan Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang semakin “disenyapkan”. Skandal tersebut yang membawa kepada kerugian yang amat besar ke atas wang rakyat terutama semasa negara menghadapi kemelesetan ekonomi yang parah akibat kemelesetan ekonomi dunia seolah-olah cuba untuk diselindungkan dari perhatian umum. Sehingga sekarang masih belum menampakkan hasilnya.

PKR Pahang menyeru Abu Kassim agar menjalankan siasatan dengan segera terhadap isu pembalakkan seluas 16,800 hektar (42,000 ekar) di kawasan Sungai Lembing seperti mana yang dilaporkan di muka hadapan akhbar Sinar Harian baru-baru ini. Pendedahan yang dibuat oleh YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan itu menunjukkan dengan jelas terdapat usaha terancang di kalangan pemimpin Kerajaan Pahang untuk mendapatkan hasil balak yang bernilai tinggi dengan cara yang terselindung. Khazanah negeri dan harta rakyat dirompak dengan pelbagai cara oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Cara kelulusan pengeluaran balak di kawasan tersebut sangat diragui. Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob dan barisan Exconya perlu bertanggung jawab sepenuhnya terhadap perkara ini.

PKR Pahang juga berharap agar Abu Kassim turut memberi perhatian yang serius terhadap Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan sebulan lalu. Laporan tersebut mendedahkan banyak berlaku ketirisan terhadap pengurusan ekonomi dan kewangan negeri. Terdapat unsur-unsur salah laku dan penyelewengan yang ketara terhadap pengurusan kewangan negeri Pahang. Itulah sebabnya Pahang mengalami belanjawan defisit 12 tahun berturut-turut termasuk pembentangan bajet 2010 turut menyaksikan defisit sebanyak RM90 juta.

Rakyat juga mahu melihat kes-kes berprofil tinggi yang terdapat di dalam simpanan SPRM dibongkar semula kerana ia melibatkan jumlah wang rakyat yang cukup besar. Siasatan terhadap kes-kes rasuah Rafidah Aziz dan Rahim Tambi Chik perlu dibuka dan didedahkan. Sekiranya Abu Kassim tidak mempedulikan kes-kes tersebut, kredibiliti beliau akan tercemar dan perlantikkan beliau tidak membawa apa-apa erti selain sekadar memenuhi jawatan kosong semata-mata.

PKR Pahang berharap perlantikkan Abu Kassim ini akan dapat mejadikan SPRM sebagai sebuah suruhanjaya yang benar-benar telus, adil dan berintegriti di dalam menjalankan tugasnya membenteras gejala rasuah dan penyelewengan di negara ini. Peningkatan taraf SPRM dari BPR seharusnya akan meningkatkan kredibiliti suruhanjaya tersebut. Siasatan terpilih mesti dihentikan dengan segera. SPRM dinasihatkan menjadi sebuah badan bebas yang tidak harus menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana pihak. Keberanian dan ketegasan Abu Kassim dalam menjalankan amanah rakyat ini dituntut agar nama negara yang sudah tercalar dapat dibersihkan kembali dan yang lebih penting gejala rasuah dapat dihapuskan sama sekali.


ZAIDI AHMAD
Pengarah Sekretariat
Parti Keadilan Rakrat
Negeri Pahang

No comments: