PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Sunday, February 1, 2009

Peneroka Felda dan Ahli Keluarga adalah penentu pemerintahan Negeri Pahang

Datuk Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Perhubungan PKR Pahang telah mengambil satu pendekatan positif terhadap peranan peneroka Felda. Didalam gerkan politik di Pahang, mana-mana parti politik yang mendapat sokongan peneroka-peneroka Felda dan Generasi mereka di rancangan-rancangan Felda akan menjadi parti dominan dan boleh memerintah Negeri Pahang.
Felda adalah suatu perancangan yang terbaik untuk membasmi kemiskinan luar bandar. Telah difikirkan bahawa penduduk luar bandar yang berselerak di kampong-kampong tradisi pada suatu ketika dulu merupakan kelompok manusia yang hidup didalam serba-serbi kesusahan dan kesukaran.
Sewaktu itu tidak ada jalanraya atau jalan kampong, tidak ada bekalan elektrik dan air bersih, tidak ada khidmat talipon, apatah lagi khidmat kesihatan dan persekolahan.
Adalah dirancangkan agar penduduk yang perlu dibela ini berpindah kesuatu kawasan perkampongan modern dengan setiap mereka diberikan tapak rumah dan kawasan perladangan untuk aktiviti perekonomian mereka.
Dari peringkat awal hinggalah sekarang, pelbagai kejayaan dan masalah telah dirasakan oleh peneroka-peneroka, ahli-ahli keluarga dan generasi-generasi mereka.
Diperingkat awal, peneroka-peneroka memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan geran individu. Surat Perjanjian diantara Peneroka dan Felda memperuntukkan bahawa peneroka-peneroka berkongsi tanah diatas nama koperasi didalam setiap perkongsian pemilikan itu seramai 20 orang.
Peneroka-peneroka tidak bersetuju dengan peruntukan ini dan mereka berjuang supaya mereka diberikan memiliki geran tanah ladang mereka secara individu. Ramai dikalangan mereka yang berjuang itu telah dibuang dari rancangan Felda dan ada sesetengahnya berjaya kembali ke tanah rancangan setelah berhadapan dengan perbicaraan di Mahkamah.
Cukup ironi menjadi peneroka Felda pada waktu itu. Mereka yang bergerak didalam parti-parti pembangkang diberikan surat tunjuk sebab kenapa mereka tidak boleh diambil tindakan kerana pergerakan mereka yang memecahbelahkan masyarakat. Bererti, mana-mana peneroka yang ingin menuntut hak mereka yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk berpersatuan dicop oleh pengadbir-pentadbir Felda dan UMNO sebagai memecahbelahkan masyarakat.
Walaupun ramai yang dipecat dari Felda, namun, semakin ramai peneroka-peneroka felda menjadi insaf dan sedar akan hak mereka. Mereka terus berjuang dan menerima cabaran dan risiko dibuang dari rancangan felda.
Mereka yang dibuang dari felda ini tidak mempunyai tempat untuk kembali. Mereka tidak ada rumah di kampong asal, dan mereka tidak diberikan walaupun satu sen pampasan oleh felda. Mereka dihalau sehelai sepinggang. Tetapi perjuangan mereka itulah yang kini dapat mereka tinggalkan dan diwarisi oleh peneroka-peneroka semasa.
Pernah disuatu ketika, peneroka-peneroka menghadapi pendapatan berbentuk "minus" pada hari "balance".
Apa juga pendapatan mereka ditolak untuk bayaran kepada PNF (iaitu kedai milik anak syarikat Felda), ditolak pula hutang baja, hutang jalan pertanian, bayaran khairat kematian, bayaran pembangunan, bayaran tanam semula, bayaran koperasi bahkan bayaran yuran ahli UMNO samada seseorang peneroka itu menjadi ahli UMNO atau pun tidak.
Pernah diperjuangkan supaya peneroka-peneroka Felda diberikan pendapatan minima RM500.00 sebulan setelah ditolak bayaran-bayaran kepada Felda, perjuangan itu mendapat sokongan meluas dikalangan peneroka-peneroka Felda pada waktu itu, namun, tidak pernah dihormati oleh Felda.
Alangkah sedihnya bahawa seseorang peneroka yang didapati bersalah oleh Mahkamah diatas apa-apa kesalahan akan diperintah keluar dari rancangan Felda, alangkah menyayat hati kepada isteri dan anak-anaknya yang tidak berdosa dan tidak bersalah itu juga dipaksa keluar dari rancangan Felda.
Tanah mereka di rancangan Felda diambil oleh Felda dan diserahkan kepada peneroka baru. Adakah undang-undang sebegini terpakai di kampong-kampong bahawa tanah orang kampong akan dirampas apabila ketua keluarga itu didapati bersalah oleh Mahkamah?
Inilah dilema yang dihadapi oleh peneroka-peneroka pada waktu itu. Dan diantara kesalahan yang dibawa ke mahkamah adalah peneroka-peneroka menjualkan kepada peraih luar getah sekerap dari hasil torehannya sendiri dari kebunnya sendiri di rancangan felda itu. Kegilaan manakah yang membolehkan seseorang manusia itu bersalah kerana menjualkan hak milik sendiri?
Mereka pada waktu itu terpaksa menjual sebahagian dari getah mereka keluar untuk mendapatkan se tin dua susu untuk anak-anak kecil mereka, untuk belanja persekolahan anak-anak mereka dan untuk minyak motor mereka. Kalau kesemua getah mereka dijual melalui Felda, sudah tentu mereka tidak akan dapat wang tunai untuk keperluan itu kerana pada hari balance pendapatan mereka adalah -RM10.00 atau -RM20.00.
Isu yang sangat menyayat hati adalah mengenai perwarisan. Terkadang kala, si peneroka (suami) meninggal dunia. Si isteri kahwin baru. Waris kepada simati adalah suami baru kepada isteri, bukan anak-anak si mati. Ini juga menjadi agenda perjuangan pada waktu itu. Dan amat pelik bahawa kumpulan UMNO didalam rancangan Felda pada waktu itu bersekongkol dengan Felda tidak bersetuju dengan hakmilik individu, tidak bersetuju dengan sistem perwarisan mengikut syarak.
Nasib peneroka-peneroka Felda berubah apabila harga sawit dan getah menjadi tinggi dan setabil. Mereka mulalah berpendapatan hingga RM7000.00 sebulan, dan ada diantara mereka yang lupa diri dan bermegah-megah, dan mereka gah menjadi ahli UMNO kononnya inilah perjuangan yang dibawakan oleh UMNO.
Tiba-tiba harga komoditi itu jatuh kembali. Banyaklah kereta-kereta baru yang mereka beli tiba-tiba ditarik oleh Finance Companies. Mereka mengeluh kembali.
Terdapat dua golongan peneroka, iaitu yang menanam sendiri dan yang menanam melalui anak syarikat Felda.
Yang menanam sendiri berpendapatan tinggi semasa harga komoditi itu naik, tetapi yang menanam melalui Felda tetap dengan pendapatan yang tidak sepadan kerana pendapatan mereka ditentukan oleh Felda.
Maka, ujudlah bayaran-bayaran bonus. Semasa PRU-12, peneroka-peneroka yang menanam melalui Felda diberikan bonus sebanyak RM5,000.00 menyebabkan mereka lupa diri dan mengundi BN walaupun wang bonus itu bukan wang BN atau UMNO, dibayar melalui kumpulan ces iaitu duit yang dikumpulkan melalui tabungan peneroka-peneroka sendiri (iaitu wang peneroka). Namun, yang menanam sendiri tidak diberikan bonus itu.
Baru-baru ini diperuntukkan lagi bonus sebanyak RM2000.00 tetapi hanya segelintir peneroka sahaja yang memperolehi bonus itu, maka ujudlah ketidakpuasan hati dikalangan peneroka-peneroka Felda.
Perkembangan-perkembangan didalam rancangan Felda sangat perlu diberikan tumpuan. Pengangguran dikalangan generasi kedua amat besar dan kemudahan-kemudahan latihan, kewangan dan perniagaan amat berkurangan dikalangan mereka.
Maka peranan kepada Parti Kedilan Rakyat didalam membentuk kor perjuangan di rancangan-rancangan Felda menjadi lebih nyata dan mendesak.
Inilah masa untuk berjuang dan bertindak untuk keadilan bagi masyarakat peneroka-peneroka Felda dan generasi mereka dan seruan Datuk Fauzi Abdul Rahman supaya parti memberikan tumpuan kepada perjuangan ini perlu disahut.

No comments: