PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Friday, January 23, 2009

Dari Blog 'The Spirit of Lubok Kawah'
Permit Polis untuk Ceramah, Perhimpunan dan Demonstrasi bertentangan dengan demokrasi!
Peraturan menghendakki sebarang aktiviti ceramah, perhimpunan atau demonstrasi memerlukan permit polis dibawah Akta Polis 1967 Seksyen 27(2) adalah tidak demokratik. Sewajarnya tidak ada peruntukan dibawah mana-mana Akta diperbuat untuk mengurangkan sekup Perlembagaan apatah lagi menghalang roh Perlembagaan khususnya dibidang Hak Asasi Manusia.
Hak untuk bepersatuan, berorganisasi, berkumpul, dan bersuara adalah hak yang dilindungi oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diperkukuhkan lagi dibawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Maka mana mungkin Undang-Undang yang tertinggi itu diperkecilkan sekupnya atau dihalang oleh mana-mana Akta kerana Akta-Akta itu diperbuat dibawah peruntukan Perlembagaan.
Akta Polis 1967 Sek. 27(2) jelas menyempitkan sekup yang diperuntukkan dibawah Perlembagaan yang terkandung didalam Artikel 10.
Seksyen 27 (1) memperuntukan bahawa "Mana-mana Pegawai Penjaga Daerah Polis atau mana-mana pegawai polis yang diberikan kuasa dengan sewajarnya secara bertulis olehnya boleh mengarahkan, dengan apa cara yang difikirkannya patut, penjalanan ditempat-tempat awam dalam Daerah Polis itu semua perhimpunan, perjumpaan dan perarakan, orang atau kenderaan dan boleh menetapkan jalan manakah dan atau waktu bilakah, perhimpunan atau perjumpaan itu boleh diadakan atau perarakan itu boleh lalu".
Seksyen 27 (2) meemperuntukkan bahawa: "Mana-mana orang yang berniat mengadakan atau mengumpulkan mana-mana perhimpunan atau perjumpaan atau membentuk suatu perarakan di mana-mana tempat awam yang tersebut dahulu, hendaklah sebelum mengadakan, mengumpulkan atau membentuk perhimpunan, perjumpaan atau perarakn itu, membuat kepada Pegawai Penjaga Daerah Polis dimana perhimpunan, perjumpaan atau perarakan itu akan diadakan suatu permohonan mendapatkan lesen bagi maksud itu, dan jika pegawai polis itu berpuas hati bahawa perhimpunan, perjumpaan atau perarakan itu tidak mungkin memudaratkan kepentingan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau membangkitkan kekacuan keamanan, dia hendaklah mengeluarkan suatu lesen dalam bentuk yang ditetapkan dengan menyatakan nama pemegang lesen itu dan menerangkan syarat-syarat atas mana perhimpunan , perjumpaan atau perarakan itu dibenarkan DENGAN SYARAT BAHAWA pegawai polis itu boleh pada bila-bila masa membatalkan lesen itu atas apa-apa alasan yang membolehkan lesen tidak dikeluarkan dibawah ini.
Apabila dipadankan dengan Artikel 10 Perlembagaan Malaysia, Akta Polis 1967 yang memperuntukkan sek.27(2) adalah lebih besar, kukuh dan kuat operasinya dari Perlembagaan Malaysia.
Sewajarnya, Negara yang mengamalkan demokrasi tidak mengenakan syarat-syarat yang ketat untuk aktiviti ceramah, perjumpaan, perhimpunan atau perarakan oleh mana-mana pertubuhan. Memadai dengan pertubuhan itu mendapatkan tempat yang sesuai dan memberitahu polis akan aktiviti itu supaya pihak polis dapat membantu untuk mengurangkan risiko keselamatan atau kesesakan lalu lintas.
Tetapi Akta Polis 1967 bertindak sebagai penghalang. Polis yang bertugas pula bertindak untuk menghalang pejumpaan itu hingga ke pringkat yang amat "ganas" dengan membelasah mereka yang hadir dengan alat-alat keras, memancutkan air asid kepada peserta-peserta dan melepaskan bomb-bomb gas kepada mereka.
Mereka melakukan itu atas alasan bahawa mereka ada kuasa dibawah Akta Polis dengan sedikit pun tidak merasakan bahawa mereka wajar akur kepada sistem demokrasi yang diamalkan apatah lagi kepada peruntukan Artikel 10 Perlembagaan.
Didalam Negara Demokrasi seperti England, perarakan 1 juta manusia dijalan raya tidak mendatangkan apa-apa mudarat kerana pihak polis sendiri yang mengetuai perarakan itu untuk menunjukkan arah perarakan itu. Perarakan itu menjadi aman dan setelah selesai tujuan perarakan itu, umpamanya menyerahkan Memorandum kepada Kementerian-Kementerian tertentu, perarakan itu bersurai dengan aman.
Amat berbeza dengan amalan di Malaysia. Perarakan besar-besaran akan menghadapi "keganasan" polis. Mereka akan disembur dengan gas dan air asid. Mereka akan dibelantan, ditangkap dan dipodot kedalam lori-lori polis, berasak-asak dengan risiko berat boleh kehilangan nyawa.
Akta Polis 1967 itu sudah tidak sesuai lagi dengan temadun hari ini. Sewajarnya Akta itu dipinda untuk menghormati demokrasi dan menghormati roh Perlembagaan. Polis tidak digunakan untuk menindas apatah lagi "mengganas" tetapi digunakan untuk menjadi teman masyarakat, untuk memudahkan dan bukan menyusahkan, dihormati dan bukan ditakuti.
Undang-undang seperti Akta Polis ini sangat mudah disalahgunakan. Satu episod didalam Pilihanraya Kecil Kuala Trengganu adalah contoh yang masih segar. Pakatan Rakyat memohon permit untuk berceramah di Bukit Besar, dan waktu ceramah adalah bermula jam 9.00 malam. Tetapi pada jam 3.00 petang pihak polis telah datang menemui penganjur dan meminta ditunjukkan permit ceramah untuk malam itu.
Pada 7.30 malam polis itu datang lagi sekali meminta permit ditunjukkan, dan beliau yang berpangkat Inspektor itu meminta kami menurunkan "speaker" pembesar suara kerana katanya permit yang diluluskan hanya menggunakan 1 speaker sahaja. Dan speaker itu hendaklah diletakkan didalam rumah.
Ceramah didalam rumah adalah ceramah ditempat tertutup bukan awam, dan ceramah ditempat tertutup tidak memerlukan permit polis, dan untuk polis meminta supaya ceramah itu dibuat dalam rumah dengan sendirinya bercanggah dengan keperluan permit.
Inspektor ini telah menalipon "seseorang" (mungkin pegawai lebih tinggi darinya), tiba-tiba dia berkata "bolehlah dijalankan diluar".
Tetapi keadaan gempar itu sudah berlaku dan dengan kehadiran yang begitu ramai pula anggota polis dipintu jalan masuk ke tempat ceramah menyebabkan orang ramai tidak selesa mahu menghadiri ceramah itu, maka berseleraklah mereka dicelah-celah rumah yang berdekatan.
Ini adalah contoh kecil kerana pihak polis merasakan mereka dilindungi oleh Akta Polis untuk melakukan apa saja!
Sedangkan ceramah-ceramah UMNO dipermudahkan pula oleh polis dan kehadiran polis semata-mata untuk memberikan bantuan supaya ceramah itu dapat dijalankan dengan sempurna.
Tak bolehkah standard yang sama ini diberikan oleh pihak polis kepada ceramah-ceramah pembangkang?

Suhaimi Said
Ketua Perangan
PKR Negeri Pahang.

No comments: