Hampir sebulan suntuk saya berkunjung ke perkampongan Orang Asli didalam kawasan Dun Jenderak. Seperti yang saya janjikan keatas diri saya sendiri bahawa saya akan berada di kampong-kampong Orang Asli disini pada jam 4.00 petang setiap hari didalam bulan Ramadhan tahun ini.
Sebelum itu saya kunjungi kampong-kampong Orang Melayu termasuk rancangan Felda (Jenderak Selatan dan Jenderak Utara).
Disesetengah kampong terdapat perubahan yang ketara manakala sesetengah lagi tidak ada apa-apa perubahan walaupun dengan keacapan lawatan.
Saya pernah nyatakan "Buat kerja belum tahu menang, tak buat kerja sudah tentu kalah." Kerja ini memang susah, dan kegelapan ini belum berkesudahan; namun, saya dan rakan-rakan di Kuala Krau akan meneruskan kerja-kerja moga-moga akan lahir kemudahan setelah melalui kepayahan.
Begitu juga di perkampongan Orang Asli. Saya dapati peruahan yan nyata berlaku di beberapa buah kampong Orang Asli.
Parti Keadilan Rakyat tidak pernah mendapat sokongan di Kg Paya Mendoi, kehadiran setiap kali perjumpaan di kampong itu hanya sekadar dihadiri oleh 8 hingga 10 orang dewasa sahaja.
Namun, perjumpaan didalam bulan puasa baru-baru ini cukup menggalakkan, lebih 30 orang dewasa hadir dan lebih 50 kanak-kanak turut hadir. Bergema hebatlah di kampong itu dengan laungan Reformasi. Untuk sebuah kampong yang kecil, kehadiran seramai itu sudah melebihi tiga-suku dari penduduk kampong.
Di Kg Pelong, kehadirannya menghampiri 100 orang. Ini tidak pernah berlaku. Begitu juga di Kg Galung, kehadiran yang padat dari yang dewasa hingga kepada kanak-kanak. Sebelum ini kehadiran di Kg Galung tak pernah melebihi 15 orang.
Kg Pian dan Kg Pasu adalah secara tradisinya menyaksikan kehadiran yang ramai, dan begitulah berlaku semasa kunjungan kami di bulan puasa ini.
Kg Seboi adalah kampong yang kecil namun lebih dari 30 orang hadir di perjumpaan yang dianjurkan.
Kehadiran di Kg Beredut adalah diluar dugaan. Bukan saja rumah Akau penuh sesak dengan kehadiran, diluar halaman pun penuh dengan kehadiran. Di Kg Rekoh tidak menunjukkan apa-apa perubahan, kehadiran sekadar tidak melebihi 15 orang.
Di semua perkampongan Orang Asli ini, isu utama yang dibawakan adalah hakmilik tanah secara bergeran. Mereka menuntut hakmilik tanah. Mereka timbulkan isu kawasan tanah yang dikatakan Rezab Orang Asli yang menjadi semakin sempit hasil pencerobohan masyarakat dari luar kampong mereka, hutan sekitar kampong mereka telah ditebang untuk dikeluarkan balak, tanah rezab mereka tidak digazet dan diluluskan permohonan orang luar untuk dimiliki.
Pengangguran dikalangan masyarakat Orang Asli amat meluas dan anak-anak muda mereka lepasan dari sekolah tidak mempunyai pekerjaan, manakala sumber pekerjaan adalah terletak di bandar-bandar yang sangat berjauhan dari tempat perkampongan mereka.
Sistem pertanian yang diamalkan adalah dalam bentuk tradisi yang langsung tidak ekonomik. Kawasan-kawasan hutan iaitu tempat mencari rezeki sudah menjadi semakin sempit. Mereka terlibat dengan penanaman padi huma atau padi bukit yang tidak ekonomik. Langsung tidak ada usaha dari kerajaan untuk mengujudkan sumber pendapatan bagi mereka.
Mereka bukan tidak boleh bercucuk tanam, bukan tidak boleh memelihara ayam, lembu dan kambing, bukan tidak boleh memelihara ikan keli, talapia atau patin, bukan tidak boleh memelihara katak, bukan tidak boleh menjalankan usaha ternakan cacing atau lintah, yang usaha-usaha itu boleh mendatangkan pendapatan; tetapi bagaimana mereka nak mulakan.
Tidak ada kursus untuk mereka mencebur dibidang itu; tidak ada kemudahan untuk mereka menjalankan perusahaan itu; tidak ada bantuan untuk memulakan pekerjaan itu; tidak ada galakan untuk mereka merubah kehidupan mereka. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli hanya asyik menumpukan dibidang pentadbiran mereka dan kebajikan Orang Asli dilakukan semacam melepaskan batuk ditangga. Seperti kata Orang Asli, dari tahun ke tahun, bajet untuk Orang Asli menjadi semakin besar, tapi tidak sampai kepada sasarannya!
Orang Asli disini sangat menghargai tindakan Kerajaan Negeri Perak yang telah pun meluluskan hak pemilikan tanah kepada 48000 keluarga Orang Asli di Perak; dan Orang Asli disini memandang kehadapan supaya Pakatan Rakyat dapat memerintah Pahang agar tindakan positif dapat diusahakan untuk Orang Asli.
Saya menghabiskan banyak masa dengan Orang Asli kerana bagi saya golongan itulah golongan yang paling miskin dan tertindas di Negara ini. Dimana Hak Keistimewaan Rakyat Bumiputra. Tolonglah lihat kepada penghidupan mereka, tolonglah lihat kepada kediaman mereka, tolonglah lihat kepada kemudahan persekolahan mereka, tolonglah lihat kepada kemudahan kesihatan mereka, tolonglah lihat kepada hak mereka, tolonglah angkatkan taraf kehidupan Orang Asli, mereka terbiar dan terkebelakang 50 tahun dari arus pembanunan Negara.
Saya tidak menang di dalam Pilihanraya yang lepas dan yang akan datang - tidak mengapa; saya mahu lihat Orang Asli mendapat pembelaan sewajarnya.
Saya menyeru parti saya, Parti Keadilan Rakyat dan saya menyeru pimpinan Parti Keadilan Rakyat disemua peringkat -- marilah kita turun padang dan memberikan khidmat perjuangan kita moga-moga kehidupan Orang Asli terbela.
Saya sudah pandai sikit-sikit kini berbahasa Orang Asli kaum Jahud, kerana apa? Kerana saya identify kan aspirasi mereka kedalam alunan perjuangan saya.
Bek meh ihek berjuang sama-sama untuk kejayaan Orang Asli, Reformasi!
No comments:
Post a Comment