PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM
Showing posts with label Posted by " KE ARAH PAHANG YANG LEBIH GEMILANG". Show all posts
Showing posts with label Posted by " KE ARAH PAHANG YANG LEBIH GEMILANG". Show all posts

Friday, February 19, 2010

LAPORAN MESYUARAT JAWATANKUASA PKR CABANG BERA BIL: 02 / 2010 PADA 14 FEBRUARI 2010 @ AHAD






BANDAR BERA 17 FEBRUARI 2010:

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera telah memutuskan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) bagi tahun 2009 ialah pada 20 Mac 2010 @ Sabtu bermula jam 10.00 pagi yang dijangka di langsungkan di Pejabat PKR Cabang Bera, Bandar Bera, Pahang.

Keputusan ini diputuskan ketika mesyuarat Jawatankuasa Cabang PKR Bera kali kedua (Bil: 02/2010) yang telah diadakan pada 14 Februari 2010 lalu.

Seramai 17 orang AJK cabang Bera telah menghadiri mesyuarat tersebut. Selain membincangkan tentang tarikh MATC tersebut, mesyuarat tersebut juga turut memberitahu seramai 25 orang peserta Felda dari daerah Bera ini bersetuju untuk hadir ke Konvensyen Felda yang dijangka diadakan di Temin, Jerantut pada 20 Februari 2010 @ sabtu ini.

Mesyuarat juga telah memutuskan bahawa Takwim rasmi PKR Bera 2010 yang mengandungi perancangan aktiviti PKR Bera disepanjang tahun 2010 ini perlu diedarkan ke semua ranting bagi tujuan makluman kepada ahli di setiap ranting tersebut.

Mesyuarat yang di pengerusikan oleh Pemangku Ketua Cabang Bera, Tn Hj Abas Awang ini turut menetapkan beberapa tarikh penting seperti mesyuarat bersama Pakatan Rakyat Bera bersama PAS dan DAP disamping juga beberapa perkara yang lain.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam ini di tangguhkan pada kira-kira jam 05.30 petang.

Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU 2010 DARIPADA PKR CABANG BERA

BANDAR BERA 31 DISEMBER 2009 / KHAMIS:

Kehadiran 01 Januari 2010 esok diharapkan membawa sinar yang lebih gemilang kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Bera ini. Sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat umumnya dan PKR sendiri khususnya semakin mendapat sambutan rakyat. Di Bera sendiri. di sepanjang tahun 2009 lalu berbagai usaha telah kita lakukan bagi ‘menjenamakan’ semula serta memperkenalkan PKR di Bera ini khususnya sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke 12 lalu.

Kita yakin PKR boleh diterima rakyat khususnya kepada mereka yang telah sekian lama di tindas atau di anak tirikan oleh Umno/BN di Bera ini.

Adalah menjadi harapan kita di tahun 2010 nanti, aktivit yang bakal dijalankan dapat disertai bersama oleh penduduk-penduduk di Bera ini khususnya kepada mereka yang bersimpati kepada perjuangan kita selama ini.

Pimpinan PKR Cabang Bera menyeru kepada semua khususnya kepada penduduk-penduduk di Bera ini terutamanya kepada penyokong PKR yang masih belum mendaftarkan diri sebagai ahli agar menyegerakan dirinya untuk menjadi ahli yang sah PKR sebagai sumbangan yang tidak ternilai kepada parti bagi menjayakan hasrat kita menawan Bera khususnya di PRU 13 nanti.

Sebagai akhir, sekali lagi pimpinan PKR Bera mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010, Selamat Tinggal 2009 dan Selamat Datang 2010!


DARIPADA;
JAWATANKUASA PIMPINAN PKR
CABANG BERA
SESI 2007-2010.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PADA 01 FEBRUARI - 15 MAC 2010

Menurut sumber Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), tempoh Mesyuarat Agung Tahunan Cabang-Cabang PKR di seluruh negara akan bermula dari 01 Februari 2010 sehingga 15 Mac 2010 nanti.

Ini bermakna setiap cabang parti hendaklah mengadakan mesyuarat cabang didalam tempoh tersebut. Manakala Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan diadakan pada 28, 29 dan 30 Mei 2010, namun begitu tempat dimana perhmpunan itu bakal diadakan masih belum ditetapkan.

Tuesday, December 29, 2009

KENYATAAN AKHBAR P.SARAWANAN, TIMBALAN KETUA AMK BERA

KENYATAAN JAWATANKUASA BERTINDAK SKJT LADANG MENTERI, SDR P.SARAWANAN YANG JUGA TIMBALAN KETUA AMK BERA MERANGKAP EXCO ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA DI AKHBAR SINAR HARIAN BERA HARI INI 29/12/2009

ISU SJKT : SERAH MEMO KEPADA PM

BERA – Walaupun isu projek pembinaan Bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Menteri dan SJKT Ladang Kemayan sudah dijelaskan pihak Jabatan Pelajaran Negeri Pahang dan MIC Bahagian Bera, namun terdapat pihak yang mempertikaikannya.

Isu murid India menumpang bangunan sekolah di daerah ini telah diperjuangkan golongan berkenaan sejak hampir 30 tahun lalu, yang diwakili oleh MIC Bahagian Bera ketika itu.

Malah, sehingga ini, gerakan terbabit masih memperjuangkan perkara sama, sehinggalah kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan besar bagi membina bangunan baru bagi kedua-dua sekolah itu.

Perkara yang sama juga turut dijelaskan Jabatan Pelajaran Negeri awal Disember lalu dalam siaran akhbar terbitan Sinar Harian, yang mengesahkan Kementerian Pelajaran Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak RM1,476 juta bagi membina SJKT Ladang Menteri.

Berdasarkan laporan terbabit, projek itu mengandungi dua blok bangunan membabitkan enam bilik darjah dan blok pentadbiran.

Semalam, Jawatankuasa Bertindak SKJT Ladang Menteri mewakili ibu bapa dan penjaga murid sekolah ini mahu projek pembinaan sekolah baru itu disegerakan tanpa ada sebarang faktor terbengkalai.

Pengerusi, P Sarawanan berkata, suara hati masyarakat India di daerah ini termasuk komuniti luar kawasan ini menandatangani satu memorandum mengenai masalah ini.

Menurutnya, selama lebih 30 tahun, murid India di daerah ini terpaksa menumpang di sekolah lain untuk menimba ilmu.

“Banyak masalah yang timbul berikutan masalah ini, dan kita berharap masalah kelewatan pembinaan sekolah ini dapat diatasi dengan lebih bijak dan progresif daripada semua pihak.

“Murid kaum India terlalu banyak ketinggalan daripada asepk akademik dan ko-kurikulum, berikutan perkongsian bilik darjah dan masa pembelajaran waktu petang yang kurang sesuai, terutama bagi murid Tahap Satu,”
katanya kepada Sinar Harian.

Sarawanan tidak menafikan projek pembinaan bangunan sekolah telah pun dimulakan sejak 3 November lalu, tetapi tiada sebarang perkembangan untuk Projek SJKT Ladang Kemayan.

Katanya, walaupun kerja-kerja meletakkan batu asas itu telah pun dijalankan dua tahun lalu, termasuk papan tanda telah dinaikkan, tetapi kawasan seluas enam ekar itu kini menjadi semak-samun.

Menurut beliau, tindakan jawatankuasa bukanlah mahu mengeruhkan keadaan, tetapi mahu masalah ini diselesaikan dengan cara lebih baik dan segera serta tidak lagi ditangguhkan.

Sinar Harian difahamkan, sebelum ini juga, peruntukan RM250,000 telah disalurkan untuk permulaan pembinaan bangunan baru SJKT Ladang Kemayan, termasuk derma orang ramai berjumlah RM50,000.

Menurut Sarawanan, dengan jumlah RM300,000 itu sepatutnya banyak pembangunan yang telah dimulakan dan tidak sepatutnya masalah ekonomi mengganggu kerja-kerja pembinaan terbabit.

Beliau berkata, sebuah persatuan akan menghantar surat kepada SPRM untuk menyiasat perkara ini, supaya nasib masyarakat India di Bera mendapat pembelaan sewajarnya.

Memorandum masalah pembinaan sekolah itu diserahkan kepada 17 orang individu, termasuk Perdana Menteri, Menteri Pelajaran Malaysia, Menteri Besar Pahang dan Menteri Kerja Raya.

Hadir sama, Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-pengguna Malaysia, Varatharajoo Murugan.