PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Saturday, March 17, 2012

Ceramah PAS di Pekan disambut gangguan dan provokasi




(Orang ramai yang memenuhi program ceramah PAS di Pekan)

PEKAN, 17 Mac: Provokasi Umno dengan mengadakan ceramah bersebelahan ceramah PAS dan perbuatan memekik-melolong tidak sepatutnya berlaku di kawasan yang diketuai Presiden Umno yang juga Perdana Menteri jika penyokong parti itu berpolitik dengan matang.

Malangnya setelah pelbagai slogan dilaungkan seperti transformasi, wasatiyah dan rakyat didahulukan cara berpolitik kuno juga menjadi pilihan konco-konco Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Serentak dengan itu, PAS Pahang melahirkan rasa kesal, kecewa dan tidak puas hati yang tidak terhingga dengan kejadian gangguan ceramah di Sungai Miang di sini kelmarin yang melibatkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut berceramah ialah bekas Adun (BN) Pulau Manis yang juga bekas Ketua Penerangan Umno Pekan Datuk Mohd Ariff Sabri, bekas bloger Umno Aspan Alias dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan Ustaz Abu Kasim Manaf.

(Antara yang membuat kacau di majlis ceramah PAS)

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad yang turut berada di pentas ceramah berkata, bukan sahaja ceramah Umno dibuat saat akhir dalam jarak tidak sampai 100 meter dari lokasi ceramah PAS, pembesar suara pula dihalakan dengan kuat walaupun ceramah mereka tidak ramai yang hadir.

“Malah sekumpulan pemuda Umno yang diketuai timbalan ketua pemudanya sendiri memekik dan melolong macam orang gila dan disampuk hantu mengganggu ceramah Mat Sabu.

“Lebih mengecewakan kami, pihak polis yang sepatutnya bertindak menjaga keamanan hanya melihat aksi provokasi melampau itu seolah-olah mahu melihat pergaduhan sesama Melayu pada malam itu,” ujarnya kesal.

Tambah Suhaimi, pihak keselamatan sepatutnya bertindak profesional dan mesti berani bertindak demi keamanan, bukan dilihat "takut" apabila berhadapan dengan samseng Umno.

Serentak dengan itu, Suhaimi berkata PAS Pahang akan menghantar surat bantahan mengenai perangai Umno dan pasukan polis Pekan kepada Perdana Menteri dan menteri berkaitan dalam masa terdekat ini.

(Ceramah Umno yang kosong tetapi pembesar suara dipasang secara maksima)

“PAS Pahang juga memuji penyokong Pakatan Rakyat dan Unit Amal yang dilihat tenang berhadapan dengan provokasi itu dan mujurlah tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“PAS beranggapan gangguan ini hasil daripada ketakutan Umno yang sarat dengan masalah dan rasuah sehingga amat takut apabila mahu dibuat pendedahan walaupun mereka sudah menguasai media cetak dan elektronik.

“Jadi gangguan dan provokasi melampau ini berlaku kerana Umno Pekan dilihat semakin terdesak untuk mempertahankan kuasa sebab kalau Umno cukup kuat di Pekan apa perlunya ceramah PAS diganggu,” jelasnya.

sementara itu seorang ahli PAS Pekan yang dikenali sebagai Rahim, berpendapat sudah sampai masanya pimpinan tertinggi PAS Pahang bertemu dengan pemimpin Umno negeri ini bagi membincangkan supaya tidak akan terjadi lagi gangguan yang sedemikian rupa kerana boleh mendatangkan kesan yang amat negatif kepada demokrasi dan keharmonian penduduk setempat.

Tambahnya, cukuplah Umno Melaka yang suka mengganggu ceramah PAS dan kejelekan itu tidak sepatutnya berlaku di negeri ini dengan berpolitik secara matang apatah lagi di kawasan Perdana Menteri.

Bulan lalu ceramah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Felda Lepar, Kuantan kecoh setelah diserbu oleh samseng Umno tempatan sehingga hampir mencederakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Sebelum itu beberapa ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pahang turut diganggu oleh penceramah Umno Umi Hafilda Ali.

No comments: