Didalam minggu ini saya telah menghadiri 2 majlis-majlis dialog anjuran orang-orang UMNO didalam isu-isu yang lazimnya mereka samasekali tidak mahu menjemput pimpinan Pakatan.
Pada awal tahun lalu orang-orang UMNO dari Felda Kota Gelanggi 1 telah mengundang saya kedalam satu Majlis Dialog bersama ahli-ahli UMNO diatas isu ketidakpuasan hati mereka kerana mereka telah dikenakan hutang yang begitu tinggi yang tidak mereka jangkakan.
Tetapi 2 malam selepas itu Wakil Rakyat kawasan itu menjemput ahli-ahli UMNO itu dan mereka telah dimarahi kerana memanggil saya sebagai seorang peguam dari Pakatan Rakyat. Didalam Majlis bersama Wakil Rakyat kawasan itu, mereka dinasihatkan supaya melantik peguam-peguam dari UMNO. Tetapi apabila peneroka-peneroka itu menyatakan bahawa peguam-peguam UMNO tidak sanggup turun ke rancangan Felda itu melainkan dibayar dengan bayaran yang tinggi sebelum menghadirkan diri.
Wakil Rakyat itu berjanji untuk menolong peneroka-peneroka ahli-ahli UMNO itu dan mereka diminta menubuhkan satu Jawatankuasa untuk berunding dengan pimpinan Felda peringkat Wilayah. Kebetulan pula Pengarah Wilayah turut hadir di Majlis tersebut. Pengarah Wilayah menyatakan bahawa cara rundingan adalah cara yang terbaik, dan beliau yakin bahawa hutang yang ditanggung oleh peneroka-peneroka itu tidaklah begitu tinggi seperti yang mereka diberitahu.
Pada waktu itu peneroka-peneroka mendapat makluman bahawa hutang mereka sudah menjangkau RM80,000.00 dan mungkin naik lagi. Pengarah Wilayah menyatakan bahawa kemungkin besar hutang mereka hanyalah sekadar RM30,000.00 sahaja. Peneroka-peneroka bersetuju menerima jika hutang mereka hanyalah sekadar RM30,000.00 sahaja.
Maka, dengan hati yang besar, setelah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak pada malam itu, mereka pergi berkunjung ke Felda Wilayah pada keesukan harinya. Mereka amat terkilan apabila mereka berada di Pejabat Wilayah mereka diberitahu bahawa memang hutang mereka menjangkau RM80,000.00 dan bukan RM30,000.00.
Wakil mereka sekali lagi menghubungi saya supaya dapat mewakili mereka, tetapi sebahagian besar daripada peneroka-peneroka itu berasa amat malu kerana meninggalkan saya di ketika mereka mendapat jaminan pertolongan dari Wakil Rakyat UMNO. Mereka kini sanggup hadapi walau pun tidak terbayar menanggung hutang yang tinggi, hanya sekadar semangat mereka didalam UMNO sudah berkurangan.
3 malam yang lepas saya dipanggil untuk berdialog dengan sekumpulan ahli-ahli UMNO di Felda Palong 15. Saya tidak tahu bahawa mereka itu ahli-ahli UMNO, saya pada mulanya menjangkakan bahawa mereka itu adalah ahli-ahli PKR dan PAS yang mahu berdialog dengan saya selaku Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat.
Apabila saya sampai ke sebuah Dewan di Felda Palong 15, saya tengok Dewan itu sendiri dipenuhi dengan Bendera UMNO/BN dengan dihiasi dengan gambar Najib Tun Razak. Saya bertanya kepada mereka yang berada di luar Dewan itu dengan persoalan yang agak pelik. "Betul ke saya dipanggil berdialog di sini?" tanya saya, dan mereka menjawab, "Betul tuan Haji!" Saya tanya lagi, "Siapa yang hadir memenuhi Dewan ni?" dan mereka menjawab peneroka-peneroka Felda Palong 15, "kami ahli-ahli UMNO," tambah mereka.
Saya memakai baju yang ada lambang Pakatan Rakyat iaitu lambang PKR, PAS dan DAP. Saya lihat termuncung-muncung mulut wanita-wanita yang duduk di barisan depan seolah-olah menunjukkan baju yang saya pakai itu.
Ini bukanlah kali pertama saya menghadiri majlis dialog yang dihadiri oleh orang-orang UMNO, tetapi di waktu-waktu yang lain itu saya diberitahu terlebih awal, dan yang menganjurkan majlis adalah pimpinan PKR atau PAS setempat. Di Palong 15 ini, majlis itu dianjurkan oleh orang-orang UMNO sendiri.
Mereka tidak puas hati dengan pelbagai isu yang mereka merasakan bahawa isu-isu itu tidak akan dapat diatasi oleh pimpinan UMNO dan tidak yakin peguam-peguam dari UMNO dapat membela mereka. Masalah yang mereka bawa adalah perkara yang boleh membawa kepada penyelesaiannya di Mahkamah melainkan Felda dan JKKR dapat menarik balik keputusan-keputusan yang telah mereka buat yang melibatkan peneroka-peneroka Felda.
Majlis itu berakhir jam 12.00 tengah malam dan peneroka-peneroka tersebut menyatakan bahawa mereka akan melantik kami, peguam-peguam dari PR bagi mewakili mereka.
Di Felda Palong 4, 5, 6 dan Felda Palong 9 saya pernah berdialog dengan peneroka-peneroka yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO juga tetapi penganjurnya adalah pimpinan PKR setempat. Tidak seperti di Felda Palong 15.
Pada hari ini sekali lagi saya dipanggil untuk "berdialog" atau lebih tepat "bersembang-sembang" dalam Majlis Sembang petang di Felda Triang 1 di rumah AJK UMNO Cawangan, dan isu yang dibawa oleh mereka adalah berhubungkait dengan isu "Pay Sheet" yang mereka telah lama memohon supaya dibuat secara individu untuk membolehkan mereka menjualkan buah-buah sawit mereka kepada kilang Felda dan bukan menumpang pemegang-pemegang mereka yang memiliki akaun.
Mereka juga membawakan isu bayaran insentif tanam semula dari MPOB yang tidak dibayar kepada mereka. Juga mereka menimbulkan isu peratusan perahan KPG kerana mereka hanya diberikan peratusan didalam lingkungan 18% - 19% sahaja.
Diakhir sembang itu, mereka menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak untuk mengadakan Majlis Dialog yang bakal dihadiri oleh kesemua peneroka-peneroka yang menghantar buah sawit mereka ke kilang yang sama, dan persetujuan akan mereka ambil untuk menuntut gantirugi daripada Felda diatas pendapatan mereka yang telah dimanipulasikan oleh Felda.
Mereka akan mengumpulkan tidak kurang dari 500 orang untuk memulakan proses tuntutan tersebut.
Mereka adalah ahli-ahli UMNO, dan mereka tidak lagi takut untuk bertindak memperjuangkan hak dan kepentingan mereka sendiri selaku peneroka-peneroka Felda, dan mereka adalah ahli-ahli UMNO dan mereka tidak gentar lagi!
No comments:
Post a Comment