Semua bapa diminta laksana transformasi
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta golongan bapa supaya melakukan transformasi peranan masing-masing dalam membentuk sebuah keluarga bagi melahir generasi rakyat Malaysia yang terbaik pada masa depan.
Dalam coretan ringkasnya di lawan web sosial facebook.com, beliau berkata adalah diharapkan semua bapa dapat terus membina generasi negara pada masa depan dan membekalkan mereka dengan segala kemahiran diperlukan untuk menjadi ibu bapa dan rakyat Malaysia yang lebih cemerlang. “Hari ini, semakin ramai golongan bapa yang mengimbangkan peranan profesional dan keibubapaan mereka. Bagi saya sendiri, saya merasakan sudah melakukan yang terbaik untuk anak-anak saya. “Kepada semua bapa, teruskan berusaha membina masa depan keluarga kita dan membekalkan mereka dengan segala kemahiran diperlukan dalam melahirkan ibu bapa dan rakyat Malaysia yang lebih gemilang pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, Najib turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi najib@1malaysia.com.my kepada seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Bapa, dengan harapan supaya rakyat negara ini bersama-sama menyambut Hari Bapa bersama ayahanda masing-masing.
“Marilah kita menyambut Hari Bapa bersama ayahanda tersayang. Ikhlas dari Najib Razak dan keluarga,” menurut teks SMS berkenaan.
Sumber : Berita Harian, 19/06/2011
Wahai Najib dan Para Bapa! Selayaknya Coretan Fb Kamu Adalah: “Pelihara Diri Kamu dan Keluarga Kamu dari Api Neraka”.
Sewajarnya Najib mengingatkan dirinya dan juga kepada para bapa yang lain agar menjaga diri dan keluarga masing-masing dari api neraka dengan memastikan setiap pihak menunaikan kewajiban masing-masing terhadap perintah dan larangan Allah SWT. Ini selaras dengan firman Allah SWT: “
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. [TMQ at-Tahriim (66) : 6].
Dengan suasana kehidupan yang didominasi oleh pemikiran sekular dan cara hidup kapitalisme, hasil dari pemerintahan sekular yang diterajui dan yang diteruskan oleh Najib dari pemerintahan yang sebelumnya, maka pada hari ini kita dapat melihat bagaimana terdapat ramai para bapa yang membiarkan dan mengambil mudah hal anak-anak mereka. Ini terutama yang berkaitan dengan persoalan halal dan haram. Para bapa yang menjadi ketua bagi sesebuah unit keluarga ini sering dilihat membiarkan anak-anak yang di bawah tanggungjawab mereka melanggar dan mengabaikan hukum syara’. Ketika ini kita dapat melihat bagaimana kehidupan golongan remaja yang begitu bebas tanpa batas dalam pergaulan sehari-harian mereka. Sebagai contoh, perkara yang paling ketara ialah bagaimana begitu ramai para bapa yang tidak memperdulikan keluarga mereka berhubung dengan persoalan hukum-hakam syara’. Lihatlah realiti masyarakat muslim hari ini dalam soal aurat dan pergaulan anak-anak remaja mereka. Apakah Najib peka dengan soal ini? Faktanya, budaya hidup Barat yang bersifat kebinatangan telah melatar belakangi kehidupan keluarga muslim hari ini. Keadaan ini berlaku akibat dari pengabaian yang dilakukan oleh ketua unit sesebuah keluarga (si bapa) dan keadaan ini diperparah lagi apabila negara sebagai sebuah institusi yang terpenting dalam pembentukan masyarakat telah membuang syariah di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Di sini sekali lagi Najib bertanggungjawab sepenuhnya. Lihat: Membentuk Sebuah Keluarga Islam: www.mykhilafah.com/fokus-muslimah/1216
No comments:
Post a Comment