PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Thursday, April 15, 2010

PARLIMEN SIBU : DAP WAKILI PAKATAN RAKYAT.





Pakatan Rakyat akan diwakili oleh calon DAP pada pilihan raya kecil kawasan parlimen Sibu yang bakal diadakan, kata ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, satu mesyuarat khas akan diadakan dengan barisan pemimpin DAP kawasan tersebut pada 18 April untuk membincangkan rangka kerjasama dengan PAS dan PKR bagi memenangi kerusi berkenaan.

"Kita akan letakkan hanya satu calon daripada DAP untuk tunjukkan muafakat kita," katanya kepada pemberita di pejabat ketua pembangkang di parlimen hari ini.

Beliau juga menepis tanggapan bahawa berlakunya 'pertengkaran' di kalangan pemimpin DAP dan PKR di Sarawak.

"Tidak ada pertengkaran, mereka hanya bertukar pandangan secara secara kekeluargaan. Cuma bezanya bertukar pandangan itu secara terbuka di media. Kita sudah nasihatkan untuk bertukar pandangan dalam mesyuarat.

"Saya mahu yakinkan rakan-rakan kita, dalam kes ini DAP di Sarawak akan tegas, semua pemimpin yang mewakili PKR, saya percaya dalam semangat persahabatan kita juga, akan sokong calon DAP.

"Tidak ada kompromi dalam memastikan disiplin yang efektif untuk meamastikan kemenangan selesa untuk calon kita," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

Tambahnya lagi, Pakatan bagaimanapun belum menetapkan calon untuk kerusi berkenaan memandangkan tarikh pemilihan itu juga masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mungkin (SPR) akan tunda (pilihan raya) sehingga dua bulan," katanya.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian Datuk Robert Lau yang juga adalah timbalan menteri pengangkutan pada 9 April lalu, akibat barah.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dijadualkan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil dan juga penamaan calon.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

No comments: