Semalam saya kesempatan menalipon Datuk Chua Jui Meng, mengucapkan tahniah kepadanya kerana menyertai keangotaan Parti Keadilan Rakyat.
Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan mengingatkan kembali nostalgia bersama semasa kami sama-sama menuntut di London dahulu.
Pada waktu kami mempunyai agenda perjuangan bersama bagi memperkukuhkan persatuan pelajar yang sama-sama kami sertai iaitu Malaysia and Singapore Students' Law Society. Beliau adalah Presiden kepada Persatuan itu manakala saya adalah Setiausahanya.
Persatuan itu beroperasi di Malaysia Hall dialamat 46 Bryanston Square, tetapi akhirnya Persatuan itu terpaksa beroperasi di luar Malaysia Hall kerana kami pelajar undang-undang tidak bersetuju dipecahkan Persatuan kami menjadi dua entiti iaitu satu untuk Malaysia dan satu lagi untuk Singapura.
Pergabungan persatuan pelajar diantara Malaysia dan Singapura pada masa itu telah terjalin rapat.
Kami mempunyai MASS Forum iaitu Malaysia and Singapore Students' Forum, ada LUMSS iaitu London Union of Malaysian and Singapre Students, kami juga ada Persatuan Pelajar Malaysia dan Singapore di United Kingdom dan Eire.
Boleh dikatakan lebih dari 70% pelajar-pelajar dari Malaysia dan Singapura memilih jalan untuk bergabung diantara kedua-dua negara itu.
Tetapi apabila persatuan-persatuan pelajar itu diarahkan untuk berpisah, maka kami memilih untuk kekal bersama dan oleh kerana itu kedua-dua kerajaan iaitu Malaysia dan Singapura menolak kami dan kami terpaksalah menjalankan aktiviti-aktiviti kami dari luar Malaysia Hall dan dari luar Pusat Pelajar Singapura. Kami bergerak di universiti-universiti.
Pergerakan dari luar pusat pentadbiran pelajar Malaysia dan Singapura tidak menghalang kami dari terus bergerak aktif kerana di Britain tidak ada akta menghalang pelajar-pelajar (tidak ada AUKU seperti di Malaysia), bahkan memudahkan pergrakan pelajar kerana di universiti-universitilah tempat pelajar-pelajar berkumpul.
Pergerakan pelajar kami itu tidak mengambil pendekatan politik tetapi gerakan pelajar yang sihat demi untuk pelajar-pelajar Malaysia dan Singapura tanpa mengira pandangan politik.
Datuk Chua Jui Meng kembali ke Tanah Air dan menyertai MCA manakala saya kembali ke Tanah Air dan bertugas sebagai Magistrate dan kemudiannya Pegawai Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Rakan-rakan kami yang aktif didalam gerakan pelajar pada waktu itu kembali ke Tanah Air dengan bergiat didalam kerjaya masing-masing. Wong Weng Kwai menjadi peguam, Gurdial Singh mula-mula menjadi peguam tetapi akhirnya menjadi Pensyarah di Universiti, Chua Jui Leng menjadi peguam, Dr Amir Dastan kembali menjadi seorang pensyarah universiti tetapi kemudiannya menjadi kontraktor dibidang pembekalan perubatan.
Dari segi politik kami berbeza-beza pendapat tetapi kesemua kami yakin dengan perjuangan hak asasi manusia samada diantara kami itu berada dipihak kerajaan atau di pihak pembangkang.
Maka apabila Datuk Chua Jui Meng menyertai Parti Keadilan Rakyat, saya adalah diantara yang paling awal mengucapkan terima kasih dan tahniah kepadanya. Nostalgia kami semasa di London akhirnya menggabungkan kami semula kedalam satu perjuangan membela nasib rakyat untuk kebajikan, keadilan dan demokrasi melalui Parti Keadilan Rakyat. Tahniah Datuk.
No comments:
Post a Comment