PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Wednesday, July 15, 2009

Hikayat Sang Maharaja Dermawan

Maka gegakgempitalah tepukan dan berhamburlah puji-pujian yang melangit apabila Sang Maharaja menitahkan dianugerahkan secebis dari khazanah kepada hamba rakyat.Maka para sida-sida yang telah dikembirikan pun terus mencanangkan betapa Sang Maharaja begitu bermurahhati kepada rakyat sehingga begitu sekali berkorban sempena tiga purnama naik takhta.

"Lihatlah pengorbanan Sang Maharaja demi untuk rakyat.Lihatlah betapa simpati dan caknanya Sang Maharaja kepada rakyat sehingga kekayaan di limpahkan kepada rakyat",demikianlah tutur Sida yang menjaga hal ehwal tetuang udara dan peti gambar yang dulunya pernah membakar jambatan.

"Limpah kurnia Sang Maharaja kepada rakyat adalah bukti betapa rakyat didahulukan,"ujar Sida yang setiap kali bercakap bersemburan air liur kerana kontot lidahnya.Sida ini menjaga hal ehwal keselamatan negeri adanya.

"Sahaya begitu kagum kepada ke-pemerintah-an Sang Maharaja kerana memang bijaksana lagi bijaksini.Tiada duanya di alam ini.Sang Maharajalah pemimpin ulung bangsa yang mementingkan kebajikan rakyat,"ucap mantan Sida dengan tersengih-sengih sambil memandang kamera.Mantan Sida ini baru-baru ini dikatakan membina mahligai di kayangan dengan ongkos berlaksa-laksa yang melampaui gajinya.

Begitulah antara komen para Sida yang sempat di catatkan.Manakala para tukang canang ampusini ampusana pun apatah lagi bergerobak ditulis diatas daun lontar diedar kepada seluruh rakyat jelata betapa kasih dan sayangnya Sang Maharaja kepada rakyat sehingga sanggup berkorban menganugerahkan hadiah.

"Sang Maharaja Pemurah",terpampang aksara yang besar-besar diatas daun lontar terbitan tukang canang yang daun lontarnya sudah tidak laku dijual.

"Anugerah kepada rakyat:lambang Sang Maharaja mendahulukan rakyat",begitulah ayat diatas daun lontar tertulis oleh Warta Harian Daun Lontar.

Manakala para pendita dan mahaguru di Pusat Pertapaan Tertinggi dengan gahnya memberikan komentar dengan menggunakan bahasa yang cukup tinggi lagi berpuisi memuji dan memuja akan ke-dermawan-an Sang Maharaja yang tiada tolok bandingnya.Tiadalah duanya akan Sang Maharaja di mata para pendita dan mahaguru itu yang sesetengah orang disamakan dengan kangkung jua adanya.

Khabarnya akan anugerah itu akan di uar-uarkan lebih dari 44 hari;khabarnya akan senantiasa di senandungkan akan anugerah khazanah itu hingga ke Majlis Pencak memilih wali negara yang baru 3 tahun lagi.

Malah khabarnya telah diturunkan titah kepada semua jabatan seantero negeri untuk senantiasa memainkan lagu ini buat mengingatkan rakyat betapa hambarakyat tiadalah punya pilihan melainkan berterimakasih dan bersyukur kepada Sang Maharaja adanya.

Para kuwala yang berkerja dengan Jabatan Kemajuan Untuk Masyarakat Bahagia atau ringkasnya KUMBAH yang gajinya dibayar dari wang rakyat tetapi bekerja semata-mata untuk Sang Maharaja juga telah diarahkan untuk berterusan meng-kelong rakyat betapa perlu berterimakasih kepada Sang Maharaja.

Arakian baru-baru ini menurut cerita sahibul hikayat,adapun seorang lagi Sida yang menjawat jawatan Tukang Palu Mendongeng atau ringkasnya TPM yang juga orang nombor dua selepas Sang Maharaja dengan penuh semangat sehingga terlondeh simpai kain pelikatnya menyeru dan meng-kelong rakyat betapa murah hatinya Sang Maharaja melimpahkan anugerah kepada rakyat,rakyat patut bersyukur dan berterimakasih,betapa puak yang satu lagi yang di kenali sebagai Pembela Rakyat,ringkasnya PR tiada ia berkemampuan memberi anugerah sebesar itu.

Dengan penuh semangat Sida yang menjawat jawatan TPM itu bergebang dan disambut pula oleh para pengikut Sida dari perkumpulan Pertubuhan Lembaga Membangun Bangsa Utuh atau ringkasnya PELEMBU dengan tepukan gemuruh dan laungan Hidup PELEMBU!Adapun akan para pengikut itu mereka faham atau sebaliknya tiadalah diketahui;akan tetapi seperti yang sudah disurahkan selama ini,para pengikut itu memang setia adanya tidak kira apa sahaja yang disabdakan kerana takut mereka itu akan ketulahan kerana kelak tiada dapat kontrak.

Maka diperikan mereka yang hadir,adalah seorang budak yang masih budak lagi,agak-agak baru akil baligh gamaknya dan ubun-ubun pun masih lembut jua,adapun budak ini kurus tubuhnya dan bertocang rambutnya.Menurut yang menurut empunya hikayat budak itu dari darah dan dna seketurunan Hang Nadim yang menyelamatkan Temasik Di Langgar Todak itu;adapun budak bertoceng itu di gelar orang Taming Tak Cukup Skru.

Berdirilah Taming Tak Cukup Skru di hadapan majlis di balai penghadapan itu seraya bertanya:"Sekadar nak bertanya wahai Paduka TPM,adapun anugerah yang di anugerahkan oleh Sang Maharaja itu datangnya dari mana adanya?".

Dengan tersenyum-senyum ala Senyum Kambing seperti di dalam daun lontar Utusan Mengarut itu,Sida yang menjawat jawatan TPM pun menjawab:"Adapun anugerah itu dari milik khazanah negara jua adanya."

Habis sahaja Sida yang menjawat jawatan TPM itu menjawab,bergemuruhlah tepukan dari sidang hadirin dari Pertubuhan Lembaga Membangun Bangsa Utuh atau ringkasnya PELEMBU.

"Oooo...adapun khazanah negara itu kepunyaan siapa adanya?Adakah ianya milik Sang Maharaja peribadi atau pun harta PELEMBU?",Taming bertanya lagi sambil jari telunjuk kanannya mengorek telinga yang tak gatal.

Sambil mencebik sedikit bibirnya,Sida yang menjawat jawatan TPM itu pun dengan pantas menjawab:"Alahai,itupun tak tau ke?Khazanah negara milik negaralah...harta rakyat adanya!".

"Kalau harta rakyat kenapa pula mesti didendangkan sebagai anugerah mahupun hadiah kepada rakyat?Pada pemahaman saya adapun hadiah mestilah kepunyaan peribadi,adapun harta rakyat memanglah wajib diberikan semula kepada rakyat tak perlu dianugerahkan",ujar Taming berikutnya.

Maka berubahlah mimik muka Sida yang menjawat jawatan TPM itu.Terkedu akan lidahnya.

Majlis yang permai pun menjadi hingar bingar kerana semua yang hadir serentak bercakap sesama sendiri.Pok Leh Manjoi yang di bawa khas dari Manik Urai terus berpaling ke sahabatnya di sebelah,Dolah Parang Puting seraya berkata:"Ambo setuju benar denge budok tu royak.Hadiah ghapo kalu doh hok kito!".

Menurut yang empunya hikayat lagi,adapun Taming Tak Cukup Skru tiadalah dia duduk,terus dia berdiri sambil bercakap kuat-kuat:"Paduka TPM,anugerah yang diberi kepada rakyat dari harta rakyat sendiri itu,adapun berapa jumlahnya?Adakah sama dengan duit kamsen (komisyen) membeli jong dan bahtera dari negeri atas angin?Adakah senilai dengan membeli kapal terbang?Adakah sama dengan duit yang digunakan dari khazanah perut bumi selamatkan perniagaan anak-anak mantan Sang Maharaja ke-4 dulu dan saudaramara Sida yang lain?".

Sida yang berjawatan jawatan TPM sudah tidak tentu arah.Majlis tambah kucarkacir.Suara dari semua yang hadir berdengung bagai suara lebah.

"Adapun saya bertanya kepada Paduka TPM kenapa tidak dibantu atau digunakan anugerah dari harta rakyat untuk bantu anak-anak sekolah yang miskin atau bantu saudara kami,Orang Asal yang kais pagi makan pagi kais petang makan esok hari?Ini bukan dermawan namanya tapi nak tipu rakyat!" jerit Taming Tak Cukup Skru.

Sida yang menjawat jawatan TPM itu tambah gelabah.Maka Sida yang menjawat jawatan TPM pun berpaling kebelakang dan berbisik dengan Panglima Aku Yang Menurut Perintah yang menjaga keselamatan rakyat yang gajinya juga dibayar oleh rakyat.

Seketika kemudian kelihatan beberapa orang lelaki bertubuh sasa meluru kearah Taming Tak Cukup Skru;adapun mengikut yang empunya hikayat lelaki-lelaki bertubuh sasa itu sebahagian dari Agensi Aku Yang Menurut Perintah yang dikenali sebagai Serong Bertarung atau ringkasnya SB yang juga dikenali sebagi Cula Kambing atau ringkasnya CK.

Maka di igat dan di pasunglah akan budak yang baru akil baligh bernama Taming Tak Cukup Skru dan dibawa kedalam pedati.

Dan seketika juga Sida menjawat jawatan TPM pun berseru:"Lihatlah budak itu,dia bukan ditangkap tetapi untuk di amankan dan untuk di 'turning over' sebab budak itu adalah agen asing,agen Yahudi dan pengkhianat bangsa."

Tapi kali ini tak ramai dari perkumpulan PELEMBU yang bertepuk,lebih ramai yang kelihatan bercelaru dan terpinga.Suara ramai masih berdengung laksana lebah.Perlahan-lahan dengan muka merah padam,Sida yang menjawat jawatan TPM turun dari balai penghadapan.

Adapun menurut yang empunya hikayat,selepas hari itu Taming Tak Cukup Skru dikenali dengan gelaran Taming Budak Pintar.Cuma sehingga ke hari ini,kelibat Taming Budak Pintar ini tiada lagi kelihatan.Semenjak di igat oleh lelaki-lelaki sasa dari cawangan Serong Bertarung atau ringkasnya SB,tiadalah di ketahui akan untungnasib Taming Budak Pintar;adakah Taming Budak Pintar menurut nasib Hang Nadim,kata yang empunya hikayat,wallahu`allam bissawab,soalan anda tiada dapat dijawab.

(http://lanailestari.blogspot.com)
*Hikayat ini tiada kena mengenal dengan yang telah hidup mahupun yang sudah mati adanya.

No comments: