PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Sunday, May 24, 2009


Najib Khianati Orang Melayu?*
Dari blog http://Lanailestari.blogspot.com
Malaysiakini melaporkan kenyataan Najib bahawa DEB akan dihapuskan.Kenyataan tersebut di buat oleh Najib kepada akhbar Straits Time Singapura sewaktu lawatan sulungnya sebagai Perdana Menteri ke Republik tersebut.

Saya mengalu-alukan kenyataan bagi menamatkan riwayat DEB yang telah pun melangkaui had masanya,pada masa yang sama saya menjadi sedikit berprasangka dengan Najib;persoalan yang bermain di benak saya ialah kenapa Najib “berani” mengumumkan perancangan menghapuskan DEB tersebut di Singapura dan tidak di tanahair?

Pada hemat saya,Najib tidak punya keberanian politik dan moral untuk mengumumkan pendiriannya bagi menghapuskan DEB yang merupakan ‘brainchild’ ayahanda beliau,Tun Razak.Sementara kajian oleh para akademia dan mereka yang berwenang mendapati,antaranya,DEB telah disalahgunakan untuk mengkayakan segelintir individu yang rapat dengan UMNO selain membiakkan budaya KKN sedangkan masih ramai bukan sahaja dari kalangan Orang Melaytu/Bumiputera malah yang bukan Melayu di ulit kemiskinan tetapi sejak sekian lama UMNO tetap mempertahankan dasar yang telah diseleweng ini.

Pada perkiraan Najib,dengan membuat kenyataan di Singapura tentunya beliau berharap tidak ada “backlash” dari kalangan yang akan mengkritik dan mengecam beliau;ini jelas jika dilihat dari liputan dari stesen TV Malaysia yang langsung tidak menyebut tentang kenyataan Najib untuk melupuskan DEB.Tidak ada sebarang ulasan atau komentar yang diberikan melalui TV dan saya kira,akhbar-akhbar perdana juga samada tidak akan memaparkan berita ini ataupun sekadar memberikan ruang yang kecil sedangkan kenyataan yang keluar dari mulut Najib itu penting dalam konteks yang merangkumi dasar negara.

Sebagai seorang yang meyakini bahawa DEB seumpama ubat lepas tarikh (expired) serta meyakini pula dasar yang dibawa oleh Pakatan-Agenda Ekonomi Malaysia yang dicanangkan oleh Keadilan yang saya kira di komplimentarikan (complement) oleh Dokumen Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS-kenyataan Najib ini dilihat sebagai “mencuri” idea dan gagasan pembangkang.Najib,pada masa yang sama,gagal memperincikan gagasannya samada dari sudut idealisme mahupun falsafah dan pengisian wadah yang akan dibawa bagi menggantikan DEB (malah berkaitan 1Malaysia pun sehingga kini saya gagal melihat idealisme serta falsafah yang ingin diketengahkan selain dari retoriks dan kenyataan lintangpukang dari Rais Yatim yang terlalu dilihat membodek bossnya).

Apakah bentuk dan susunatur dasar yang akan dibawa menggantikan DEB?Bagaimana rupa wajah dan pengisian serta falsafah yang akan dicanangkan?Siapakah yang menjadi sasaran serta bagaimana akan dicernakan dalam konteks kemajmukan masyarakat dan iklim ekonomi?Bagaimana dengan masalah yang sememangnya mendasar yakni agihan kekayaan yang tidak adil,rasuah yang membarah,jurang pendapatan dan kekayaan antara orang Melayu dan bukan Melayu?Bagaimana pula dengan statistiks yang menunjukkan nisbah professional Melayu berbanding bukan Melayu yang jauh melebar?Sistem pendidikan yang bercelaru khususnya PPSMI yang tidak menguntungkan anak-anak sekolah?

Kesemua persoalan ini,saya masih tidak menemukan sesuatu gagasan serta idea besar lagi segar dari Najib.Apa yang ada setakat ini hanyalah sekadar retoriks dan klise yang sangat-sangat diragui bukan sahaja keikhlasannya malah kemampuan untuk direalisasikan selain kemampuan kecendiakawanan (intellectuality) Najib sendiri.

Apabila Anwar Ibrahim mencadangkan agar DEB dihapuskan,terdengar soraksorai yang begitu riuhrendah dari kalangan pemimpin UMNO.Maka bertebaran kecaman dan fitnah seperti Pengkhianat Melayu,Alat Cina,Tak Mengenang Budi dan pelbagai lagi yang ditujukan kepada beliau.Malah para pensyarah Universiti pun dipanggil tampil di kaca TV kononnya mengupas secara ilmiah lagi berilmu buat mempertahankan DEB dan pada masa yang sama mencela serta mengecilkan gagasan besar Agenda Ekonomi Malaysia yang dibawa Anwar.

Gunanya untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa gagasan yang dibawa Anwar kononnya merugikan orang Melayu serta tidak lebih dari upaya untuk menarik sokongan masyarakat bukan Melayu.Pun begitu yang dikesalkan tidak ada suatu kritikan membina yang dilontarkan untuk menyegarkan perdebatan sebelah pihak itu.Saya kira kita mengalu-alukan masukan-masukan (input) yang dapat menjernihkan lagi gagasan dan idea tersebut tetapi apa yang berlaku hanyalah kecaman kosong yang tidak bersandarkan kepada tiang ilmu. Menyedihkan citra para ilmuan tanahair yang tidak lebih pengampu nombor wahid layaknya.

Nah,sekarang pemimpin ‘numero uno’ UMNO sendiri yang mencadangkan di Singapura untuk menamatkan DEB tetapi gagal pula menonjolkan gagasan dan idea sebagai ganti kepada dasar tersebut.Saya ternanti-nanti apakah reaksi dari kalangan pemimpin UMNO sendiri termasuk Ketua Pemuda Khairy Jamaludin serta para profesor terutamanya Ibrahim Shah UiTM;apakah kelak akan dianjurkan perarakan atau demontrasi oleh para pelajar UiTM dibawah Ibrahim Shah bagi membantah kenyataan Najib tersebut?

Saya juga menunggu sikap para pengemudi suratkhabar seperti Utusan Malaysia,apakah akan ada tulisan Lidah Pengarang yang berani mengkritik Najib atau sekurang-kurangnya menyeru agar DEB di pertahankan?Lebih jauh dari itu,apakah nanti ada yang berani melabelkan Najib sebagai pengkhianat atau tidak mengenang budi atau alat cukong Cina?

Saya berpandangan memahami budaya politik mual tajaan UMNO,apa yang berlaku ialah tidak akan ada suara-suara dari mereka yang berwenang dari dalam UMNO sendiri yang berani untuk mengkritik Najib seperti pengalaman yang di lalui oleh Anwar Ibrahim.Mereka tentunya akan menari mengikut rentak gendang yang dipalukan Najib walaupun iramanya sumbang.Ertinya mereka tetap bersedia untuk menjadi hipokrit-sebelum ini bak pahlawan Melayu sejati mempertahan DEB dan mengecam sesiapa sahaja yang tidak bersetuju-tetapi kini akan mengubah nada dengan memuji dan memuja Najib semahunya.
Dalam hal ini,saya kira sesungguhnya Keadilan telah jauh terkehadapan.
Seruan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim agar DEB dimansuhkan yang perlu digantikan dengan dasar yang lebih pragmatiks dan memenuhi kehendak rakyat iaitu Agenda Ekonomi Malaysia yang telah dihidangkan kepada rakyat membuktikan komitmen Keadilan untuk membina negara bangsa yang benar-benar adil dan bertunjangkan kepada mengangkat maruah dan hak rakyat.Pandangan jauh pimpinan yang mengarifi denyut nadi rakyat jelas memperlihatkan upaya untuk membina Malaysia yang adil dan makmur.
Ertinya,tatkala Keadilan telah lama bersedia,UMNO kelihatannya gagal total untuk membawa gagasan yang ampuh;kenyataan Najib di Singapura itu tidak lebih dari omong kosong tanpa wajah dan roh.
*Tajuk asal artikel ini ialah ''DEB Akan DiHapuskan,Kata Najib".

No comments: