PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

PEJABAT MAJLIS PIMPINAN NEGERI PAHANG DM

Monday, October 13, 2008

Anwar Dalam Kaca Mata Cikgu Chin

by Blog Merah Tinta MSO

SEBELUM melangkah ke meja yang disiapkan untuk mengadakan sidang akhbar ringas (untuk ambil hati para wartawan saya kira) Penasihat PKR, Anwar Ibrahim berbual lama dengan seorang lelaki Cina yang sudah berusia.

Perwatakan dan ismi lelaki itu tenang dan terserlah dia seorang cendekiawan atau pemikir. Ramai yang tidak mengenali dan terperasaan kehadirannya.

Melihat kepada perbualan mesra Anwar dan layanan istimewa sampai menunjukkan pinggangnya yang sakit berbalut bekung putih, ternyata lelaki itu bukan sembarangan dan sangat dekat dengan bakal PM itu. Saya bertanya kepada seorang pengawal Anwar gerangan lelaki itu namun dia tidak mengenalinya.

Mulanya saya mengira dia seorang tokoh politik veteran yang sebaya dengan usia bapak Anwar, Pak Yim atau bapa Dr Wan Azizah, Pak Wan, Datuk Ismail. Mungkin dia tokoh Gerakan veteran di KL yang baru-baru ini menyertai PKR?

Sebaik mereka selesai berbual dan bergelak ketawa saya memberanikan diri bertanyakan seseorang tetamu lelaki yang memerhatikan perbualan mereka sejak awal tadi yang berdiri berhampirannya untuk mencuri dengar perbualan itu. "Dia teacher Datuk Seri," jelas lelaki itu.
Baru saya tahu rupanya lelaki itu ialah cikgu Anwar sesama di MCKK. Namanya ialah Chin Lim Sim. Dia mengajar mata pelajaran matematik. Usianya sudah mengjankau 73 tahun tetapi nampak cergas dan sihat.


"Ini cikgu Datuk Seri ke...?" tanya saya kepadanya selepas mendapat kepastian dari seorang tetamu tadi. Dia terus mengangguk-angguk bangga dan bersalaman dengan saya tanpa merasa kekok.

"Boleh saya tanya sikit fasal dia, cikgu?" "Oh... boleh..?" katanya lantas menarik kerusi. Dia mudah mesra dan menyerlahkan displin beliau sebagai seorang guru. "Tidak elok bercakap sambil berdiri, kita duduk baru sedap...," ujarnya mesra dan tidak habis-habis ketawa.
"Tinggal di mana?" tanya saya.

"Saya datang dari Ipoh...untuk hadir pada majlis ini," jelasnya. "Ini isteri saya dan ini anak mertua saya... (saya kira menantunya)," dia memperkenalkan anggota keluarganya seramai empat orang. Isterinya, anak perempuannya dan menantunya. Menurut kad nama menantunya bernama, Alan Fung. Menantu, anak dan isterinya Cikgu Chin juga baik dan ramah.

"Boleh cikgu cerita sikit mengenai Datuk Seri semasa di bangku sekolah dulu," minta saya.
"Oh... dia seorang yang baik. Dia seorang yang alim. Selalu dia bincang agama bersama dengan Sanusi Junid. Tuan kenal Sanusi Junid? Dia kini sudah jauh dengan Anwar...," ceritanya sedikit kesal kerana kedua muridnya itu tidak sejalan. Cikgu Chin mungkin merasakan saya tidak tahu history Sanusi dengan Anwar.

"Dia suka pakai baju lengan panjang, dia suka smart.... suka tersenyum kepada semua orang. Bila saya masuk kelas dia akan tersenyum...saja dia baik," cerita cikgu Chin sambil mengenangkan peristiwa lebih 40 tahun lalu.

"Cikgu mengajar apa?" "Saya mengajar matemetik....?" "Macam mana dia di sekolah, maksudnya bakat kepimpinannya?" "Oh.... dia mula tunjukkan bakat kepimpinannya bila naik tingkatan tiga. Waktu ini bakatnya sudah berkembang. Dia mengembangkan bakat kepimpinan secara perlahan-lahan, dia bercakap (pidato) pandai. Dia mengambil bahagian dalam acara di sekolah dan sudah mula dikenali...", tambah cikgu Chin lagi.

"Dia sangat baik... dia selalu ingatkan cikgunya. Dia pergi mana dia akan ingat cikgu dia ni," tambah pula isterinya tanpa diminta. Laki bini nampak begitu sayang kepada Anwar.
"Dia suka menulis... dan dia tujuk kepada saya apa-apa yang dia buat. Begitu juga bila dia ada masalah dalam matematik dia akan cari dan bincang dengan saya. Dia seorang yang suka berbincang dengan sesiapa saja," sambung cikgu Chin yang tidak dapat menyembunyikan keseronokannya kerana kisah dan kenangannya bersama muridnya bernama Anwar itu diselak.
"Macam mana dengan hal lain, dia nakal ke cikgu.. usik orang dan sebagainya?" saya cuba pancing lagi. "Tak dak... dia baik. Seingat saya dia tidak pernah buat apa-apa hal tidak baik semasa di sekolah dulu. Dia alim. Semua cikgu juga sayang kepadanya!" tekan cikgu Chin lagi.

Saya tidak sempat bertanyakan apakah harapannya kepada murid beliau bernama Anwar itu. Namun apa dapat disimpulkan kalau dari Ipoh beliau sanggup datang hanya semata-mata meraikan majlis terbuka bekas muridnya itu beberapa jam saja, betapalah cikgu itu begitu sayang dan kasih kepada muridnya itu. Dan tentulah harapan dan doanya agar muridnya itu berjaya dalam hidupnya dan mencapai cita-citanya.

No comments: