Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Parti Keadilan Rakyat (Pusat dan Negeri Pahang) bersama-sama dengan Wanita PKR Pahang akan membuat lawatan muhibbah ke Kg Bangas yang terletak di DUN Kuala Sentul didalam kawasan Parlimen Maran pada 7hb Oktober akan datang jam 4.00 petang.
Lawatan yang akan dibuat ini adalah hasil dari tindak-dan-maklum-balas lawatan Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR pada 12hb September yang lalu, dimana Biro ini dibawah pimpinan Haji Suhaimi Said telah melawat Kampong ini bersama-sama dengan Ketua PKR Cabang Maran, Sdr Bostamin Bakar dan Ketua Wanita Biro ini diperingkat Pusat, Pn Siti Khalijah Hj Mohamad.
Didalam lawatan itu Biro telah diberikan taklimat oleh Ketua PKR Ranting Kg Bangas, Pn Siti Rohana, yang menyatakan bahawa penduduk di kampong itu berada didalam keadaan yang sangat dhaif. Dan sejak mereka memeluk agama Islam, pihak berkuasa agama baik diperingkat Negeri atau pun Daerah, tidak pernah memberikan apa-apa bantuan kepada mereka, tetapi mereka tetap tabah. Sepatutnya wang zakat yang begitu banyak dikutip oleh pihak agama Islam Negeri perlulah juga disampaikan kepada mereka.
Rombongan Haji Suhaimi tersebut telah melawat rumah seorang penduduk yang mempunyai 15 orang anak, keluarga itu hidup dalam keadaan yang sangat dhaif.
Lawatan Biro kali ini akan membawa pelbagai sumbangan untuk disampaikan kepada penduduk kampong Bangas, dan Biro masih membuka peluang kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan seperti pakaian, makanan, alat-alat dapur, pinggan mangkuk, permainan kanak-kanak dan sebagainya.
Semua pihak yang ingin ikut serta didalam lawatan ini bolehlah terus pergi ke Kg Bangas pada jam 4.00 petang dan berkumpul di pinggir kampong itu sebelum bersama-sama memasuki Kg Bangas.