APABILA politik nasional lebih banyak berkisar kepada persoalan dan
perdebatan dasar (bukannya politik perkauman, kebencian dan cacian
peribadi), rakyat berpeluang untuk menilai sendiri perbandingan program
ekonomi dan kerajaan yang ditawarkan oleh parti-parti politik.
Justeru, saya menyambut baik peluncuran manifesto Barisan Nasional dan
ingin mengambil kesempatan ini untuk membentangkan analisis perbandingan
di antara manifesto Rakyat dan Manifesto Barisan Nasional.
TEMA
- Manifesto Barisan Nasional yang bertemakan “Menepati Janji, Membawa
Harapan” secara jelas dan tanpa segan silu menciplak tema “Pakatan
Harapan Rakyat” yang telah lama diluncurkan oleh Pakatan Rakyat
- Saya mengambil pendekatan positif dan berpendapat bahawa pemikir
Barisan Nasional pun menerima hakikat bahawa agenda ekonomi rakyat yang
bersabit dengan penurunan harga barang, kempen #Turunkanhargakereta,
pendidikan percuma, hapuskan tol dan lain-lain yang dibawa oleh Pakatan
Rakyat akhirnya diterima pakai oleh Barisan Nasional
- Ini kerana mereka juga sedar bahawa agenda ekonomi rakyat ini telah
menjadi harapan rakyat yang bakal digalaskan kepada kerajaan baru yang
dipilih.
- Oleh itu, PRU13 adalah persoalan parti manakah yang lebih wibawa
dalam mengotakan harapan rakyat ini – sebab itu Barisan Nasional tidak
ada pilihan kecualilah menggunakan perkataan “harapan” seperti mana
Pakatan Rakyat, untuk memberi isyarat mereka juga faham dengan harapan
yang telah disuarakan rakyat
PENDEKATAN DASAR
- Barisan Nasional kontang idea dan tidak berjaya membawa program baru.
Manifesto Barisan Nasional ditulis secara umum, tanpa sasaran khusus
yang boleh meyakinkan rakyat berbeza dengan manifesto Rakyat yang jelas
mekanisme, tempoh masa dan sasarannya.
- Contohnya, apabila Barisan Nasional berjanji untuk menarik pelaburan
bernilai RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baru –
mekanisme dan pelan khusus untuk mencapai sasaran ini tidak dinyatakan,
berbeza dengan Manifesto Rakyat yang secara jelas menumpukan usaha
menambah kemahiran pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran
ke peringkat lebih tinggi untuk mengambil alih satu juta pekerjaan yang
kini diusahakan oleh pekerja asing. Strategi mewujudkan peluang
pekerjaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat adalah lebih jelas, berbanding
janji kabur yang dibawa Barisan Nasional.
- Semakan ke atas keseluruhan manifesto Barisan Nasional menunjukkan
bahawa tidak ada sebarang perubahan dasar ekonomi, politik dan sosial
yang akan dilaksanakan untuk mengotakan janji-janji Barisan Nasional.
- Ini bermakna Barisan Nasional masih menggunakan kaedah dan pendekatan yang sama tetapi berharapkan keadaan menjadi lebih baik
- Tanpa perubahan dasar yang merubah struktur ekonomi, politik,
pendidikan dan sosial negara, Malaysia akan terus bergelumang dengan
rasuah, ketirisan, ketidakcekapan ekonomi, penguasaan monopoli kroni,
harga barang yang ditentukan oleh pihak tertentu dan mutu pendidikan
yang semakin merosot.
- Manifesto Barisan Nasional akhirnya hanyalah senarai janji-janji
tanpa membentangkan kaedah dasar dan pelaksanaan untuk merealisasikan
janji-janji itu
PERBANDINGAN PROGAM: KONTANG IDEA BARU, CIPLAK IDEA PAKATAN RAKYAT
- Analisia terhadap janji-janji Barisan Nasional menunjukkan bahawa
sebahagian besar dari janji-janji yang dimasukkan bukanlah idea baru,
tetapi diciplak dari Pakatan Rakyat atau adalah idea yang sama yang kini
digunakan di oleh Barisan Nasional.
- Janji-janji berikut diciplak dari Pakatan Rakyat (walaupun
pelaksanaannya tidak akan memenuhi harapan rakyat kerana tidak
dilaksanakan sepenuhnya):
1. Menurunkan harga kereta dengan penurunan 20 hingga 30 peratus secara berperingkat
2. Menyeragamkan harga barang keperluan asas di antara Semenanjung dan Sabah Sarawak
3. Menggunakan dana kerajaan melalui penglibatan terus kerajaan untuk
menambah rumah mampu milik sebagai usaha mengawal harga rumah
4. Memperbaiki perumahan estet dan memastikan perumahan selesa bagi bekas pekerja estet
5. Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk perumahan rakyat
6. Menambah baik perkhidmatan bas untuk digunakan secara bersepadu untuk mengurangkan penggunaan kenderaan awam
7. Memberikan permit teksi individu
8. Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi (high speed rail)
9. Membina Lebuhraya Pan Borneo
10. Mengurangkan bayaran tol secara berperingkat-peringkat
11. Reformasi percukaian untuk mengurangkan beban cukai pendapatan kepada golongan bawahan
12. Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana mengikut peratusan perolehan minyak
13. Peruntukan khas kepada semua jenis sekolah
14. Menawarkan status sekolah bantuan penuh kerajaan bagi sekolah-sekolah Tamil
15. Penekanan kepada pendidikan kemahiran dengan menaiktaraf sekolah vokasional menjadi kolej
16. Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum
17. Mewujudkan mahkamah khas untuk menangani isu-isu tanah pribumi
18. Mewartakan semua tanah adat
19. Menjana pendapatan dari pembangunan tanah wakaf
20. Mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan guru KAFA dengan menyediakan pakej penggajian yang lebih baik
21. Menaikkan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok
22. Memastikan keseimbangan kaum yang lebih adil di dalam perkhidmatan awam
Tindakan Barisan Nasional menciplak idea-idea asal yang sudah pun
sinonim dengan Pakatan Rakyat seperti menurunkan harga kereta,
menghapuskan tol dan lain-lain mengesahkan bahawa negara mempunyai
kewangan yang kukuh selama ini untuk melaksanakan program-program ini.
Alasan yang diberikan selama ini hanyalah dolak-dalih politik, tetapi
oleh kerana tekanan yang kuat dari rakyat akhirnya Barisan Nasional
tidak ada pilihan lain kecuali menciplak idea-idea ini.
Perbandingan keberkesanan program
Keseluruhan kempen Barisan Nasional kini disandarkan kepada pemberian
BR1M yang selepas ini akan dibuat setiap tahun pada kadar yang lebih
tinggi, iaitu RM1,200 untuk keluarga dan RM600 untuk individu bujang.
Jumlah ini bersamaan dengan RM100 setiap bulan untuk keluarga dan RM50
sebulan untuk individu bujang, pada ketika Barisan Nasional tidak
mengemukakan apa-apa cadangan untuk menurunkan harga barang.
Akhirnya, inflasi dan kenaikan harga barang akan melunturkan kesan
pemberian wang terus ini kepada rakyat yang dijangka akan menelas
belanja RM7.2 bilion dalam tahun pertama. Mengambil kira pertumbuhan
penduduk sebanyak dua peratus secara purata dan inflasi pada kadar
purata dua peratus untuk tempoh sedekad dari sekarang, menjelang tahun
2023 jumlah pembayaran BR1M akan mencecah RM11 bilion.
Pendekatan ini kurang bijaksana kerana ia menelan belanja yang besar
tanpa mengubah struktur ekonomi, sedangkan peruntukan RM7 bilion hingga
RM11 bilion setahun itu lebih berkesan jika digunakan untuk menurunkan
harga barang, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta dan lain-lain.
Perbandingan janji-janji utama Pakatan Rakyat dan BN
Membantu meredakan tekanan sara hidup – Pakatan Rakyat mencadangkan
reformasi menyeluruh untuk merubah struktur ekonomi dengan menghapuskan
monopoli yang akan menurunkan harga barang keperluan, berbanding Barisan
Nasional yang menawarkan RM100 sebulan
Menurunkan harga kereta – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan terus
cukai eksais secara berperingkat supaya harga kereta adalah separuh dari
harga sekarang dalam tempoh lima tahun, berbanding Barisan Nasional
yang hanya akan memotong cukai sebanyak 20 hingga 30 peratus sahaja
secara berperingkat tanpa disebut jangka masanya
Menghapuskan tol – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan tol bermula
dengan lebuhraya yang sudah mendapat pulangan modal, berbanding dengan
Barisan Nasional yang hanya akan menurunkan tol secara berperingkat
tanpa disebut jumlah dan tempoh masanya
Menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma – Pakatan Rakyat
akan menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma, berbanding
Barisan Nasional yang tiada cadangan balas
Caruman Wanita Malaysia untuk surirumah tidak bekerja – Pakatan Rakyat
akan mewujudkan skim caruman seperti KWSP untuk surirumah tidak bekerja
dengan caruman minima RM720 setahun, berbanding Barisan Nasional yang
tiada cadangan balas
Menurunkan harga minyak – Pakatan Rakyat komited untuk menurunkan harga
minyak, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas
Memberikan royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak – Pakatan
Rakyat berjanji mengembalikan royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar
minyak, berbanding Barisan Nasional yang meneruskan pendekatan
membelanjakan wang minyak
sebagai peruntukan pusat
Saya akan terus mengemukakan analisis khusus terhadap isu perumahan,
ekonomi dan lain-lain sepanjang minggu ini melalui penulisan dan video
agar rakyat dapat membandingkan kedua-dua manifesto.
* Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR